Wak Roger dan Kebersamaan Sejagat

Oleh Amirul Mukminin

 

 

Kuala Lumpur | 23 Disember 2020: Amirul Mukminin seorang yang cintakan tanah air, budaya dan bangsa. Beliau merupakan lepasan pondok tradisional di Kedah dan kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa peringkat Pasca-Siswazah dan fokus beliau adalah kepada kajian Geostrategi.

Kalau menurut hikayat Wak Roger, kebersamaan adalah ubat untuk kebencian. Pepatah Melayu berpesan “tak kenal maka tak cinta”, kedengarannya seakan mudah sahaja, tetapi pepatah ini sarat mengandungi falsafah kosmopolitanisme alam Melayu.

Kosmopolitanisme merujuk kepada sebuah keadaan dalam masyarakat yang berkongsi moral sama yang dipersetujui serta hidup dalam kepelbagaian sekaligus mempunyai interaksi yang tinggi antara pelbagai kaum. Bahasa mudahnya hidup dalam semangat kebersamaan dan toleransi. Alam Melayu sudah menjadi tanah bertandang bagi pelbagai kaum sejak ratusan ribu tahun lamanya.

Malangnya, mutakhir ini kebersamaan mudah dirobek-robek oleh segelintir kaum yang fanatik bermotifkan serakah politik.  Ramai mencari-cari solusi dan ubatnya, jawapan saya mudah sahaja, ubat bagi masalah zenofobia, kebencian dan sangsi antara kaum ini adalah kebersamaan itu sendiri.

 

Kisah Wak Roger

Mari saya kongsikan kisah sosok yang saya kagumi, Wak Roger (nama gelaran). Beliau adalah datuk/tok sebelah ibu saya. Beliau seorang pesara unit beruniform yang bertugas menjaga keamanan negara semasa orang Inggeris masih menjadi pihak administratif di Malaya. Beliau bertugas dari Kedah sehinggalah ke Sabah dan Sarawak. Orangnya biasa-biasa sahaja, tidak berpendidikan tinggi tapi berjiwa besar.

Wak Roger semasa pertengahan umur.

Sejak kecil Wak Roger dibesarkan oleh keluarga angkat, seorang wanita Jawa yang lanjut usia. Disebabkan kesusahan hidup, beliau terpaksa bekerja di ladang getah. Keadaan itu membuatkan beliau pandai berbahasa Jawa. Entah mungkin daripada situlah nama gelaran ‘Wak’ itu melekat, dan mungkin juga beliau sendiri berketurunan Jawa, saya pun tidak pasti.

Semasa remaja beliau berkawan dengan anak-anak jiran, dijaga makan minumnya oleh jiran tetangga yang bukan Melayu. Ya! Keluarga Benggali menyediakannya sarapan dan susu kerbau setiap pagi. Kadang-kadang apabila memancing bersama kawan-kawan Cina, hasilnya dibawa pulang dan dimasak bersama oleh ibu kawan Cinanya itu. Kata Tok, zaman itu zaman darurat, ramai Melayu ‘mampus’ (meminjam kata-katanya yang suka berseloroh dan cakap lepas), habis ‘mampus’ kawan Melayu keracunan ubi kayu. Namun dek kerana persahabatannya dengan jiran Cina itu, dia elok sahaja menikmati nasi.

Katanya lagi, Cina masa itu selalu diugut dan dirompak oleh gerila komunis. Bekalan makanan mereka banyak, cuma mereka tidak punyai khinzir untuk dimakan kerana pihak komunis telah mengambilnya untuk dimakan. Maka syukur makanannya sentiasa halal. Entahlah, kata guru saya Eddin Khoo, mungkin informasi itu salah memandangkan Tok saya masih begitu muda, Eddin merasakan keluarga Cina itu peka dengan makanan untuk Tok saya, maka mereka sengaja menyorokkan makanan tidak halal kepadanya.

 

Kaya Pelbagai Bahasa dan Budaya

Hasil persahabatan tersebut, beliau boleh berbahasa Kantonis. Sampailah ke hujung usia, kalaulah ke pasar tani, selalu juga beliau mendapat diskaun malah kadang-kala diberi percuma oleh penjaja nyonya tua ketika berjual beli di pasar tersebut. Beliau juga boleh berbahasa Tamil. Jika ke kedai-kedai Mamak pula, beliau boleh berborak menggunakan bahasa Tamil dengan tauke kedai-kedai tersebut. Selain itu, beliau juga boleh berbahasa Dayak atau Ngaju dan Kadazandusun dek kerana pengalamannya semasa menjaga hutan belantara negara di kepulauan Borneo. Sepanjang perkhidmatannya itu, beliau belajar untuk berbahasa Inggeris slanga. Entah dari mana juga beliau boleh berbahasa Thai dan bertutur loghat Kelantan. Yang pastinya semua ini melalui keramahan, ketamahan dan pergaulan sehariannya.

Parti Komunis Malaya semasa serangan gerila komunis berleluasa di Malaya sekitar tahun 1940-an ke 1960-an. (Sumber: Malaysiakini)

Kami anak menantu serta cucu diajarnya untuk menyukai Penang. Disebabkan Tok pernah berkhidmat di sana, beliau menyebut bahawa makanan, budaya dan masyarakatnya kaya dengan kepelbagaian. Kami turut diajar menghargai warna-warni keunikan hidup di Malaysia tercinta ini. Berbeza tapi bersama. Setiap bulan sekali, kami akan ‘turun’ ke Penang memburu makanan dan mengecapi keindahan budaya di sana.

 

Pendinding Kalis Kebencian

Setelah bersara, beliau sempat berniaga dan memandu teksi sebelum membulatkan diri kepada masjid di hujung usianya. Saya setiap kali ke masjid kadang-kadang gusar dengan ucapan beberapa penceramah yang membakar api kebencian, skeptisisme, zenofobia kepada agama dan kaum lain. Kebanyakan penceramah ini bermotif politik.

Tapi tidak kepada Tok walaupun sering ke masjid, tidak sedikitpun terlekat kebencian dan skeptisisme tersebut dalam dirinya, bahkan tetap berjual beli di pasar tani dan kedai runcit orang Cina dan India seperti biasa.

Wak Rogeratau nama sebenarnya, Hamzah bersama Isteri beliau semasa percutian ke Thailand

Seperti biasa. Saya tertanya-tanya apakah mekanisme penapisan maklumat yang beliau gunakan? Adakah kerana beliau sering tertidur semasa ceramah? Atau apakah kerana pengalaman hidup kebersamaan yang beliau lalui selama ini? Saya fikir, tidak lain tidak bukan, kerana beliau sudah “kenal, maka beliau cinta”.

Riwayat hidup Tok mengajar saya erti kehidupan yang dipaparkan al-Quran dalam Surah al-Hujurat ayat ke-13: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai kaum dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau kaumnya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)”.

Seperti sefaham saya, takwa ialah mereka yang berbuat baik sesama manusia dan menjaga kecintaannya kepada Allah. Bukan menghukum atau menjelikkan sesiapa. Sentiasa tulus bersahabat dan saling membantu. Itulah antara makna takwa yang Tok pertontonkan kepada kami semua. Sekaligus dipertontonkan kepada seluruh rakyat Malaysia bagi menangani masalah kebencian.

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia