Dialog dan Empati

Pengarah Eksekutif Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA
Kuala Lumpur, 7 Disember 2020 | Artikel ini merupakan lanjutan daripada wacana dalam talian Perbincangan Panel Siri #3: Dialog Antara Agama dan Kaum Pemangkin Kesefahaman dan Kedamaian oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) pada 12 November 2020 (Khamis). Panelis yang membincangkan topik ini adalah Lim Hong Siang (penulis, SAUDARA), Nagaranee Moorthy (Malaysia Hindu Sangam) dan Ahmad Fahmi (ABIM). Rakaman perbincangan ini boleh didapati di Channel YouTube KMU. Artikel ini juga telah diterbitkan di laman web ALTERNATIF.

Foto ihsan Merdeka Review

Antara kelemahan kerajaan terdahulu sebelum ditumbangkan melalui ‘Langkah Sheraton’ adalah kegagalan mereka untuk menangkis gelombang retorik perkauman dan agama yang membadai. Fahaman sempit dan hujah konservatif yang disampaikan dengan nada yang keras, terus mendominasi gelanggang wacana tanah air.

Hakikatnya, ia juga satu kegagalan bagi kita yang berkongsi idea progresif dan pendekatan yang sederhana, juga inklusif. Kita mengesan fenomena bagaimana kelompok masyarakat yang berbeza sedang menuju ke arah ekstrem masing-masing, lebih-lebih lagi dalam media sosial yang direka untuk menghimpunkan kelompok manusia mengikut “zon yang sewaktu dengannya”. Suara mereka yang seia sekata bergema, menenggelami pandangan yang berbeza.

Justeru itu, kita mengambil inisiatif untuk mengadakan dialog antara agama dan kaum, sebagai usaha untuk membina jambatan antara kelompok yang berbeza, menggantikan tembok yang memisahkan sesama kita. Kita berhasrat untuk mempertemukan kelompok yang berbeza pada satu titik persamaan, ataupun sekurang-kurangnya membataskan perbezaan kita dengan sempadan prinsip tertentu, misalnya tiada keganasan dibenarkan untuk menyelesaikan perbezaan pandangan.

Mengapa “Dialog” Gagal?

Bagaimanapun, usaha yang murni ini, tidak menemui matlamat sebagaimana yang disasarkan. Ini kerana seringkali kita membincangkan isu konsep, ataupun nilai bersama, yang pada pandangan kita mampu menyatupadukan masyarakat kita. Misalnya, kita mengangkat nilai empati, mengajak kelompok Cina untuk menyelami situasi masyarakat Melayu, yang memperlihatkan bagaimana keresahan itu timbul dalam kalangan mereka yang terkapai-kapai dalam arus pembangunan ekonomi.

Usaha untuk mengolah restu sesetengah kelompok Cina dalam hal ini akan gagal, seandainya kita tidak menyelami juga situasi golongan Cina ini sendiri. Boleh jadi mereka berasal daripada kelas menengah bawah, pernah dinafikan kelayakan untuk masuk ke universiti awam lantaran sekatan kuota; atau terlepas peluang tertentu sepanjang hayat kerjayanya, disebabkan warna kulitnya. Daripada kaca mata mereka, “dialog” sama ada untuk memupuk persefahaman, mahupun keharmonian, tidak memberi kesan untuk mengubah nasib mereka. Mereka menganggap diri sebagai mangsa dalam sistem ini, dan “dialog” sedemikian tidak lain tidak bukan untuk memujuk mereka agar terus akur kepada “ketidakadilan” yang dialami.

Begitu juga seandainya kelompok Melayu diseru untuk berempati dengan komuniti Cina. Bayangkan jikalau kita mengambil contoh seseorang penghantar makanan, pengalamannya berurusan dengan komuniti Cina boleh jadi terbatas kepada pelanggan yang menempah makanan. Si penghantar makanan sudah tentu tahu harga makanannya, dan sempat menjenguk keadaan rumah si pelanggan meskipun dari luar.

Justeru itu, apabila KOL (Key Opinion Leader, atau pemimpin pendapat utama) berhujah dengan berapi-api bahawa Cina mendominasi ekonomi dan kini menuntut kuasa dominan dalam politik, tidak mustahil kalau si penghantar makanan termakan dengan propaganda sedemikian. Lebih-lebih lagi, seandainya pelanggan Cina yang ditemuinya berhidung tinggi atau cerewet, maka tidak pelik kebenciannya tercungkil, sungguhpun ramai lagi Cina di luar sana yang tidak mampu menempah makanan, dan murah hati orangnya.

Pendek kata, inisiatif untuk berdialog ini perlu mengambil kira faktor ekonomi-sosial dalam setiap kelompok kaum, kerana pengalaman hidup harian dalam “circle” seseorang individu membentuk persepsinya terhadap kelompok lain. Melayu yang pernah ditipu peniaga Cina, biarpun sekali sahaja dalam hidupnya, mungkin cenderung untuk mempercayai bahawa pemuda Melayu membuat kecoh di Plaza Low Yat kerana ditipu tauke Cina; manakala Cina yang pernah barang kedainya dicuri budak Melayu, akan menyimpulkan bahawa pemuda itu “cari pasal” selepas dikantoikan. Akhirnya, semua sembang berdasarkan persepsi tanpa mengambil kisah apa sebenarnya yang terjadi.

Kompleksiti Dalam Masyarakat

Pengalaman hidup harian dijadikan asas terbentuknya prejudis atau buruk sangka yang dipukul rata ke atas kelompok etnik tertentu. Malah dengan kaca mata berwarnakan kulit, ramai yang gagal melihat kompleksiti dalam sesebuah masyarakat, dengan lapisan yang berbeza-beza. Mengambil contoh polemik tulisan Jawi, sebuah pertubuhan Cina, Yayasan Tan Kah Kee telah menerbitkan kalendar 2020 yang merangkumi kaligrafi Cina, Jawi dan Tamil; malah Pusat Pembangunan Kebudayaan LLG (sempena nama Lim Lian Geok, seorang pejuang pendidikan bahasa Cina) juga mengadakan kelas tulisan Jawi dan Tamil, selepas kontroversi pengenalan Jawi tercetus di sekolah jenis kebangsaan.

Bahkan dalam pertubuhan seperti Dong Zong, terdapat juga pandangan yang berbeza. Sementara sekumpulan pimpinan mahupun akar umbi terbeban dengan sejarah bagaimana pendidikan aliran bahasa Cina cuba dipinggirkan, lantas lebih berwas-was dan bertekad untuk mempertahankan kubunya; sekumpulan lagi pula lebih terbuka untuk mengambil pendekatan yang sederhana. Kumpulan yang cuba melangkah keluar dari kepompong lama, dengan menganjurkan dialog, aktiviti silang budaya dan sebagainya, dibalas pula dengan sambutan yang negatif daripada sesetengah masyarakat Melayu. Keikhlasan mereka dipertikaikan oleh kumpulan yang bersangka buruk terhadap Dong Zong.

Sengaja atau tidak, reaksi negatif seperti sindiran, maki-hamun daripada sesetengah netizen Melayu, telah “mengesahkan” bahawa “pendekatan dialog dan silang budaya tidak mengubah apa-apa”, daripada sudut pandangan masyarakat Cina. Sedangkan, jikalau keikhlasan yang dihulurkan itu disambut dengan positif, kumpulan yang membawa pendekatan sederhana ini mampu meyakinkan Cina yang berada di atas pagar untuk meneruskan usaha ini. Malangnya, realiti seringkali mematahkan semangat mereka yang berkobar-kobar. Tidak sukar untuk dibayangkan, seandainya situasi ini berterusan, maka akan ada yang kembali ke kubu masing-masing untuk membina tembok yang lebih tinggi dan tebal.

Cabaran yang terpampang di depan mata, bagaimana kita menjadikan wacana yang progresif  juga pendekatan sederhana dan inklusif sebagai arus perdana? Kita perlu mewujudkan satu suasana di mana masyarakat kita yakin bahawa manusia yang berpijak di atas bumi ini kebanyakannya menuntut keharmonian dan meraikan kepelbagaian. Kita perlu menuntut semula Malaysia yang progresif, terbuka, inklusif dan sederhana!

Untuk itu, kita yang menganjurkan pendekatan berdialog, wajib meyakinkan setiap lapisan masyarakat bahawa cara untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam kehidupan hariannya bukan dengan berdendam tetapi berdamai. Kita wajar menampilkan formula yang berjaya untuk diteladani – bahawa dengan berdialog, satu jalan penyelesaian mampu dimuafakati. Untuk masalah yang gagal diselesaikan dalam tempoh singkat, kita perlu membentangkan pelan bagaimana ia boleh diselesaikan secara berperingkat-peringkat. Hanya apabila masyarakat kita merasai hasil yang dituai, barulah mereka yakin dengan usaha kita.

Saya tiada jawapan lebih daripada itu, dan kita perlu bersedia untuk mengharungi liku-liku ini, seandainya kita benar yakin bahawa inilah jalannya untuk Malaysia yang tercinta.

Lim Hong Siang adalah Pengarah Eksekutif Penyelidikan Sosio-Budaya SAUDARA. Kini kolumnis d Malaysiakini, Malaysia Dateline, Oriental Daily dan sebagainya.

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.