Manifestasi Kesatuan Bangsa Malaysia

Oleh Bevelyrelin Sinun

 

Kuala Lumpur, 4 Januari 2021: Bevelyrelin Sinun merupakan seorang pelajar Universiti yang sedang menuntut di UNIMAS dengan mengambil bidang dalam Kajian Antarabangsa.

Kepelbagaian agama di sesebuah negara merupakan satu keunikan yang mewujudkan perbezaan amalan dan pandangan daripada setiap individu di sesebuah negara. Melihat kepada anutan agama yang berbeza ini, tanggungjawab setiap individu penting untuk menghormati agama lain bagi mengekalkan keharmonian masyarakat yang berbilang agama.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kesukaran untuk memastikan agama yang pelbagai ini mampu diterima baik oleh masyarakat. Hal ini disebabkan perkara ini merupakan perkara yang sensitif kerana ia mampu menimbulkan konflik antara penganut agama yang berbeza.

Kembali kepada sejarah dunia, salah satu konflik besar yang berlaku adalah perang Salib di antara umat Islam dan umat Kristian. Dalam konflik moden pula, terdapat konflik agama seperti di Sudan, Indonesia dan Ireland Utara yang mengorbankan banyak nyawa. Penyelesaian konflik ini merupakan sesuatu yang sangat sukar diatasi kerana punca meletusnya konflik ini adalah disebabkan terdapat pihak yang berkeinginan untuk menjadikan agama mereka sebagai satu-satunya agama, lalu berusaha untuk menghapuskan semua agama lain.

Perang Salib Pertama : “Peperangan yang berlaku di bawah dinding-dinding Antioch antara tentera salibi yang dipimpin oleh Bohemond dan tentera Karbouka, panglima perang Sultan Parsi. Lukisan oleh Frederic Schopin (1804-1880) abad ke-19. (Gambar oleh Leemage/Corbis melalui Getty Images)

Oleh itu, untuk memastikan keadaan seperti ini tidak berlaku dan bagi memastikan keharmonian pelbagai agama dalam sesebuah negara, peranan daripada pelbagai pihak terutamanya para pemimpin agama dan masyarakat amatlah diharapkan untuk melindungi hak beragama di sesebuah negara.

Menyentuh kepada peranan seseorang pemimpin agama, tanggungjawab yang dipikul amatlah berat dan besar dalam mengekalkan keharmonian masyarakat dan melindungi agama masing-masing di sesebuah negara yang mempunyai golongan agama minoriti dan majoriti. Hal yang demikian kerana pemimpin agama adalah individu yang berpengetahuan luas dalam hal-hal keagamaan. Oleh itu, masyarakat meletakkan kepercayaan kepada pemimpin agama mereka masing-masing. Dalam hal ini, pemimpin bertanggungjawab untuk memastikan setiap individu mendapat hak yang sama tanpa mengira fahaman agama yang berbeza.

Ilustrasi Pemimpin Agama (Sumber: 123rf.com)

Seperti yang kita lihat di negara kita sendiri, terdapat golongan agama minoriti yang mendapat kritikan dan pandangan negatif daripada golongan agama majoriti. Maka, pemimpin inilah yang bertanggungjawab menggalakkan keamanan dengan menolak amalan perkauman dan keganasan dalam pelbagai bentuk. Pada waktu yang sama, pemimpin boleh menganjurkan dialog antara agama kerana ia mampu meneruskan perpaduan, tolak ansur, hubungan etnik dan menghindarkan konflik dalam kalangan masyarakat majmuk di sesebuah negara. Dialog ini juga mampu mengurangkan prasangka dan memupuk kebersamaan dalam kalangan rakyat.

Bagi masyarakat pula, terdapat pelbagai cara yang mampu dilakukan untuk melindungi hak beragama ini. Masyarakat seharusnya mampu berfikir secara positif dan logik apabila menyentuh tentang anutan agama seseorang. Jika seseorang mengkritik agama lain dan memberitahu bahawa agama mereka lebih baik daripada agama lain, hal ini pasti akan mewujudkan pandangan negatif dan konflik di antara mereka.

Contohnya berkaitan dengan larangan makanan iaitu jika seseorang penganut Kristian makan makanan yang dilarang dalam agama Islam seperti khinzir, segelintir individu akan memberikan maklum balas yang negatif. Dalam hal ini, masyarakat seharusnya mengamalkan sikap hormat-menghormati antara satu sama lain walaupun terdapatnya perbezaan pendapat atau fahaman. Masyarakat seharusnya mengambil contoh yang baik daripada pandangan individu lain kerana contoh yang baik mampu mengubah pemikiran dan pandangan terhadap yang lain.

Contoh yang baik dapat dilihat di Sarawak dan Sabah iaitu semasa musim perayaan, berbilang agama dan kaum yang akan berkumpul dan dijemput untuk meraikan perayaan bersama seperti Hari Raya, Krismas, Tahun Baru Cina dan Deepavali tanpa berlakunya konflik. Kita juga jarang mendengar  tentang isu dalam hubungan antara agama mahupun hubungan antara kaum. Masing-masing dapat mempraktikkan kepercayaan masing-masing serta pada masa yang sama menghormati kepercayaan pihak lain. Seterusnya, masyarakat akan dapat meraikan perayaan yang pelbagai ini tanpa timbul  prasangka negatif atau penghinaan semasa perayaan ini berlangsung.

(Sumber: http://www.ezdiet.com.my/)

Dalam pada itu juga, masyarakat seharusnya bergaul mesra dengan mereka yang berbeza agama dan kaum. Melalui pergaulan ini, individu akan mampu menerima dan menghormati pendapat yang berbeza, dengan pemikiran penuh terbuka. Hal yang demikian terjadi apabila wujudnya kesefahaman antara satu sama lain. Pada waktu yang sama, salah faham juga mampu diatasi melalui penerimaan pendapat dalam setiap persoalan tentang ajaran agama masing-masing. Dalam hal ini, apapun pendapat yang disuarakan, individu tidak akan mudah terguris kerana adanya sikap hormat-menghormati dan kerukunan.

Saya sebagai rakyat Malaysia yang beragama kristian yang berasal dari Sabah dan mempunyai rakan yang berbeza latar belakang, agama dan bangsa. Namun begitu, saya bersyukur kerana setiap kami mempunyai sikap hormat menghormati antara satu sama lain. Hal ini demikan kerana walaupun kami berbeza daripada segi pendapat dan anutan, kami masih mampu membina dan mengekalkan persahabatan di antara kami. Melalui pengalaman saya sendiri iaitu di Universiti, rakan sebilik saya adalah seorang muslim. Hormat menghormati itu sentiasa ada dalam diri kami masing-masing kerana apabila rakan sebilik ingin menunaikan sembahyang, saya akan menghormati dia dengan tidak berbuat bising. Manakala, jika saya ke gereja, dia tidak akan menghalang saya malah mengucapkan kata-kata yang baik iaitu “hati-hati semasa dalam perjalanan”. Kadangkala, kami akan bertukar pendapat soal anutan agama kami, namun tidak pernah sesekali kami mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan atau menghina agama kami yang berbeza. Hal ini menyedarkan saya bahawa pentingnya sikap menghormati dan saling terbuka walaupun setiap pendapat adalah berbeza kerana ia akan mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat.

(Sumber: wadah.org.my)

Peranan dalam melindungi hak beragama ini bukannya sesuatu yang mudah untuk  dilakukan kerana ia memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak yang berbeza agama, kaum dan latar belakang ini. Namun demikian, kita boleh mengambil contoh di negara kita sendiri yang mempunyai masyarakat yang berbilang agama dan kaum, namun sebenarnya tetap dapat hidup dengan aman tanpa menimbulkan konflik yang besar jika dibandingkan dengan negara lain yang boleh menimbulkan keganasan atau peperangan.

Hak beragama ini seharusnya difahami dengan lebih mendalam lagi oleh setiap individu kerana sering kali kita lihat bahawa kebebasan beragama untuk golongan minoriti dilihat mendapat pelbagai kritikan dan pandangan negatif daripada golongan majoriti. Oleh itu, hak yang sama seharusnya diperolehi oleh setiap agama walaupun terdapatnya perbezaan kefahaman.

Dalam perlembagaan negara kita sendiri menyatakan bahawa walaupun Islam merupakan agama persekutuan, namun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai. Meskipun begitu, semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata walaupun berbeza agama, kaum, keturunan dan sebagainya.

Secara ringkasnya, peranan pelbagai pihak ini amatlah penting untuk memastikan pengamalan hak dalam beragama ini tidak menimbulkan kesan negatif malah akan terus mengekalkan keharmonian dalam kalangan masyarakat di sesebuah negara.

 

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia