Realiti Pergolakan Sosial Era Pandemik 

Oleh Adhura Husna

 

 

Kuala Lumpur, 5 November 2020 | Adhura is a scientist at heart, an almost-quant in practice and an adventurer, always, flaneurizing through the unknown.

Sambutan Hari Kemerdekaan ke-63 dan Hari Malaysia ke-57 baru-baru ini diraikan dengan sambutan serba besederhana daripada biasa dalam keadaan wabak Covid-19 yang masih menular pada tahun ini. Wabak ini bukan sahaja telah mempengaruhi pergerakan sosial seperti sambutan perayaan dan cuti peristiwa tetapi juga telah memberi kesan kepada keadaan ekonomi negara. Kemeruduman ekonomi dunia yang menyebabkan pemberhentian kerja secara besar-besaran terutamanya sewaktu berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun lalu.

 

Covid-19 Melebarkan Jurang Ekonomi

Wabak Covid-19 yang diisytiharkan sebagai pandemik membahayakan umum awal tahun 2020 oleh World Health Organisation (WHO)  telah menyebabkan negara-negara mengambil langkah berjaga-jaga untuk menanganinya. Antaranya adalah dengan menguatkuasakan penutupan sektor ekonomi serta penyekatan sempadan-sempadan negara mahupun mengambil jalan ke arah imuniti kelompok (herd immunity) seperti sesetengah negara. Malaysia juga tidak kurang berbuat demikian dengan menguatkuasakan PKP bermula 18 Mac 2020.

Kredit gambar: abc.net.au

Namun begitu, langkah-langkah yang diambil bagi membendung penularan wabak ini ternyata tidak lari daripada memberi impak negatif kepada ekonomi. Jabatan Perangkaan Malaysia mencatatkan jumlah pengangguran meningkat kepada 3.9% iaitu pertambahan 100,000 orang berbanding bulan sama pada tahun 2019. Penutupan kebanyakan sektor ekonomi telah menjejaskan pasaran global dan tempatan yang menyebabkan kebanyakan pekerja, terutamanya pekerja yang memakan gaji harian seperti pekerja sambilan, pekerja kedai makan dan buruh kasar misalnya.

Keadaan jurang sosio-ekonomi antara kaum dan agama yang telah sedia ada besar, berdasarkan kajian dalam buku The Colour of Inequality oleh Dr Muhammad Khalid, kini melebar mengikut laporan hujung tahun 2019 dibandingkan dengan tahun 2016. Jurang sosio-ekonomi antara etnik, kaum serta agama masih tidak mempunyai perubahan banyak malah ditambah pula dengan jurang antara kelas-kelas bawahan (B40) dan pertengahan (M40) yang semakin melebar.

Walaupun tiada lagi laporan rasmi berkenaan impak wabak ini terhadap keseluruhan sistem ekonomi kita, namun kita pasti bahawa jurang antara kaum dan kelas ini semestinya semakin melebar apabila rata-rata yang terkesan adalah masyarakat kelas bawahan (B40) yang kebanyakannya bekerja dengan upah harian serta kelas pertengahan (M40) yang terkesan akibat pemberhentian oleh syarikat-syarikat bagi mengurangkan kos operasi.

Hal ini tidak dibantu dengan dasar-dasar kerajaan yang kebanyakannya bersifat berjimat cermat (austerity) dan tidak menggalakkan pertumbuhan dengan kadar yang berterusan.

 

Dasar Pecah dan Perintah Versi Abad ke-21

Masih segar dalam ingatan kita bahawa saat kita mula menghadapi wabak yang menuntut ramai rakyat Malaysia serta barisan hadapan meninggalkan keluarga mereka, berlakunya konflik politik yang telah menyebabkan pertukaran pemimpin kerajaan. Hal ini membangkitkan keresahan dalam sesetengah pihak kerana perbezaan antara keputusan demokrasi PRU14 yang lepas dan sesuatu yang kita boleh panggil kudeta (coup de’tat) ini.

Kredit gambar: bangkokpost.com

Tidak dinafikan, bancian Merdeka Center menunjukkan Malaysia sememangnya adalah negara yang secara majoritinya lebih bersandar kepada pegangan-pegangan tradisional seperti ketuanan Melayu, agama Islam dan budaya Melayu adalah benar, sejajar dengan Perlembagaan Persekutuan dan majoriti rakyat yang merupakan kaum Melayu. Namun, Langkah Sheraton boleh disifatkan sebagai peristiwa yang bukanlah cara membentuk kerajaan yang kita mahu, dan bukan juga kerajaan yang kita perlukan, tetapi kerajaan yang kita terpaksa bersamanya. Malaysia yang kekal konservatif menelusuri arus perdana ini  diakui ada kebaikan dan keburukannya tersendiri.

Hal ini tidak seharusnya dinafikan, malah harus diambil sebagai pengajaran supaya kita terus maju kehadapan dengan nilai-nilai yang baik. Namun, tindakan bersifat rampasan kuasa seperti yang telah berlaku dikhuatiri membenih semula keresahan-keresahan antara kaum dan agama yang telah lama wujud dalam diri rakyat.

Perasaan ketidakadilan terhadap layanan yang diberikan sesetengah pihak bukanlah sesuatu yang baharu dalam diri masyarakat. Kita boleh perhatikan hal ini dengan mengkaji saat-saat menjelang peristiwa-peristiwa berdarah menjelang rusuhan kaum di Malaysia seperti Peristiwa 13 Mei (1969), Peristiwa Kampung Medan (2001), dan baru-baru ini peristiwa di Kuil Sri Maha Mariamman (2018).

Benar, kita boleh menuding jari menyalahkan sesetengah masyarakat namun bukankah setelah lebih 60 tahun kemerdekaan, seharusnya keharmonian Malaysia tercapai? Di manakah silap kita? Jika British dahulu menjajah dan menjauhkan kita antara satu sama lain dengan membezakan peluang pekerjaan, seperti Melayu bertani di kampung, Cina melombong dan India bekerja di estet-estet, malangnya kita juga berbuat perkara yang hampir sama.

Betul, tidaklah serupa namun dengan permainan politik kita, ia serupa dengan nilai dasar pecah dan perintah zaman kolonial penjajah. Permainan politik perkauman yang bertapak lama di Malaysia dan memasuki arus perdana, digaramkan pula dengan penggunaan media sosial yang setiap hari ada sahaja semaian ucapan kebencian. Ke manakah perginya kesopanan dan ketatasusilaan kita sebagai rakyat Malaysia?

Kurang ajar itu harus. Namun ada tempatnya.

 

Ibarat Telur Sesangkak, Pecah Sebiji, Pecah Semua

Kredit gambar: straitstimes.com

Malaysia sebenarnya bukanlah harmoni. Kita ibarat retak menanti belah. Ketegangan sosial tinggalan penjajah 60 tahun lalu kian mekar dengan sentimen-sentimen ketakutan yang mengasingkan. Ucapan-ucapan kebencian pula dihidang bersama penggunaan media sosial dan diriwayatkan kepada anak-anak kita. Apakah yang sedang kita lakukan tentang perkara ini? Usman Awang menulis:

Suatu bangsa tidak menjadi besar

Tanpa memiliki sifat kurang ajar

Namun siapakah musuh kita sebenarnya? Adakah yang bergelar warganegara walaupun berlainan warna kulit dan budaya?

 

Kesan Kepada Negara

Kredit gambar: straitstimes.com

Beberapa kajian menunjukkan bahawa ketegangan antara kaum menyebabkan kesan buruk kepada makroekonomi negara. Misalnya, ketegangan antara kaum yang berterusan akan mengurangkan kepercayaan pelabur kepada keadaan ekonomi negara. Pelabur lebih gemar melabur dalam keadaan sosial yang stabil kerana keadaan sosial yang stabil boleh menjamin ekonomi yang stabil, maka sekaligus menguntungkan mereka. Apabila pelaburan langsung asing (foreign direct investment) berkurangan, hal ini mengganggu ekosistem ekonomi yang bergantung kepadanya seperti peluang pekerjaan dan sebagainya.

Kedua, ketegangan antara kaum yang berterusan menyebabkan kemeruduman kualiti institusi berkaitan kerana kurangnya sifat kerjasama serta saling memahami antara satu sama lain. Hal ini mempengaruhi kesan jangka masa panjang terhadap pengeluaran daripada institusi-institusi tersebut seperti modal insan contohnya.

Kedua-dua perkara ini dan kesan-kesan lain mengekalkan lagi status quo ketidakharmonian dalam negara dan pergolakan sosial antara kaum. Oleh itu, tanggungjawab memajukan Malaysia ke arah yang jauh lebih baik bukan sahaja terletak kepada pihak pemimpin yang paling atas, namun juga bermula sekecil-kecil kanak-kanak dan ibu bapa itu sendiri.

Covid-19 telah memperkenalkan norma baharu. Jadikan norma baharu kita dengan membetulkan yang salah dan terus maju ke hadapan berprinsip.

 

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.