Kebebasan Bersuara dan Ucapan Kebencian (Hate Speech)

Oleh Nalini Elumalai, ARTICLE 19 (Malaysia)

 

Kuala Lumpur / 11 September 2020 | Artikel ini merupakan lanjutan daripada wacana dalam talian Perbincangan Panel Siri #2: Risiko Kebencian Antara Agama dan Kaum di Era Covid-19 oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) pada 11 September  2020. Panelis yang membincangkan topik ini adalah Nalini Elumalai (ARTCLE 19), Dr. Ananthi Al Ramiah (Dataluminesce Research) dan Harris Zainul (ISIS Malaysia). Pautan rakaman perbincangan ini boleh diakses menerusi Channel YouTube KMU

Apakah Itu Kebebasan Bersuara?

Di bawah Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UDHR), dinyatakan bahawa:

“Semua orang lahir secara bebas dan sama rata dengan maruah dan hak”.

Deklarasi ini juga mengiktiraf bahawa kebebasan untuk bersuara dan agama adalah hak yang utama untuk rakyat. Namun, harus diingat bahawa kebebasan bersuara adalah bukan hak mutlak dan ianya boleh disekat jika perlu.

Perjanjian Antarabangsa tentang Hak-Hak Sivil dan Politik (ICCPR) atau International Covenant On Civil and Political Rights (ICCPR)

ICCPR adalah suatu dokumen antarabangsa yang memberikan definisi dan keterangan lanjut tentang setiap hak sivil dan politik yang kita praktikkan sekarang. Artikel 19 dalam ICCPR adalah berkenaan dengan kebebasan bersuara.

  • Peruntukan, Artikel 19 (1) ICCPR adalah menjamin dan melindungi kebebasan bersuara tanpa sebarang sekatan.
  • Artikel 19 (2) pula, kewajipan kerajaan untuk menjamin bahawa rakyat mempunyai segala kebebasan untuk mencari, menerima dan sebarkan satu maklumat dalam pelbagai rupa dan jenis termasuk secara dalam talian (online). Namun, skop Artikel 19 (2) juga adalah sangat luas. Maklumat yang dicari, diterima juga termasuk maklumat yang boleh menyinggung perasaan namun ianya tidak akan termasuk dalam kategori percakapan yang perlukan sekatan.
  •  Manakala Artikel 19 (3) pula berkaitan sesuatu percakapan perlu disekat kerana ianya berbahaya atau membawa ancaman, namun ia harus menepati 3 ciri-ciri berikut:

i. Ianya diperuntukkan di bawah undang-undang dan undang-undang tersebut tidak boleh berat sebelah (provided by law);

ii. Untuk tujuan yang sah – seperti melibatkan keselamatan negara, keselamatan awam dan keselamatan kesihatan (legitimate aim); dan,

iii. Perlu dan berkadar (necessary and proportionate).

‘Apakah itu kebencian?’

Kebencian adalah suatu keadaan minda (state of mind) atau emosi yang wujud apabila seseorang rasa dikhianati atau diaibkan, keadaan tegang dan kebencian yang kuat yang tidak rasional.

‘Apakah itu ucapan kebencian (hate speech)?’

Ucapan kebencian atau hate speech tidak mempunyai satu definisi yang setara namun ianya adalah satu percakapan atau luahan daripada segi tulisan atau kelakuan yang bersifat prejudis dan diskriminatif terhadap sesuatu kumpulan atau individu (yang dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa) berdasarkan agama, kaum, etnik, kewarganegaraan, gender, orientasi seksual dan sebagainya.

Artikel 20(2) ICCPR adalah berkaitan peruntukan untuk menyekat ucapan kebencian. Artikel ini memasukkan hasutan sebagai salah satu ucapan kebencian dan ia juga membolehkan kerajaan untuk menyekat mana-mana ucapan kebencian berasaskan kaum, agama, kewarganegaraan dan lain-lain, yang mendorong kepada diskriminasi, ketegangan atau keganasan, yang boleh mengancam keselamatan sesebuah masyarakat, kumpulan atau individu.

  1. Di bawah ICCPR juga, ia menyeru kerajaan untuk menyekat ucapan kebencian yang berbaur hasutan yang mana ia merujuk kepada 3 jenis ucapan seperti di bawah:
    Hasutan yang berasaskan kaum, agama, dan lain-lain.
  2. Berunsur ancaman dan diskriminasi jelas terhadap individu atau kumpulan.
  3.  Ucapan yang membelakangi semangat pluralisme, inklusivisme dan kepelbagaian.

Tetapi, sebarang sekatan perlu menepati 3 ciri-ciri yang dinyatakan di atas. Ia kerana di kebanyakan negara, undang-undang yang sedia ada hanya menghukum ucapan yang diiktiraf (legitimate speech) dan bukannya hate speech. Misalnya hate speech yang berlaku kepada etnik Rohingya di Malaysia pada bulan April lalu, tiada sebarang tindakan yang diambil oleh kerajaan setakat ini terhadap mereka yang menghasut dan mengancam keselamatan serta kehidupan etnik Rohingya di Malaysia.

Ucapan kebencian dalam konteks Malaysia

Pelapor Khas PBB bagi kebebasan agama dan kepercayaan dalam kajiannya menyatakan bahawa, keadaan yang tiada toleransi sengaja diwujudkan oleh golongan atau gerakan populis politik, yang mengkambing hitamkan golongan minoriti dengan menggunakan agama sebagai asas untuk mewujudkan kebencian dan ketegangan .

ARTICLE 19 (A19) dalam kajiannya melihat gerakan populis politik ini selalunya menjual idea “political correctness” dan memaparkan diri seolah-olah pejuang kebebasan bersuara, namun golongan inilah yang menjadi sangat sensitif apabila wujud sebarang kritikan terhadapnya.

Kebencian dan ucapan kebencian ini wujud dalam keadaan di mana kurangnya ruang rakyat untuk meluahkan perasaan mereka selain hak sivil serta demokrasinya yang sangat terhad. Misalnya seperti kebebasan media, kebebasan bersuara dan kebebasan berhimpun was yang mana ianya sangat terhad atau disekat melalui undang-undang zalim.

Ucapan Kebencian di Media Sosial

Kebanyakan ucapan sebegini di media sosial akibat daripada salah faham dalam memahami kepelbagaian. Ia kerana di Malaysia, kita sering diajar untuk tidak bercakap atau mempersoalkan isu yang kontroversi dan sensitif, maka sekatan ini tidak mewujudkan suatu ruang untuk berdialog secara lebih luas.

Jadi apa yang ditulis, disebut dan ditular adalah info yang tidak tepat, tanggapan yang salah dan menimbulkan prejudis serta stereotaip sedia ada yang mewujudkan ketegangan.

Adakah semua yang diucap adalah ucapan kebencian?

Tidak. Malah ada banyak kekeliruan di antara apa itu hate speech, legitimate speech dan ucapan yang menyinggung perasaan. Ramai lebih berani di online. Ada perkara kita tidak berani sebut di hadapan orang, namun persoalannya apakah ini perlu digalakkan atau disekat? Seperti yang saya katakan awal tadi, kita harus mewujudkan ruang untuk membolehkan kebebasan bersuara atau sekat sesuatu speech itu hanya apabila ia membawa ancaman dan bahaya.

Bagaimana kita boleh tangani perkara ini?

Harus diingatkan bahawa, kebencian yang ada dalam diri seseorang terhadap sekumpulan masyarakat dan individu tidak boleh dikurangkan atau dihentikan jika masyarakat keseluruhannya tidak bekerjasama. Ramai pemegang taruh mempunyai peranan dalam hal ini. Antaranya peranannya seperti berikut:

  1. Kita perlu adakan dialog yang terbuka berkenaan isu-isu yang sensitif.
  2. Kita perlu wujudkan keadaan yang bebas dan mempunyai ruang untuk orang bersuara.
  3. Memansuhkan undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara.
  4. Kita perlu banyakkan bercakap tentang isu politik identiti berasaskan kaum dan agama, diskriminasi yang sistematik dan tanggapan negatif terhadap golongan tertentu.
  5. Sekatan terhadap ucapan dilakukan sebagai jalan terakhir dan bukannya dilakukan pada awalnya.

 

Peranan-peranan yang boleh dimainkan oleh pelbagai pihak

Majlis Hak Asasi Manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNHRC) telah mengeluarkan beberapa dokumen yang memberikan panduan bagaimana ucapan kebencian boleh ditangani. Antaranya adalah ‘Rabat Plan of Action’.

Menangani ucapan kebencian adalah tanggungjawab semua dan bukan hanya tanggungjawab kerajaan.

1) Peranan Kerajaan

  • Harus mewujudkan badan bebas yang saksama untuk menangani isu diskriminasi dan ketidakseimbangan.
  • Harus mengumpul data dan statistik tentang isu diskriminasi.
  • Mewujudkan polisi yang mempromosi semangat pluralisme dan inklusivisme kepada semua.
  • Membentuk sistem pendidikan yang inklusif.
  • Menandatangani perjanjian-perjanjian antarabangsa dan mula menggunakan “Rabat Plan of Action” dan “UN Resolution 16/18” dalam polisi di Malaysia.

2) Peranan Media

  • Segala liputan dan penulisan haruslah sensitif terhadap golongan yang ditindas.
  • Elakkan penulisan yang boleh mengundang ancaman.
  • Berikan peluang dan ruang kepada masyarakat yang menghadapi ancaman akibat kebencian untuk meluahkan pandangan mereka.
  • Mempromosi toleransi dan kesaksamaan.

3) Peranan ahli politik dan parti politik

  • Ahli politik harus elak daripada mewujudkan keadaan yang tegang, bersuara menentang ucapan kebencian dan memberikan mesej yang positif kepada pengikut mereka bahawa sebarang diskriminasi dan ancaman keganasan tidak akan diterima sama sekali.
  • Parti politik perlu ada panduan dan polisi yang membolehkan tindakan diambil terhadap ahli mereka yang tidak bertanggungjawab.

4) Peranan NGO dan badan hak asasi

  • Wujudkan dialog dan mekanisme untuk mempelajari dan memahami kepelbagaian dalam masyarakat.

5) Peranan agamawan

  • Elakkan menggunakan atau menyebarkan kebencian terhadap agama atau kepercayaan orang lain.
  • Bersuara menentang ucapan kebencian.
  • Tidak berkompromi dengan sebarang keganasan dan ancaman terhadap agama lain.

6) Peranan syarikat-syarikat Media Sosial

  • Harus menggunakan panduan “Guiding Principles on Business and Human Right” PBB (UNGPs).
  • Memastikan apabila mengurus kandungan dalam media sosial, ianya harus selaras dengan undang-undang antarabangsa.Perlu mewujudkan sebuah ‘alat’ untuk memberi ucapan balas terhadap ucapan kebencian.