Bom Jangka dan Pembunuh Sebenar Umat Manusia  

 
Oleh Calvin Ohsey, Aktivis Antara Agama
Kuala Lumpur, 29 November  2020 | Calvin Ohsey mempunyai pengalaman 5 tahun bekerja bersama Gereja Katolik bagi Keuskupan Melaka Johor sebagai staf bagi beberapa portfolio berkaitan belia kampus, dialog antara agama dan juga institut pastoral.

Dalam era ketamadunan manusia kini yang meraikan demokrasi sebagai suatu asas kehidupan bermasyarakat sudah tentu tidak lekang daripada aktiviti meraikan kebebasan manusia untuk berekspresi dan meluahkan isi hati.  Namun kebebasan yang dimiliki umat manusia kini sentiasa diuji dengan perbezaan pendapat mahupun konflik dalaman yang dipengaruhi persekitaran masing-masing.

Perlu difahami apa yang dimaksudkan dengan kebencian dan ucapan kebencian.  Menurut kamus Oxford Advanced Learner’s Dictionary, benci (hate) itu merujuk kepada:

  1. sangat tidak menyukai seseorang atau sesuatu.
  2. digunakan semasa mengatakan sesuatu yang anda lebih suka tidak perlu dikatakan, atau ketika dengan sopan meminta untuk melakukan sesuatu

Selanjutnya ucapan kebencian (hate speech) pula merujuk kepada “ucapan atau tulisan yang menyerang atau mengancam sekumpulan orang tertentu, terutama atas dasar bangsa, agama atau orientasi seksual.”

Kredit Gambar: https://cdn.vox-cdn.com/

Sentimen Kaum dan Agama

Menyelusuri perkembangan semasa sejak Mac 2020 lalu,  badan penyelidikan The Centre menerusi kajian terbitan mereka bertajuk “Laksana Virus: Wajah Ungkapan Benci di Malaysia Semasa Covid-19. (2020)” menunjukkan wajah sebenar segelintir rakyat Malaysia dalam kebebasan bersuara dan ucapan mereka di laman media sosial.

Beberapa penekanan penting perlu diberikan mengapa ungkapan kebencian dizahirkan.  Pertama, sesetengah masyarakat begitu cepat melatah dalam memberi reaksi mahupun maklum balas terhadap sesuatu perkara dengan negatif lebih-lebih lagi jika ianya dilakukan oleh kelompok kaum mahupun suatu agama tertentu.  Sebagai contoh, penularan wabak COVID-19 melalui kluster Tabligh telah memaparkan cara berfikir mahupun ungkapan kebencian terhadap agama Islam dan orang Melayu secara umum oleh masyarakat bukan Islam.

Kredit gambar: Hindustan Times melalui Getty Images

Kedua, laporan berita sama ada berita politik mahupun berita berkaitan wabak COVID-19 turut berperanan memainkan sentimen perkauman dalam laman media sosial.  Menerusi kajian The Centre, sentimen kebencian ini diungkapkan melalui tahap pemahaman sesuatu kaum terhadap isu semasa, stereotaip ciri-ciri kaum, sasaran sokongan parti politik, seruan untuk bertindak bagi memulaukan sesuatu kaum, kaitan dengan sentimen keagamaan sama ada sebagai suatu suruhan dan juga sasaran terhadap perhimpunan keagamaan.

Ketiga, apa yang dapat dilihat melalui perkembangan ini menunjukkan bahawa terdapat jurang mahupun ruang kesenjangan komunikasi dan interaksi antara kaum dalam Malaysia.  Ini dapat dilihat melalui label-label negatif dan stereotaip terhadap sesuatu kaum dipukul sama rata yang dianggap sebagai ciri-ciri utama kaum mahupun penganut agama tertentu.

Keempat, politikus dan kuasawan mempermainkan isu atau sentimen perkauman dan keagamaan bagi meraih sokongan penyokong mereka.  Ini dapat dilihat melalui kempen-kempen pilihan raya kecil (PRK) mahupun Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-15 yang lalu.  Kempen-kempen negatif seperti mempertikaikan dominasi sesuatu kaum dalam pentadbiran negeri, kempen anti-Kristian atau anti Islam dan juga kempen anti-penduduk bermastautin tetap serta pendatang tanpa izin (PATI) dari Indonesia dan Filipina dimainkan untuk meningkatkan rasa tidak puas hati pengundi sasar agar tidak menyokong parti lawan mereka.

Kelas Masyarakat

Suasana panik dalam mendepani COVID-19 telah memaparkan suatu sikap segelintir manusia yang amat mementingkan diri mereka sendiri tanpa menghiraukan masyarakat sekeliling mereka.  Ini dapat dilihat sebagai wujudnya kelas masyarakat antara golongan berpendapatan tinggi, sederhana mahupun rendah. Tularnya video pembelian panik mengundang pelbagai komen negatif netizen terhadap kaum Cina Malaysia.

Label seperti “kluster kayangan” pula digambarkan kepada golongan berpendapatan tinggi yang baru sahaja pulang dari luar negara dan enggan memberi kerjasama mahupun menghargai usaha tenaga barisan hadapan bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semasa di pusat kuarantin, turut mengundang kecaman mahupun perilaku buli siber terhadap golongan terbabit.

Amat tidak memuaskan hati ramai apabila golongan politikus diberi layanan berbeza berbanding rakyat marhaen dalam pematuhan SOP COVID-19.  Ini terjadi disebabkan kegagalan kerajaan memberi hukuman serta tindakan sewajarnya bagi yang tidak mematuhi SOP. Masakan rakyat biasa dikenakan denda yang lebih berat dan tindakan tegas berbanding politikus.  Sikap tidak berpuas hati ini dipaparkan melalui label-label negatif di laman media sosial terhadap penyokong parti politik mahupun kaum-kaum tertentu.

Kredit Gambar: STR/AFP melalui Getty Images

Isu pelarian Rohingya di Selayang juga mengundang rasa tidak puas hati netizen daripada pelbagai kaum di mana mereka dicop sebagai pengotor, tidak menjaga kebersihan dan menjadi pembawa wabak COVID-19.  Maka kerajaan tiba-tiba bertindak populis, dengan tegas mengehadkan penerimaan masuk pelarian Rohingya dengan alasan keselamatan dan seterusnya menafikan hak mereka bagi mendapatkan perlindungan.

 

Penyelesaian

Memang tidak dinafikan risiko kebencian antara agama dan kaum memang tidak dapat dielakkan.  Namun, kerajaan melalui kuasa yang ada perlu memperuntukkan undang-undang yang bukan sahaja menjamin hak kebebasan bersuara namun mengekang juga ucapan dan ungkapan kebencian terhadap kaum dan agama yang ada di Malaysia.

Cadangan Akta Kebencian Agama dan Kaum perlu dibawa kembali sebagai usul ke parlimen untuk dibahaskan dan diluluskan bagi pelaksanaannya.  Perlu adanya juga keterlibatan semua pemimpin agama sebagai pemegang taruh dalam usul tersebut.

Kerajaan sewajarnya menjadi lebih kompeten untuk melaksanakan pematuhan undang-undang penularan wabak sepertimana yang diuar-uarkan dan berlaku adil terhadap semua pesalah tanpa mengira status kedudukan dalam masyarakat. Pemimpin parti politik sewajarnya memberi teladan yang baik kepada rakyat dan bukannya berlindung di sebalik ‘kekebalan’ jawatan.

Pemimpin agama mahupun masyarakat hendaklah memainkan peranan penting dengan menggunakan pengaruh mereka sama ada di laman media sosial, kenyataan rasmi mahupun ucapan-ucapan dalam sesi keagamaan yang memberi kesedaran kepada penganut agama masing-masing untuk menjaga tutur kata mahupun mengawal emosi dan pematuhan kepada arahan kerajaan mengenai SOP yang ditetapkan dalam menghadapi kehidupan sepanjang wabak COVID-19.

Seterusnya, kesedaran individu dalam menangani COVID-19 perlu bermula dengan niat dan juga corak pola pemikiran yang baik.  Dengan pelbagai cabaran dan juga tekanan yang dihadapi sepanjang musim pandemik ini, amat wajar untuk individu perseorangan agar bertenang, muhasabah diri dan menjadi lebih penyayang terhadap diri sendiri dan juga orang lain tanpa mengira di alam nyata mahupun di alam maya.

Memetik kata-kata Yesus di dalam Injil sebagai renungan, “Apa yang masuk ke dalam mulut seseorang turun ke perut lalu keluar semula. Sebaliknya, apa yang keluar daripada mulut datang daripada hati, dan inilah yang menajiskan. Daripada hati timbul fikiran jahat yang mendorong seseorang membunuh, berzina, berbuat cabul, mencuri, memberi kesaksian palsu, dan memfitnah” (Matius 15:17-19, Alkitab).

Nabi Muhammad SAW juga pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia di antaramu adalah yang paling banyak manfaatnya bagi orang lain” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim).

Akhir kata, semua rakyat Malaysia diajak untuk menjadi lebih berhemah dan  bertanggungjawab dalam mengharungi situasi wabak pandemik COVID-19 ini.  Setiap tutur kata boleh menjadi berkat mahupun kutukan terhadap diri mahupun orang lain. Dan ini lebih bermanfaat daripada menanam benih kebencian kepada manusia lain secara khususnya.

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia