Membangun Idea Kosmopolitanisme Demi Kesetaraan Masyarakat Malaysia

Oleh Ahmad Muziru Idham

 

 

Kuala Lumpur, 13 Januari 2021 | A. Muziru Idham ialah lepasan sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Analisis Strategi & Keselamatan dan merupakan pengasas bersama Jurnal Sang Pemula, iaitu kumpulan anak muda yang membawakan wacana alternatif sains sosial dalam mempertahankan kemanusiaan dan hak golongan tertindas.

Suatu fakta yang kita perlu ketahui, bahawa Melaka pada kurun ke-16 pernah menjadi sebuah kota kosmopolitan yang tidak sekadar menjadi tempat pertemuan para pedagang dari seluruh negara, malahan wujudnya kehidupan masyarakat daripada pelbagai bangsa dan agama. Dalam makalah ShawnaKim Lowey-Ball yang dibentangkan pada suatu konferens di Melaka pada tahun 2019 bertajuk Multicultural Melaka, Melaka pada ketika itu ialah rumah bagi golongan Hindu, Buddha, Muslim, dan Kristian. 

Rekod dalam Suma Oriental yang ditulis oleh Tom Pires telah membuktikan perihal perkara tersebut dengan mencatatkan bahawa Melaka sebagai tempat pertemuan intelektual dan keagamaan yang penting pada ketika itu melalui jalan perdagangan, yang mengisyaratkan bahawa suasana kosmopolitanisme dalam kehidupan bermasyarakat adalah antara faktor yang membawa kepada kegemilangan Melaka pada masa itu. 

Menurut ShawnaKim Lowey-Ball, terdapat tiga daerah perkampungan utama di Melaka pada pertengahan kurun ke-16, iaitu perkampungan Melayu, Jawa, dan Chinatown; dan dalam masa yang sama etnik Gujerati-Muslim daripada India turut memainkan peranan penting dalam politik Melaka seperti pelantikan Tun Mutahir sebagai Bendahara Melaka pada ketika era Sultan Mahmud Shah. Hal ini menandakan bahawa pengaruh bangsa selain Melayu turut memainkan peranan penting terhadap pembangunan kegemilangan Melaka pada kurun ke-16 itu.

 

Perihal Melaka sebagai kota kosmopolitan pada kurun ke -16. Sumber: Berita PAS

Saya memetik perihal Melaka pada kurun ke-16 itu sebagai mukadimah kepada tulisan ini, sebagai membawa suatu gambaran bahawa tradisi kosmopolitanisme dalam budaya masyarakat di kepulauan Melayu itu bukanlah sesuatu yang ganjil dan asing. Kelebihan geografi Melaka yang berada di persisiran Selat Melaka menjadikannya sebagai hab pelabuhan utama pada kurun ke-16 yang mempertemukan pedagang daripada pelbagai negara. Hal tersebut sudah tentulah mewujudkan suatu tatasosial yang terbuka dan saling toleran, justeru ia secara tidak langsung mewujudkan suatu komuniti masyarakat yang saling menghormati kepelbagaian budaya dan kepercayaan.  

Menganjak ke hadapan pada kurun ke-21 tahun 2020 ini, iaitu lebih kurang 500 tahun kemudian, kita menghadapi suatu era negara moden, di mana masyarakat berbangsa tidak lagi disatukan atas kebangsaannya, tetapi atas kewarganegaraannya. Jadi, perubahan momentum sosiosejarah di Malaysia bagi masyarakat pada ketika ini tidak lagi wujud di atas kosmopolitanisme migrasi perdagangan pada kurun ke-16 tersebut, tetapi atas faktor migrasi kolonial yang dibawa oleh British pada kurun ke-20 ke Tanah Melayu, lalu terbentuklah masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, terutamanya Melayu, Cina, dan India pada masa sekarang selain daripada orang-orang asal di Kepulauan Borneo yang ada sejarah yang berbeza daripada sejarah Semenanjung. Masyarakat Malaysia yang bertumbuh daripada migrasi kolonial ini dan pernah melalui sistem pecah dan perintah yang memisah-misahkan kependudukan sesuatu tempat yang berasaskan bangsa menyebabkan perasaan kecurigaan antara satu sama lain itu masih wujud dalam kalangan masyarakat. 

Kecurigaan ini tidak sekadar berasakan ras semata-mata, tetapi turut melibatkan soal kepercayaan bangsa itu sendiri di mana keterkaitan Melayu-Islam, India-Hindu, Cina-Buddha/Kristian menjadikan isu-isu perbezaan agama semakin menumbuhkan kecurigaan yang mendalam antara satu sama lain. Barangkali masyarakat berbilang kaum ini boleh bekerja dan hidup setempat dengan aman damai, tetapi rasa kecurigaan itu sendiri tidak pernah hilang antara satu sama lain, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat Melayu yang dimomokkan oleh pihak-pihak berkepentingan tertentu yang sengaja mengapi-apikan semangat perkauman dan meniup-niup ancaman dan ketakutan bahawa Melayu akan hilang di muka bumi sekiranya Cina atau India mendapat tempat dalam kedudukan sosial kononnya mereka akan menghapuskan Islam di bumi Malaysia.

Dengan permasalahan yang saya utarakan di atas itu terkait dengan kecurigaan masyarakat terhadap kaum dan agama yang berakar daripada sejarah Malaysia sebelum merdeka itu sendiri, sesuatu yang kita perlu akui adalah bahawa mewujudkan sebuah masyarakat kosmopolitan di atas keberagaman masyarakat itu tidak mudah. Dalam keunikan masyarakat Malaysia yang sangat majmuk ini, semangat kosmopolitanisme itu merupakan sesuatu yang sangat penting untuk dipupuk kerana ia membangunkan sebuah masyarakat yang berdiri atas nilai dan moraliti kemanusiaan yang membina rasa hormat dan toleransi antara satu sama lain. 

Dr Syed Husin Ali berhujah dalam bukunya bagaimana perkauman telah dimanipulasi sejak kemerdekaan oleh ahli-ahli politik. Beliau menyokong supaya menghentikan politik berasaskan kaum di Malaysia untuk membina sebuah masyarakat kosmopolitan. Sumber: Dr Syed Husin Ali, 2008.

Kosmopolitanisme itu secara ringkasnya adalah bermaksud suatu idea yang meyakini bahawa semua manusia itu harus hidup dalam sebuah komuniti tunggal yang saling hormat-menghormati dan berinteraksi antara satu sama lain dengan baik tanpa mengira perbezaan ras, agama, politik, status sosial, kebudayaan dan sebagainya. Jadi, kosmopolitanisme itu adalah sesuatu yang sangat ideal dalam situasi di mana masyarakat Malaysia itu terdiri daripada komuniti yang hidup daripada kepelbagaian latar kemasyarakatan yang berbeza.

Saya percaya bahawa toleransi antara ras dan keagamaan ini dapat dipupuk sekiranya permasalahan akar yang mewujudkan kecurigaan sosial itu dapat dikikis dan dihakis. Sekiranya kita merenungi dari mana kecurigaan ini berakar dalam masyarakat kita, maka kita dapat lihat bahawa sejak dari kecil lagi kita sudah dimomokkan dengan pelbagai pantang larang yang menjadi semangat pemikiran kita. Antaranya:

  1. Jangan kongsi makanan dengan Cina. Cina makan babi.
  2. Hati-hati berkawan dengan Cina tu. Cina tu penipu.
  3. Melayu tu pemalas. 
  4. India suka cakap berbelit.

Bila sudah makin dewasa, kita dihasut pula dengan:

  1. Jangan bagi bukan Muslim pegang jawatan negara. Nanti habis hak Melayu-Islam dihapuskan.
  2. Melayu ialah tuan di Malaysia ini.  Kaum Cina dan India hanyalah pendatang.
  3. Agama Islam adalah agama rasmi Malaysia. Penganut agama lain tidak boleh mengamalkan kepercayaan masing-masing secara terbuka.
  4. Agenda Kristianisasi yang hendak menyesatkan umat Islam sedang digerakkan secara besar-besaran.

Saya rasa semua ayat-ayat tersebut kalian pernah dengar dari kecil sampai sekarang kan? Jadi, bagaimanalah kita hendak harapkan setiap antara kita boleh menghormati semangat keberagaman budaya dan kepercayaan antara satu sama lain sekiranya itu adalah ayat-ayat yang masuk ke dalam memori kita sejak dari kecil? Permasalahan ini adalah permasalahan di peringkat struktural dan bukan sekadar berlaku dalam kalangan masyarakat terbuka, malahan bernanah sejak di peringkat dalam keluarga itu sendiri lagi. Sukar untuk mengubah stereotaip sebegini disebabkan ia seolah-olah telah menjadi suatu warisan kebudayaan masyarakat sekalipun tidak melalui proses yang formal.

Sebab itu saya percaya bahawa pentingnya untuk pendidikan sejak dari tadika sehingga ke universiti harus konsisten menerapkan nilai-nilai kebersamaan sosial dalam kalangan pelajarnya. Tidak cukup para pelajar sekadar diajar tentang nilai moral yang baik untuk diamalkan, tetapi silibus pendidikan bagi setiap subjek itu sendiri harus berupaya mewujudkan penerapan nilai tersebut ke dalam minda bawah sedar pelajar. Kenapa sehingga sekarang masyarakat masih lagi melihat ras Cina, Melayu, India, dan sebagainya itu adalah terdiri daripada komuniti yang terpisah, sedangkan kita semua seharusnya dilihat setara sebagai warganegara Malaysia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan dan kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing? 

Pasti ada masalah dalam pengajian persekolahan sehingga cara fikir sebegitu selepas 63 tahun merdeka sekalipun masih tidak terkikis daripada minda masyarakat sehinggalah ke anak muda yang lahir pada abad ke-21. Sekalipun banyak cara lain yang boleh difikirkan, tetapi mahu tidak mahu saya fikir pendidikan jua yang dapat merubah budaya stereotaip sebegini. Kita tidak boleh lagi mengharapkan generasi atuk nenek dan ibu ayah kita untuk merubah stereotaip ini, kerana mereka itu sudah hidup pada budaya dan pendidikan yang sebegitu dari kecil. 

Kosmopolitan moden berasaskan kepada kemanusiaan sejagat. Sumber: Open Global Rights

Dalam masa yang sama, saya juga realistik dalam memikirkan bahawa kemungkinan untuk idea yang sebegitu direalisasikan di peringkat kementerian pendidikan juga memandangkan yang mengetuai kementerian itu sendiri adalah terdiri daripada politikus-politikus yang memenangi pilihan raya dan silibus itu dikawal oleh siapa yang mengetuai kementerian tersebut. Sebab itu kita boleh persoalkan saja, sebagai contoh, kenapa sekian lama silibus sejarah kita sendiri agak berat sebelah dalam mengangkat naratif yang memenangkan parti UMNO yang telah memerintah kerajaan Malaysia selama 61 tahun dan meminggirkan peristiwa-peristiwa bersejarah lain yang memperlihatkan kesepaduan masyarakat berlainan bangsa dan kepercayaan dalam pembinaan negara bangsa Malaysia? Oleh sebab itu, untuk mengubah corak kebudayaan masyarakat sebegini bagi membangunkan masyarakat kosmopolitan, saya berpandangan bahawa ruang wacana awam harus sentiasa dirancakkan dengan perbincangan-perbincangan yang mempersoalkan semula naratif lama kebudayaan masyarakat yang bersifat diskriminatif sebegitu dan memperbanyakkan idea-idea alternatif yang dapat membangunkan masyarakat Malaysia kosmopolitan. Tumpuannya adalah terhadap generasi abad ke-21 ini yang sedang hidup dalam sebuah realiti dunia yang semakin kompleks dan semakin terpisah daripada naratif Malaysia pasca kemerdekaan.

Setelah 20 tahun memasuki abad ke-21 ini, naratif pembentukan negara Malaysia sudah semakin banyak berubah dan kita dapat lihat bahawa wacana awam yang menyentuh perihal falsafah, sejarah, sastera, kesenian, kebudayaan, ekonomi, politik, dan sebagainya itu telah melalui fasa-fasa perbincangan yang lebih memikirkan tentang keperluan untuk setiap wacana mampu terus berlangsung dan relevan dan realiti pasca moden dan globalisasi ini. Dengan persekitaran wacana awam yang lebih lentur sebegini, maka penting sekali idea kosmopolitanisme ini menjadi asas pembangunan bagi setiap wacana awam supaya idea pembangunan masyarakat Malaysia yang hidup secara toleran dan kebersamaan itu dapat didirikan dalam setiap perbincangan. 

Saya meyakini bahawa dengan cara itu, maka kebudayaan masyarakat pasca moden ini dapat dilentur dan dibentuk lalu mengikis pemikiran tempang dalam amalan kebudayaan masyarakat lalu yang bukan sahaja tidak membantu untuk membuat sebuah masyarakat yang harmoni, malahan hanya menebalkan lagi pemikiran stereotaip dalam kalangan masyarakat. Proses sebegini diakui adalah tidak mudah dan halangannya adalah sukar. Halangan utama adalah datang daripada kelompok berkepentingan aliran kanan sendiri yang kononnya hendak mengekalkan kebudayaan tradisi asal masyarakat, tapi sebenarnya memanipulasikan sejarah sendiri demi kepentingan tertentu. 

Sebab itu sengaja saya bangkitkan sejarah masyarakat kosmopolitan bagi Melaka pada kurun ke-16 yang sering diagungkan oleh kelompok aliran kanan, supaya kita tidak ditipu oleh sejarah bahawa yang diperkatakan sebagai sejarah kegemilangan tamadun Melayu itu kononnya adalah semata-mata daripada usaha bangsa Melayu sahaja. Sedangkan sejarah telah membuktikan bahawa pembangunan ketamadunan di Melaka itu sendiri adalah usaha daripada sebuah masyarakat kosmopolitan yang sedari awal telah hidup dalam percampuran bangsa dan budaya yang luas. Sekiranya sejarah itu dihayati dalam semangat zaman ini, pasti setiap warga masyarakat tidak ada masalah lagi dengan hal-hal kecurigaan sosial dan setiap warga dianggap setara untuk memainkan peranan sebagai warganegara Malaysia dalam apa-apa jua bidang kenegaraan sekalipun termasuklah politik dan ekonomi.

Maka kita sebagai kelompok celik sejarah ini harus sedar tentang perkara ini dan perlu gigih menggerakkan naratif ke arah pembentukan masyarakat kosmopolitan ini supaya hak keberagaman budaya dan agama itu dapat terjaga dengan baik. Dengan pembangunan masyarakat kosmopolitan inilah, maka Malaysia akan terbentuk sebagai sebuah negara yang lebih baik dan makmur dengan kehidupannya masyarakatnya yang lebih toleran dan hormat-menghormati antara satu sama lain justeru pemikiran diskriminatif dan amalan kebudayaan pincang akan terhakis dan terkikis dengan semula jadinya. Keberagaman agama sudah tidak menjadi isu kerana masing-masing sudah maklum hak kebebasan masing-masing dalam mengamalkan kepercayaan agama mereka.

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia