Kembali Melihat Sejarah

Oleh Azura Nasron, Gerakan Pembebasan Akademik.

 

Kuala Lumpur, 12 Oktober 2020 | Penulisan ini merupakan lanjutan kepada Coffee Talk Siri #1: Bulan Kemerdekaan: Merdekakah Hubungan Antara Kaum dan Agama di Malaysia? anjuran KMU Malaysia yang diadakan pada 22 Ogos 2020. Para panelis yang terlibat adalah  Netusha Naidu (Imagined Malaysia), Hazman Baharom (Universiti Terbuka Anak Muda), Azura Nasron (Gerakan Pembebasan Akademik), Rahman Imuda (Nadi Mahasiswa Malaysia) dan Aizat Shamsuddin (KMU Malaysia). Video rakaman perbincangan ini boleh diakses menerusi Channel YouTube KMU.

 

Lebih dua minggu lepas, Kementerian Perpaduan Negara telah melakukan satu Sesi Maklum Balas Rakyat Berhubung Draf Pelan Tindakan Perpaduan Negara (PTPN) bagi tahun 2021-2025. Sebagai salah seorang yang hadir pada perbincangan yang dibentangkan oleh Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri, serasanya ada perkara yang tertinggal dalam perbincangan tentang perpaduan ini. Berulang kali dikatakan Prof bahawa peluang untuk melakukan PTPN ini seharusnya diambil, makanya kali ini kita akan fokus perpaduan melalui kelas yang sangat penting pada masa kini. Lebih jelas, perpaduan daripada kaca mata yang mahu difokuskan adalah dalam sfera isu sosial kini.

Namun begitu, satu soalan telah diajukan tentang bagaimana perbincangan tentang kelas ini mahu dibincangkan di saat kita warga Malaysia masih lagi mempunyai bagasi sejarah berat yang tidak pernah mahu dibincangkan secara jelas dan jujur. Mengambil isu 13 Mei 1969, barangkali yang kita lihat cumalah tentang rusuhan. Namun, lebih jangkau daripada rusuhan ini adalah bagaimana sebelum rusuhan ini ada sejarahnya tentang bagaimana rusuhan ini berlaku yang tidak diceritakan dengan jelas. Keduanya pula adalah bagaimana selepas rusuhan ini berlaku pelbagai dasar dilakukan secara teorinya untuk menyatupadukan antara kaum tetapi sepertinya hanya mengangkat parti dan kronisme di kalangan para elit politik dan elit ekonomi.

Seyogia diingatkan bagaimana, Dr Syed Husin Ali telah mengingatkan kita semua bahawa sejarah ini amat penting kerana melalui sejarahlah kita mudah memahami masalah-masalah yang dihadapi masa kini seterusnya meramal apa yang mungkin berlaku pada masa akan datang. Oleh kerana itulah, beliau telah mendefinisikan sejarah melalui tiga iaitu sejarah rasmi, sejarah alternatif dan sejarah rakyat. Namun begitu, tulisan kali ini bukanlah untuk kita mengupas apa itu sejarah melainkan untuk melihat sedikit apa yang boleh kita cuba fikirkan dan apakah mungkin sejarah bakal berulang kerana kurangnya kita mempelajari daripada sejarah ini.

Melihat kepada isu kebencian antara agama dan kaum pasca-COVID-19, dilihatnya terlalu asyik sekali kebencian ini pada kaum minoriti migran. Tetapi ingat, sebelum minoriti migran menjadi mangsa kepada kebencian ini, hampir dua tahun semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH), kebencian kita adalah kepada minoriti bangsa Cina dan India. Pada ketika itu, dilihatnya seperti tidak ada satu pun yang baik tentang bangsa lain melainkan bangsa majoriti sendiri. Kini peralihan kebencian itu adalah pada kaum migran. Malah, bangsa minoriti Cina dan India kini turut sama-sama berganding bahu bersama kaum majoriti Melayu membenci kaum migran ini. Soalnya adalah mengapa?

Terdapat dua perkara yang barangkali menjadi punca kepada permasalahan ini. Pertama sekali adalah daripada segi politik dan tadbir urus. Dilihatnya seperti ahli politik yang memainkan peranan membina naratif terhadap kebencian ini. Lihat sahaja bagaimana ada satu masa, golongan konservatif sanggup turun ke jalan berdemonstrasi kononnya harus menyelamatkan saudara seislam Rohingya, juga tidak ketinggalan kempen mengangkat sepanduk “R4BIA” tetapi pada satu masa yang lain golongan yang sama juga menyokong untuk mereka ditangkap beramai-ramai dan dihantar ke pusat tahanan. Naratif yang sangat kontradik ini amat membahayakan kerana hanya dalam sekelip mata segala pencerahan, perbincangan dan persetujuan mampu menghilangkan kemanusiaan dalam sekelip mata, atas dasar keputusan yang terbaik, untuk menjaga nama dan kekuasaan golongan yang tertentu.

Bahkan jika dilihat kini, masalah kebencian terhadap kaum Cina dan India selepas naiknya Perikatan Nasional (PN) seolah-olah tiada langsung. Ini membuktikan yang dimarah-marahkan selama ini bukanlah perbuatan yang salah atau tidak adil tetapi hanya semata-mata kerana naratif kebencian yang diangkat oleh elit politik.

Kedua adalah, penggunaan media sosial yang tidak beretika. Kemudahan yang ada pada waktu kini menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan untuk menyebarkan berita palsu untuk menyemarakkan lagi kebencian. Malah, kemudahan ini menyebabkan masyarakat mengambil mudah untuk membuat semakan sebelum mempercayainya. Akhirnya ia melahirkan masyarakat yang malas membaca dan cuma mempercayai dengan apa sahaja yang ada di media sosial.

Justeru, perkara ini seharusnya ada penyelesaiannya. Pertama sekali adalah perbincangan yang terbuka harus diadakan. Tidak kira sama ada daripada segi sejarah atau isu sosial masa kini. Perbincangan tidak seharusnya dibatalkan kerana menyinggung perasaan mana-mana pihak. Namun begitu tidaklah ia bermakna kita berhak untuk menjatuhkan dan menindas pihak yang lain. Tujuan perbincangan yang terbuka adalah supaya masalah dapat dilihat dengan jelas dan diakui bahawa ada permainan kuasa dalam naratif agama dan bangsa ini.

Keduanya adalah mengangkat peranan ahli intelektual dalam masyarakat untuk mengangkat isu-isu yang bermasalah kini. Ahli intelektual seharusnya jujur dan tidak hanya berdiri dalam ruangan dinding-dinding universiti serta tidak berpijak pada bumi realiti. Ahli intelektual adalah mereka yang terpilih dan beruntung sekali. Di saat segala sumber ada di hujung jari mereka, maka merekalah yang seharusnya terkehadapan dahulu dalam membicarakan isu masalah rakyat. Sampai bila soal kemiskinan mahu dibincangkan secara graf mahupun digit tetapi di luar kampus universiti ada keluarga mahasiswa kelaparan, yang berpunca daripada Dasar Ekonomi Baharu yang ditubuhkan selepas 13 Mei itu tadi? Lebih dangkal, apabila ahli-ahli intelektual memilih untuk berada bersama tampuk kekuasaan dan mengiakan naratif penindasan yang diangkat dan bukannya naratif kemanusiaan.

Kredit Gambar: BERITA Mediacorp

 

Terakhir sekali mahu tidak mahu adalah peranan para alim ulama itu sendiri. Kata Dr. Azhar Ibrahim dalam bukunya “Memikir-Ulang Tradisi Untuk Pembaharuan”, antara tiga peranan ulama yang terpenting adalah pertama; kesedaran akan peranan dan tugasnya yang harus diangkat secara berhemah tanpa membuat dakwaan mutlak. Kedua adalah keberanian moral untuk menyatakan apakah yang tidak beres dalam masyarakat, dan yang ketiga adalah terkedepan dalam menyanggah mana-mana aliran pemikiran yang bersikap eksklusif, prejudis, dan cauvinis.

Makanya, jika mereka di atas ini tidak memainkan peranan justeru membiarkan elit politik terus menerus menentukan naratif kebencian yang ada kini, tidak mustahil sejarah terdahulu bakal berulang. Lebih menyakitkan kebencian ini hanya untuk mengukuhkan lagi kerusi-kerusi kekuasaan mereka, sebaliknya masyarakat masih lagi dalam keadaan berantakan sesama sendiri.  Oleh itu, haruslah kita kembali melihat sejarah supaya tidak lagi kita mengulangi masalah yang sama. Kebencian yang ada pada waktu pemerintahan PH atau kebencian yang timbul semasa COVID-19 ini semuanya hanyalah simptom yang lahir daripada penyakit yang sama – tidak mahu kembali dan melihat sejarah.