Ashin Wirathu, Mufti Terengganu & Kebebasan Beragama

Oleh Afiq M Noor

 

Kuala Lumpur. 18 Disember 2020 | Afiq M Nor adalah seorang peguam dan penyelidik isu-isu perundangan Islam, gender & seksualiti

 

Saya tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Yangon lebih kurang jam 9 pagi. Setelah menyelesaikan urusan imigresen dan mengambil bagasi, saya terus ke kios yang menjual pelbagai kad sim telefon dan mula mengetik pesanan kepada teman saya, Michelle Yesudas untuk memaklumkan bahawa saya sudah tiba di Yangon setelah hampir 24 jam perjalanan dengan pesawat dari Melbourne dan transit di Singapura.

Dalam masa beberapa jam lagi saya akan meneruskan perjalanan dengan pesawat domestik ke Nay Piy Taw, ibu kota Myanmar. Katanya pemerintah yang lalu memindahkan ibu kota Myanmar dari Yangon ke Nay Piy Taw setelah mendapat nasihat daripada seorang peramal nasib.

 

Kunjungan saya kali ini ke Myanmar adalah atas undangan untuk menyampaikan latihan tentang strategic litigation kepada peguam-peguam di Myanmar. Malam itu, setelah saya tiba di Nay Piy Taw kami makan malam dan seperti kebiasaannya, saya bertanya tentang perihal dan latar belakang peguam-peguam yang akan hadir ke program pada keesokan paginya. Sebelum pulang ke bilik hotel, saya diingatkan bahawa ada beberapa isu sensitif yang tidak boleh disebut sepanjang sesi latihan, antaranya isu tentang etnik minoriti Rohingya.

Bayangkan, di kalangan peguam-peguam sahaja yang sepatutnya faham dan celik tentang undang-undang, hak dan diskriminasi saya tidak dibenarkan bercerita tentang perlanggaran hak asasi oleh pemerintah kepada rakyatnya, bagaimana pula kepada orang-orang biasa? Begitulah parahnya pencabulan hak asasi yang dilakukan terhadap minoriti dan ini tidak terkecuali di tempat kita sendiri.

Di mana-mana negara, menjadi minoriti tidak mudah seperti yang dibayangkan. Jika di Myanmar menjadi Rohingya bukan sahaja tidak mendapat pengiktirafan negara bahkan didakwa sehingga terpaksa meminta perlindungan di negara-negara lain. Kita di Malaysia juga tidak banyak yang berbeza.

Saya masih ingat beberapa tahun lalu, sebuah organisasi (ekstrem) Melayu Muslim pernah menganjurkan seminar “Indahnya Islam” dan telah mengundang Mufti Terengganu sebagai salah seorang pembicara. Dalam ucapannya, beliau menyatakan bukan Muslim tidak boleh diberikan sebarang jawatan kepimpinan yang penting di dalam pemerintahan seperti Menteri Kewangan, Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan lain-lain. Hanya kerana mereka bukan beragama Islam.

Sumber: hakam.org.my

Bayangkan seorang penjawat awam, yang dibiayai dengan wang rakyat termasuk yang bukan Muslim, tergamak mengeluarkan pendapat yang mendiskriminasi sesama warganegara hanya kerana mereka bukan Muslim. Itu belum lagi kepada sesama Muslim yang berbeza pendirian dan pandangan keagamaan. Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) misalnya, mengeluarkan fatwa terhadap organisasi Sisters in Islam (SIS) kerana kononnya mempromosikan liberalisme dan pluralisme yang katanya bercanggah dengan prinsip ajaran Islam. Tapi ajaran Islam siapa?

Begitulah kita, mudah sekali mengatasnamakan Islam untuk menegakkan pendapat individu serta menjadi jurucakap Tuhan.

 

Negara Dan Kebebasan Beragama

 Sebagai seorang individu, sudah tentu saya mempunyai kecenderungan tertentu yang berbeza dengan individu yang lain. Perbezaan tersebut jika tidak diurus dengan baik boleh menimbulkan konflik yang berpanjangan. Daripada sekadar ‘tidak berlaga angin’ mungkin kita boleh sehingga saling berbunuhan hanya kerana menjadi berbeza.

Negara tidak boleh menjadi seperti individu. Negara bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada semua warganya tanpa mengira latar belakang kaum, kepercayaan atau ketidakpercayaan, keturunan, kelas sosial, kelas ekonomi dan seksualiti. Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi negara adalah asas kepada kebertanggungwaban ini.

Malangnya, Perlembagaan Persekutuan seringkali dicemari dengan tafsiran-tafsiran berat sebelah dan diskriminatif yang hanya menguntungkan majoriti. Undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan 1948, enakmen-enakmen perundangan Islam dan fatwa-fatwa seringkali dijadikan senjata untuk membunuh kebebasan individu khususnya kebebasan beragama dan berpendapat. Syiah, Ahmadiyah dan banyak lagi dinafikan hak bahkan ugutan untuk meninggalkan fahaman mereka.

Sumber: Malaysiakini

Lupakah kita bahawa Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan individu untuk beragama dan mengamalkan apa yang dipercayainya selagi mana ia tidak menimbulkan isu ketenteraman awam, kesihatan dan moral? Perlembagaan Persekutuan hanya memberikan kuasa kepada perundangan negeri untuk menggubal undang-undang yang mengawal dan menyekat aktiviti dakwah dan bukannya menghalang individu daripada mengamalkan apa yang dipercayainya.

Jika saya seorang Syiah misalnya, saya bebas bahkan perlu dilindungi oleh negara agar saya boleh beramal dengan apa yang saya imani. Negara juga mempunyai tanggungjawab untuk menyediakan kemudahan untuk saya beribadah tidak hanya di pojok kediaman peribadi bahkan mengakomodasi dengan penyediaan masjid khusus untuk komuniti Syiah atau lainnya.

Saya kira, menarik juga untuk digarisbawahi, Perlembagaan Persekutuan dalam Perkara 11 (4) sewaktu memberikan kuasa kepada negeri untuk membuat undang-undang yang mengawal penyebaran atau dakwah apa-apa doktrin kepada Muslim hanya menggunakan perkataan “boleh”. Hal ini bererti jika dirasakan tidak perlu atau tidak relevan, kerajaan negeri boleh juga memilih untuk tidak menggubal atau pada bila-bila masa sahaja memansuhkan undang-undang yang menghalang penyebaran atau dakwah doktrin lain kepada mereka yang beragama Islam.

 

Kebebasan Beragama Dalam Tradisi Islam

 Kebebasan beragama bukanlah sesuatu yang asing dan tabu dalam tradisi Islam. Salah satu mantera Qurani yang sering di ulang-ulang adalah, ‘La ikraha fi al-diin’ (tiada paksaan dalam beragama).

Saya masih ingat di awal tahun 2000, sewaktu mendengar ceramah daripada Allahyarham Datuk Ismail Kamus beliau mengatakan, “…nak masuk Islam memang tak boleh dipaksa-paksa tapi bila dah masuk Islam kena ikut kesemua. Macam jadi askar la, pagi-pagi kena berkawad. Tak nak berkawad jangan masuk askar, dah masuk askar kenalah berkawad…” dan di sambut gelak ketawa oleh para pendengar.

Sumber: Goodreads

Ibn Jarir Al-Thabari di dalam tafsirnya sewaktu menceritakan asbab al nuzul (sebab diturunkan) ayat 256 Surah Al Baqarah tersebut menyatakan, terdapatnya kepercayaan di kalangan masyarakat Arab Jahiliah pada masa tersebut jika seseorang anak beragama Yahudi, dipercayai umur anak tersebut akan panjang. Kepercayaan itu membuatkan perempuan-perempuan yang sering keguguran dan kematian anak sewaktu masih kecil, bernazar akan menjadikan anak-anak mereka seorang Yahudi dengan harapan anak yang lahir daripada rahim mereka akan panjang umur. Kepercayaan ini secara tidak langsung telah meletakkan agama Yahudi lebih tinggi berbanding agama-agama dan kepercayaan lain.

Ketika salah satu kelompok Yahudi di Madinah (Bani Nadhir) diusir berikutan komplot untuk menyerang Muslim di Madinah, para Muslimin daripada golongan Ansar mula khuatir dengan nasib yang akan menimpa anak-anak mereka yang tinggal dan beragama Yahudi. Adakah mereka akan terusir bersama-sama dengan Bani Nadhir dan tidak lagi dibenarkan tinggal di Madinah. Kerisauan tersebut sehingga menyebabkan ada di antara para Ansar yang memaksa anak-anak mereka memeluk Islam.  Tindakan mereka ini kemudiannya di tegur oleh Al Quran.

Sumber: Pinterest

 

Bahkan, disebutkan di dalam sejarah bagaimana Raihanah Binti Zaid, seorang perempuan daripada Bani Quraizah yang tidak mahu memeluk Islam walaupun setelah dipujuk oleh Rasulullah SAW. Dr Ali Jum’ah di dalam Al Musawah Al Insaniah Fi Al Islam: Baina Al Nazariyah Wa Al Tatbiq menyatakan, “Lihatlah Raihanah, seorang tawanan perang daripada Bani Quraizah yang dipelawa memeluk Islam oleh Rasulullah SAW untuk dinikahi tetapi beliau menolak dan Rasulullah SAW menghormati pilihannya walaupun penolakannya tersebut membuatkan Rasulullah SAW bersedih…”

Sayangnya, teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW tidak langsung diambil perhatian oleh kita di berbagai belahan dunia Muslim, tidak terkecuali Malaysia. Sehingga hari ini berapa ramai saudara kita yang berfahaman Syiah, Ahmadiyah dan aliran-aliran yang berbeza daripada fahaman Islam mainstream terus berhadapan dengan diskriminasi, intimidasi bahkan sehingga hilang nyawa hanya kerana menjadi berbeza?

 

Kebersamaan Dalam Perbezaan

Sewaktu saya memberikan latihan keesokan harinya, saya ada berbual dengan beberapa orang peguam dan saya memberanikan diri bertanya tentang kebebasan beragama, diskriminasi dan pencabulan hak asasi yang dilakukan di Myanmar. Perlahan-lahan peguam tersebut menarik saya ke pojok ruang dan bercerita. Kebetulan dia yang juga seorang Muslim menceritakan kesukaran yang dihadapinya disebabkan oleh identitinya yang berbeza daripada majoriti.

Sebilangan besar Muslim di Myanmar tidak dilayan sebagai warganegara, tidak diberikan hak yang sama dengan warganegara yang lain bahkan di dalam banyak keadaan dinafikan hak mereka. Sebagai contoh disulitkan untuk mendapat kad pengenalan yang menyebabkan mereka tidak boleh mengundi dan sukar mendapatkan akses perkhidmatan yang disediakan pemerintah kepada rakyat.

Saya terfikir, adakah ini yang cuba disampaikan oleh Mufti Terengganu sewaktu berucap di seminar “Indahnya Islam” tersebut? Jika benar, kita tidak perlu pergi jauh-jauh mencari justifikasi dalam kitab-kitab ulama klasik semisal Al Ahkam Al Sulthaniyah. Lihatlah sami yang terkenal kontroversi di Myanmar, Ashin Wirathu juga mempunyai pemikiran yang sama.

Sumber: ArabNews.com

Nah, saya tidak menyalahkan ulama-ulama klasik dan karya mereka. Tetapi cara bacaan kita yang barangkali tidak kena. Barangkali kita tidak mengambil kira perkembangan zaman, peradaban dan cara berfikir manusia yang jauh sudah berbeza dari zaman kitab-kitab tersebut dikarang.

Realitinya, kita tidak hidup bersendirian. Kita saling memerlukan dan bergantung antara satu dengan yang lain. Perlukah kita menunggu untuk satu lagi Amri Che Mat atau Pastor Koh yang harus menjadi mangsa untuk kita mula berfikir dan bertindak? Wahai Tuhan, saksikanlah hamba-Mu telah menyampaikan.

 

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia