Pemimpin, Orientasi Beragama dan Hak-haknya

 

Oleh Dr. Teo Lee Ken

 

Kuala Lumpur, 19 Januari 2021 |Teo Lee Ken adalah penyelidik politik dan budaya di Kuala Lumpur dan sebelum ini pernah menjadi felo pascadoktoral di Universiti Alzahra, Tehran. Tumpuan kajiannya meliputi sejarah politik, sosiologi pengetahuan dan budaya, dan politik perbandingan. Artikel ini merupakan lanjutan daripada wacana dalam talian Perbincangan Panel Siri #4: ‘Pemimpin dan Kebebasan Beragama: Penyatu atau Pemisah?’ oleh KMU Malaysia pada 15 Disember 2020. Panelis yang membincangkan topik ini adalah Dr. Teo Lee Ken (MUDA), Calvin Ohsey (Aktivis) dan Melanie Siaw (AVP Malaysia). Pautan rakaman perbincangan ini boleh diakses menerusi Channel YouTube KMU.

“The humanistic position is that there is nothing higher and nothing more dignified than human existence” kata sosiologis dan filsuf terkemuka Jerman, Erich Fromm. 

Adalah menjadi fitrah manusia untuk sentiasa mencari erti kehidupan dan memaknai keberadaan hidup harian dalam dunia dan masyarakat. Dalam bicara berkenaan perlindungan hak beragama dan peranan pemimpin dan masyarakat, kita boleh bermula dengan meletakkan satu definisi kepada hak beragama. Seperti yang diingatkan Fromm tentang sifat dan konstitusi manusia, hak ini dapat dimaksudkan sebagai upaya untuk memahami dan bertanya erti dan nilai agama, sama ada inter atau intra agama, dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. 

Upaya ini menjadi lebih jelas dan perlu apabila kita meninjau kembali isu-isu dan peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dan sedang berlanjutan sejak sekitar satu dasawarsa yang lalu. Antaranya adalah ekspresi dan tindakan agama yang cirinya sempit serta eksklusif, dan keras. Syed Farid Alatas, seorang sosiologis di Universiti Nasional Singapura, pernah menulis tentang orientasi dan laku beragama yang mengambil bentuk ekstremisme kekerasan dan ekstremisme tanpa kekerasan. Alatas, menyatakan bahawasanya kita kerap terlepas pandang orientasi beragama ini dalam bentuknya yang kedua. 

Seiring dengan pemerhatian ini, peristiwa-peristiwa tertentu di Malaysia mengukuhkan lagi signifikannya perspektif sosial tersebut. Antaranya yang berkait dengan isu hak penjagaan anak, tindakan menghina Nabi, tafsiran agama yang kurang saksama dan teliti contohnya berhubung Bible dan ruang lingkup pengambilan arak dan juga penjualan arak, dan lainnya seperti kempen Buy Muslim First (BMF).  

Kempen Beli Produk Muslim yang diilhamkan oleh Dewan Perdagangan Islam Malaysia Perak pada tahun 2014

Peristiwa-peristiwa ini walaubagaimanapun hanya simptom-simptom dan mencerminkan gambaran permukaan sahaja. Yang tidak timbul dan dibicarakan adalah isu-isu fundamental yang mendasari ekspresi dan wacana eksklusif tersebut seperti fenomena keterasingan dalam masyarakat. Hal ini berkait rapat dengan cara kita mengertikan dan menilai faham dan praktik agama seperti yang diajukan pada awal perbincangan ini. Wacana dan orientasi agama yang dikedepankan khususnya oleh pemimpin-pemimpin komuniti dan masyarakat oleh itu menjadi sentral. 

Agar isu-isu sosial yang berlangsung sekitar persoalan identiti dan hak, ketidakserataan ekonomi dan isu-isu pembangunan dan kebajikan tidak dipandang dan diulas mengikut penceritaan dan sudut pandang faham dan percaya agama yang sempit dan dalam keadaan lainnya, keras. Interpretasi dan penilaian yang kritikal tentang sifat dan ajaran sesuatu agama berdaya membingkai isu-isu budaya, politik dan identiti dalam kerangka sosial dan kemasyarakatan, lantas membantu mengekang polarisasi kaum dan etnik, dan agama dalam masyarakat. 

Oleh kerana wacana yang pemimpin serta masyarakat mengartikulasinya berupaya membentuk tindakan dan ritual agama, medium dan ruang yang menyampaikan naratif-naratif yang timbul juga perlu diambil kira dan dinilai. Antaranya adalah seperti unit keluarga dan komuniti. Selain itu juga, institusi sekolah, universiti dan kolej. Tidak banyak perhatian diberikan atau kajian yang mendalam dan ekstensif yang dilakukan untuk studi naratif-naratif yang berlangsung di tingkat komunikasi dan kehidupan keluarga, sama ada yang bertempat dalam komunikasi fizikal atau pentas sosial seperti WhatsApp. 

Di peringkat sekolah, institusi-institusi vokasional dan pengajian tinggi, pendekatan pendidikan dan penghayatan kebudayaan mempunyai hubungan langsung dengan pengertian dan praktik agama. Sekiranya isi pengajaran dan pedagogi bersifat menekan dan memagari idea-idea dan persoalan kritikal, hak beragama dalam erti kata upaya untuk menyoal peranan dan nilai agama akan juga terancam. 

Tambahan kepada kelangsungan institusi adalah tempat parti-parti politik. Sekiranya sebelum ini institusi-institusi dan saluran kerajaan tidak dapat berfungsi dengan cekap untuk memegang bersama fabrik sosial dan moral masyarakat, parti-parti politik memainkan peranan, walaupun tidak sempurna, untuk memastikan hubungan sosial sesama komuniti kekal terjalin dan saling berinteraksi. Kini, parti-parti politik sendiri melalui tekanan krisis dan penyusunan semula serta dalam prosesnya mencetuskan perpecahan, antaranya etnik dan agama dalam masyarakat. 

“Antara pengajaran perang salib ialah keghairahan golongan penguasa dan politisyen dalam menggunakan agama dan identiti yang telah mengakibatkan puluhan ribu manusia mati dalam keadaan yang kejam” Sumber: HistoryToday.com

Saya mengutarakan sifat dan kesan sosial dan politik serta budaya ruang dan medium tersebut kerana di tapak-tapak ini kerja perlu dilakukan untuk memaknai hak beragama, termasuk peranan yang harus dipraktikkan oleh pemimpin-pemimpin komuniti dan negara khususnya. Jaringan kumpulan dan sosial, melalui serta dalam lapangan budaya dan pendidikan, perlu dibina serta diberi sokongan. Masyarakat tidak akan dapat maju dan kehidupan beragama yang kukuh tidak dapat didirikan sekiranya tradisi, wacana budaya dan pendidikan tidak membangun. 

Proses ini melibatkan partisipasi pelbagai sektor masyarakat. Mereka dapat berkongsi dan membina bersama nilai-nilai yang dapat membentuk praktik agama yang menjurus kepada anjuran kebersamaan dan keadilan sosial dalam masyarakat. Interaksi sebegini juga membantu mendalamkan hubungan dan galakkan aktiviti bersama. Pembentukan jaringan rentas lapisan masyarakat melalui budaya dan pendidikan ini dapat merangkumi organisasi, juga badan kerajaan dan bukan kerajaan, serta swasta dan awam. 

Bicara dan kupasan tentang erti dan kehidupan beragama dalam masyarakat dan figura-figura penting dalam komuniti serta negara juga tidak dapat dipisahkan daripada isu-isu sosio-ekonomi rakyat terbanyak. 

Yang pertamanya, politik dan ideologi identiti akan menjadi lebih terserlah dan keras, jika berlaku kesenjangan dalam hubungan ekonomi dan sosial antara komuniti-komuniti yang pelbagai. Arus populisme dan juga ekstremisme dalam keadaan tertentu, bangkit kerana memobilisasi sentimen identiti seperti etnik dan agama, dan juga rasa takut oleh golongan majoriti dan terbanyak, dan golongan yang terpinggir atau merasai mereka terpinggir. 

Screenshot daripada Coffee Talk Siri #4: ‘Pemimpin dan Kebebasan Beragama: Penyatu atau Pemisah?’ Tonton rakaman penuh di sini

Yang keduanya, saya akan menghujahkan bahawasanya komitmen kepada mereka yang paling memerlukan, miskin dan marginal adalah teras utama setiap agama. Makanya, penghayatan dan pemahaman yang kritikal berkenaan sifat dan erti agama tidak kira Islam, Kristian, Hindu dan lain2nya tidak dapat dipisahkan daripada kepedulian terhadap kondisi dan hak sosio-ekonomi masyarakat umum. 

Dalam makalah ini, saya cuba membincangkan definisi rangkum hak beragama, peristiwa-peristiwa dan isu-isu yang timbul di Malaysia. Ia  diakibatkan daripada ketidakbolehan atau ketidakmahuan bicara tentang makna hak ini yang tidak beres. Selain itu, kaitannya antara wacana serta orientasi beragama dan masyarakat, juga pemimpin, ruang dan medium yang memudahcarakan naratif agama yang eksklusif serta yang perlu dikenal pasti. Akhirnya beberapa upaya dan idea serta tema yang perlu dilakukan seterusnya diangkat untuk kembali memberi kandungan dan kerelevenan kepada bicara hak beragama. 

Manusia tidak dapat hidup bersendirian mahupun eksklusif. Kita harus berwaspada, merenung dengan tajam dan menolak idea-idea mereka yang menuntut penyatuan atas dasar etnik, agama, kepatuhan dan pengabdian tetapi pada masa sama meminggirkan golongan yang berbeza. 

Sifat dan hubungan keinsanan tidak mengenal ruang dan waktu, seperti yang dikongsi Fromm, “it is one of the characteristics of human nature that man finds his fulfilment and happiness only in relatedness to and solidarity with his fellow man.”

 

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia