Kebencian perlu dibalas dengan wacana yang pelbagai dan progresif

Disediakan oleh Aizat Shamsuddin, Penyelaras Projek Komuniti Muslim Universal (KMU) Malaysia.

 

Kuala Lumpur,  26 September 2020 | Laporan ini adalah lanjutan kepada Coffee Talk Siri #2: Virus Kebencian di Media Sosial yang diadakan oleh KMU Malaysia pada 26 September 2020. Para panelis yang terlibat adalah  Jean Vaneisha (Challenger Malaysia / Parlimen Digital), Mukmin Nantang (Borneo Komrad), Victoria Cheng (Projek Dialog), Amirul Mukminin (Strategik) dan Naim Al-Kalantani (KMU Malaysia).

 

Para Panelis Coffee Talk Siri #2

Coffee Talk Siri Kedua bersama cendekiawan dan pemimpin belia telah diadakan pada Sabtu lepas yang dimoderasikan oleh Naim Al-Kalantani dari Komuniti Muslim Universal, bagi membincangkan tajuk semasa, ‘Virus kebencian di media sosial’.

“Kebencian merupakan satu fenomena terhasil dari perasaan ketakutan dan amarah yang kemudiannya disasarkan kepada kumpulan atau individu yang dianggap ‘lain’ sama ada berorientasikan agama atau kaum. Terutamanya di media sosial di mana pengguna mampu untuk melemparkan ucapan kebencian tanpa nama atau ‘anonymous’ ”, kata Victoria Cheng, Ketua Penyelaras Projek Dialog.

Mukmin Nantang, Pengasas Borneo Komrad menambah, “Ketakutan dalam masyarakat terhasil dari sistem politik, ekonomi dan pendidikan yang bersifat perkauman dan kesukuan yang jelas perlu diubah. Kemudiannya, hal ini menyebabkan hak tidak sama rata dan masyarakat yang terjejas meyuarakan ketidakpuasan hati melalui saluran yang terhad seperti media sosial.”

Para panelis juga telah meluangkan masa mencari penyelesaian terbaik untuk membendung kebencian antara agama dan kaum di Malaysia. Satu perkara yang dipersetujui oleh kesemua barisan panelis adalah kita perlu membina kebebasan berwacana untuk mengupas isu-isu semasa dan pelbagai termasuk yang sensitif. Dalam kata lain, untuk memahami mengapa satu-satu isu itu sensitif ianya perlu dibahaskan di ruang awam supaya masyarakat dapat mengatasi ketakutan dan kebencian mereka terhadap kumpulan atau individu yang ‘lain’.

Manakala, menurut Amirul Mukminin, pelajar hubungan antarabangsa di Universiti Turki, sensitiviti mengikut konteks masyarakat setempat masih perlu dititikberatkan untuk menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. Akan tetapi, sekatan ke atas kebebasan berekspresi atas sebab ‘ucapan kebencian’ misalnya, perlu ditafsir oleh ‘pakar bahasa’ yang dilihat lebih adil berbanding ‘ahli politik atau agama’ yang lebih bersifat eksklusif.

Jean Vaniesha melalui pengalaman beliau dalam menguruskan program Parlimen Digital baru-baru ini dan penglibatan dalam Parti Politik MUDA menekankan bahawa, “Perwakilan atau ‘representation’ kaum, agama, gender dan lain-lain amat penting dalam menyuarakan isu-isu yang membelenggu komuniti tertentu. Walaubagaimanapun, identiti tidak boleh dilihat sebagai batu penghalang dari seseorang itu mengkritik dan bercakap mengenai hal kaum atau agama lain terutamanya di negara Malaysia yang majmuk ini.”

Menurut Amirul Mukminin lagi, “Dalam berwacana, masyarakat perlu mengamalkanya bersama-sama dengan nilai empati dan kemanusiaan yang sepatutnya menjadi sebahagian dari akhlak murni kita semua dan untuk mengelak dari nilai kebencian yang merosakkan.”

Coffee Talk ini adalah sebahagian dari kempen #Kebersamaan atau #Togetherness yang dikendalikan oleh Komuniti Muslim Universal, sebuah organisasi melawan naratif ekstrem dengan naratif balas, bertujuan untuk mempelbagaikan wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Ilustrasi seni kempen #Kebersamaan atau #Togetherness