Tanggungjawab Negara Mempertahan Kebebasan Beragama Kaum Minoriti

Oleh Andi Suraidah

 

Kuala Lumpur, 16 Januari 2021 | Andi Suraidah (she/her) merupakan seorang aktivis feminis yang berminat dengan pertindanan seputar isu-isu perempuan, keberagamaan seksualiti, kebebabasan beragama dan hubungkait dengan perundangan dan hak asasi manusia. Pengasas bersama Legal Dignity, inisiatif ini menawarkan bantuan perundangan berkenaan akses kepada keadilan dan membela hak asasi komuniti gender beragam di Malaysia. Artikel ini merupakan lanjutan daripada wacana dalam talian Perbincangan Panel Siri #4: ‘Pemimpin dan Kebebasan Beragama: Penyatu atau Pemisah?’ oleh KMU Malaysia pada 15 Disember 2020. Panelis yang membincangkan topik ini adalah Dr. Teo Lee Ken (MUDA), Calvin Ohsey (Aktivis) dan Melanie Siaw (AVP Malaysia). Pautan rakaman perbincangan ini boleh diakses menerusi Channel YouTube KMU.

Ilustrasi Kebebasan Beragama oleh Revive Megazine (revivemegod.org)

Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia, Islam dinyatakan sebagai agama persekutuan namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan harmoni. Perkara 11 menetapkan dengan spesifik setiap orang berhak untuk menganut, mengamalkan dan menyebarkan agamanya, tertakluk kepada had perlembagaan. Perkara 8 pula menyebut semua orang adalah saksama di sisi undang-undang dan berhak ke atas perlindungan undang-undang yang sama. Diskriminasi berdasarkan agama, antara lainnya, adalah tidak dibenarkan.

Namun, Perlembagaan Persekutuan juga secara terang-terangan boleh menghadkan ke atas mana-mana doktrin atau kepercayaan agama untuk disebarkan dikalangan mereka yang menganut agama Islam. Disamping boleh menetapkan had-had umum yang didasari oleh pertentangan dengan aturan awam, membahayakan kesihatan awam atau menjejaskan prinsip moral awam. Kekangan-kekangan itu diperincikan dan dijelmakan pula dalam bentuk undang-undang yang implikasi akhirnya berlawanan dengan maksud kebebasan dan saling bertentangan dengan peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan sendiri, menjadikan hal ini pelik sekali.

 

Instrumen formal sebagai alat pemasungan?

Di peringkat negeri, pengeluaran fatwa merupakan salah satu instrumen yang digunakan untuk menyekat kebebasan beragama. Kumpulan-kumpulan minoriti agama seperti Syiah dan Ahmadiyah berdepan dengan penganiayaan, pendakwaan dan penjenayahan hanya kerana kepercayaan mereka.

Sebuah fatwa yang menghalang daripada memasukkan orang ke dalam kepercayaan Syiah, menyebarluaskan atau menganuti kepercayaan Syiah dikeluarkan sekitar 1990-an dan sekarang ini fatwa tersebut telah dilaksanakan sekurang-kurangnya di 11 buah negeri. Fatwa ini membatalkan keputusan yang dibuat pada tahun 1984 daripada jawatankuasa yang sama yang menganggap Syiah dapat diterima di Malaysia.

Serbuan komuniti Syiah yang dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor pada tahun 20120. Sumber: ayid-manjaddawajada.blogspot.com

Komuniti Ahmadiyah pula tidak diiktiraf sebagai Muslim berdasarkan sebuah fatwa yang dikeluarkan pada tahun 1975 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor. Kemudiannya pada 1998 sebuah lagi fatwa dikeluarkan yang mengisytiharkan mereka sebagai kafir dan mengharamkan 4 buah buku berkenaan dengan kepercayaan mereka. Fatwa tersebut juga mengisytiharkan bahawa pemerintah bertanggungjawab untuk memastikan mereka dimasukkan (converted into) ke dalam Islam Sunni.

Komuniti Ahmadiyah telah membuat satu semakan kehakiman pada tahun 2014 untuk mencabar kesahihan penangkapan mereka pada satu serbuan yang dijalankan sebelum itu di Batu Caves. Hakim mahkamah tinggi memutuskan pada tahun 2018 bahawa JAIS tidak mempunyai bidang kuasa ke atas komuniti Ahmadiyah oleh kerana fatwa-fatwa yang menyebut bahawa mereka tidak dianggap sebagai Muslim di Malaysia. Namun keputusan ini telah diubah di peringkat mahkamah rayuan.

Pemasungan tersebut dipanjangkan pula kepada kelompok atau individu-individu yang tidak bersependapat dengan penafsiran Islam yang diinstitusikan oleh negara. Ini berlaku kepada kumpulan NGO hak-hak perempuan, Sisters in Islam (SIS) yang diisytiharkan sesat oleh sebuah fatwa negeri Selangor pada tahun 2014.

Kanun Keseksaan yang mencakupi “kesalahan-kesalahan berkenaan agama”, Akta Hasutan 1948, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 merupakan antara undang-undang Persekutuan yang pernah digunakan sebagai alat untuk menyekat kebebasan beragama atau menghukum perbuatan yang dianggap menyinggung sensitiviti keagamaan.

Penyekatan ke atas golongan bukan Islam daripada menggunakan sesetengah perkataan di dalam penerbitan dan amalan agama mereka, awalnya dilakukan melalui arahan (directive) daripada kerajaan pada tahun 1986. Komuniti Kristian di Malaysia telah mencabar arahan tersebut di mahkamah dan berhujah bahawa penyekatan tersebut sebagai tidak berperlembagaan. Walau awalnya mahkamah tinggi bersetuju dengan hujahan tersebut, di peringkat mahkamah rayuan dan persekutuan, keputusan tersebut dibatalkan dengan alasan bahawa ia akan mengelirukan komuniti Muslim.

Peninjauan sederhana ini menunjukkan kebebasan yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan masih terlalu sempit, berbanding dengan peruntukan undang-undang antarabangsa seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) dan Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR) yang memberi pengertian yang lebih luas dan mencakup aspek-aspek kebebasan beragama yang lebih bermakna.

 

Pemimpin tonggak penyatuan atau pemisahan?

Pemimpin menggalas tanggungjawab untuk memastikan pengukuhan kebebasan beragama dan beriman di negara ini bukan setakat diformalisasikan melalui undang-undang dan dasar. Pelan dan perancangan menyeluruh untuk menjelmakan kesungguhan dan keikhlasan perlu mencakupi ruang-ruang tidak formal. Kedua-dua medan ini perlu dimanfaatkan untuk membangun matlamat pembebasan yang menjamin dan melindungi hak beragama setiap individu yang didasari dengan rasa toleransi dan kedamaian.

Sumber komik: Sareen Akharjalian

Menyaksikan sesetengah pemimpin memandang ringan, dan bermain dengan sentimen keagamaan tanpa menitikberatkan implikasi ke atas penganut agama yang berbilang di negara ini, juga keamanan masyarakat, bagi memenuhi unjuran politik, merupakan trend yang amat membimbangkan.

Pemimpin di sebuah negara demokrasi perlu fasih dengan hak asasi manusia. Pencabulan ke atas kebebasan beragama dan beriman, juga memberi kesan pencabulan hak-hak asasi lain seperti kebebasan untuk mengekspresikan pendapat dan identiti serta lain-lain lagi, yang dijamin sama ada dalam konvensyen antarabangsa atau Perlembagaan sendiri, oleh kerana sifat hak asasi manusia adalah saling bergantung (interdependent) di antara satu sama lain. Kebebasan seseorang untuk beragama dan beriman sama ada daripada kumpulan agama majoriti atau minoriti wajib dilindungi oleh negara.

Hal ini boleh dicapai antaranya melalui aktiviti melobi agar Malaysia menjadi anggota dalam Perjanjian Antarabangsa mengenai Hak Sivil dan Politik (ICCPR). Malaysia akan terikat dengan standard antarabangsa mengenai hak kebebasan beragama atau beriman dan hak minoriti. Ini akan mendorong negara untuk memperbaiki situasi penindasan terhadap kelompok dan individu-individu minoriti agama. Perkara ini adalah anjakan yang wajar diambil bagi mencapai matlamat tersebut. Alasan bahawa pemimpin perlu menjaga sensitiviti kumpulan majoriti adalah alasan yang malas.

 

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia