Kepimpinan Inklusif Pelindung Hak Beragama

Oleh Calvin Ohsey

 

Kuala Lumpur, 22 Januari 2021 |Calvin Ohsey merupakan seorang aktivis interfaith yang aktif dalam diskursi dialog antara agama dan peranan agama dalam masyarakat. Beliau berkhidmat dengan gereja Katolik bagi Diosis Melaka Johor selama 5 tahun dalam pembangunan belia kampus, dialog antara agama, ekstremisme, dan juga pembangunan pastoral gereja. Artikel ini merupakan lanjutan daripada wacana dalam talian Perbincangan Panel Siri #4: ‘Pemimpin dan Kebebasan Beragama: Penyatu atau Pemisah?’ oleh KMU Malaysia pada 15 Disember 2020. Panelis yang membincangkan topik ini adalah Dr. Teo Lee Ken (MUDA), Calvin Ohsey (Aktivis) dan Melanie Siaw (AVP Malaysia). Pautan rakaman perbincangan ini boleh diakses menerusi Channel YouTube KMU.

Perang Dunia Kedua pada tahun 1939 sehingga 1945 menyaksikan sebanyak 20 juta orang tentera dan lebih 40 juta rakyat jelata daripada pelbagai negara yang terlibat maut dalam peperangan. Lebih dahsyat seramai 6 juta orang Yahudi daripada pelbagai negara dibunuh beramai-ramai dalam satu genosid yang bersifat anti-Yahudi.   

Dunia juga menyaksikan tertubuhnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan piagam ditandatangani sejurus tamat Perang Dunia Kedua pada 24 Jun 1945.  Perisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), sebanyak 30 Perkara mula digubal dan disahkan pada 10 Disember 1948 bagi menerangkan hak-hak individu untuk dijadikan panduan undang-undang antarabangsa mahupun undang-undang negara anggota PBB.  

Kemanusiaan telah dilanda krisis yang dahsyat. Manusia berbunuhan sesama manusia kerana perebutan kuasa imperialisme, perang ideologi, konflik negara bangsa, dan juga gerakan menuntut kemerdekaan.  Ketika itu, ramai yang mempersoalkan di manakah Tuhan sepanjang tempoh dahsyat ini.  

Tanggal 31 Oktober 1517, Martin Luther memaku satu senarai panjang yang penuh dengan rungutan pada pintu sebuah gereja di Wittenberg, Jerman. Salah satu daripada protes yang penting dalam sejarah dunia, Reformasi Protestan mendedahkan salah laku agamawan yang menjual surat indulgens kepada umat awam untuk mengurangkan tempoh penantian bagi roh orang mati di tempat penyucian sebagai bentuk pengampunan dosa sebelum masuk ke syurga. Luther tergerak untuk memulihkan doktrin rahmat ke atas geraja yang menjadi korup, tidak berfungsi dan secara keagamaan dan rohaninya mati.

Gerak maju ke hadapan 17 tahun, Gereja Katolik yang merupakan institusi agama Kristian terbesar dunia ketika itu berada dalam dilema.  Setelah lebih 400 tahun Reformasi Protestan pada tahun 1517 diikuti oleh gerakan kontra reformasi Majlis Trent, Paus Yohanes ke-23 membuka lembaran baru dengan mengadakan Majlis Vatikan kedua (Vatikan II) bagi menyambung Majlis Vatikan pertama (Vatikan I) yang tergantung dalam meneruskan agenda pembaharuan dalaman Gereja Katolik bagi mendepani cabaran dunia moden kini. Vatikan II merupakan suatu muktamar terbesar yang mengumpulkan para uskup-uskup Katolik serata dunia.

Kira-kira 2,540 orang uskup beserta 29 pemerhati daripada 17 gereja aliran lain, dan para undangan yang bukan Katolik/Kristian hadir sepanjang 4 sesi Vatikan II yang diadakan antara tempoh 11 Oktober 1962 sehingga 9 Disember 1965.  

Dalam majlis ini, para uskup ditemani dengan para ahli perity (pakar teologi) dalam beberapa komisi untuk membincangkan, berbahas, berdebat dan mengundi bagi usul-usul draf dokumen bersangkut doktrin, ibadah, moral, kedudukan gereja dan hal politik serta sosial.  Hasilnya sebanyak 16 dokumen ditandatangani oleh bapa-bapa Uskup dengan undi sebulat suara yang hadir ke majlis tersebut. 

Majlis Vatikan II (1962-1965) menghimpunkan seramai 2,540 uskup Katolik dari seluruh pelosok dunia. Sumber: Crossroads Initiative

Apa yang menarik dalam majlis tersebut adalah Gereja Katolik mula memberi nafas baru terhadap tafsiran eksklusif mengenai dogma “Extra Ecclesiam Nulla Salus” yang membawa maksud “di luar Gereja tidak ada keselamatan”  tanpa mengabaikan seruan pewartaan Injil kepada setiap makhluk.  

Melalui dokumen “Lumen Gentium” (Terang Para Bangsa)  pasal 16:

“Namun rencana keselamatan juga merangkum mereka, yang mengakui Sang Pencipta; di antara mereka terdapat terutama kaum Muslimin, yang menyatakan bahawa mereka berpegang pada iman Abraham (Ibrahim), dan bersama kita bersujud menyembah Allah Yang Tunggal dan Maha Rahim, yang akan menghakimi manusia pada hari kiamat. Pun daripada umat lain, yang mencari Allah yang tak mereka kenal dalam bayangan dan gambaran, tidak jauhlah Allah, kerana Dia memberi semua kehidupan dan nafas dan segalanya (lih. Kisah Para Rasul 17:25-28), dan sebagai Penyelamat menghendaki keselamatan semua orang (lih. 1Timotius 2:4).  Sebab mereka tanpa bersalah tidak mengenal Injil Kristus serta Gereja-Nya, tetapi dengan hati tulus mencari Allah, dan berkat pengaruh rahmat berusaha melaksanakan kehendak-Nya yang mereka kenal melalui suara hati dengan perbuatan nyata, dapat memperoleh keselamatan kekal.”

Beberapa dokumen lain yang diluluskan Vatikan II juga mencakupi perihal Gereja Katolik mengiktiraf kewujudan gereja-gereja aliran Ortodoks yang terpisah pada sejarah awal gereja mahupun gereja-gereja yang wujud selepas zaman Reformasi Protestan melalui dokumen “Unitatis redintegratio” (Pemulihan Kesatuan).  Umat Kristian lain ini tidak lagi dipanggil sebagai schismatic (pembawa pecah belah) ataupun heretic (penyokong bidaah) namun dipanggil sebagai umat saudara-saudari yang terpisah.  

Dokumen “Nostra Aetate” (Pada Zaman Kita) membuka ruang dialog dan kerjasama antara penganut Katolik dengan penganut-penganut agama utama lain dunia.  Umat Katolik ditegah memanggil orang Yahudi sebagai “derhaka” atau “Pembunuh Tuhan”, umat Islam tidak dipanggil sebagai infidels (kafir) atau “Muhammadan” dan mana-mana umat tidak seiman sebagai pagan (penyembah berhala/tiada agama).  Dokumen ini mengajak umat Kristian untuk melihat agama-agama lain sebagai satu gambaran pra-Injil di mana dalam setiap agama-agama utama dunia masih ada elemen kebenaran yang berupaya membawa keselamatan. 

Dokumen “Dignitatis Humanae” (Martabat Manusia) mengangkat hak individu dengan hati nuraninya bebas menganuti agama kepercayaannya.  Dokumen ini mengajak manusia tanpa sebarang tekanan, bebas mencari kebenaran dengan cara yang sesuai dengan keyakinan peribadinya, yakni melalui penyelidikan yang bebas, melalui pengajaran atau pendidikan, komunikasi dan dialog.  Kerajaan sewajarnya melindungi hak individu dan menghormati pilihan masing-masing tanpa sebarang diskriminasi dan juga hukuman. 

Senarai penuh Perisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR). Perisytiharan ini terdiri daripada 30 perkara yang menggariskan pandangan Perhimpunan Agung terhadap hak asasi manusia yang dijamin ke semua rakyat. Sumber: Women’s Views on News.

Berdasarkan perkongsian ini, kebebasan beragama dipupuk melalui kepimpinan agama Gereja Katolik yang berupaya melakukan pembaharuan reformasi institusi dalaman yang membawa kepada pembebasan umat manusia selaras dengan Perkara 18, Perisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR): 

“Setiap orang adalah berhak kepada kebebasan berfikir, perasaan hati dan agama; hak ini termasuklah kebebasan menukar agama atau kepercayaannya, dan kebebasan, samada secara bersendirian atau secara bersama-sama dengan orang-orang lain dan secara terbuka atau bersendiri, menganuti agama atau kepercayaannya melalui pengajaran, amalan, pemujaan dan pematuhan.” 

Seramai lebih 7 bilion umat manusia mendiami dunia ini, separuh daripada penduduk dunia ini terdiri daripada penganut agama Kristian dan Islam.  Menjadi pluralis dalam konteks masyarakat majmuk tidak sewajarnya disamakan sebagai pluralisme agama. Setiap agama mempunyai dakwaan kebenaran masing-masing yang sewajarnya dihormati meskipun ianya bertentangan antara satu sama lain.  Dalam masyarakat majmuk dan demokratik, sekularisme adalah tempat komunikasi antara tradisi kerohanian dan bangsa yang berbeza. Apa-apa persamaan sewajarnya dikongsi dan diraikan bersama.  Manakala perlunya dialog secara terbuka dan matang dalam menghormati perbezaan yang nyata bagi memupuk toleransi agama. 

Sikap eksklusif dan etnosentrik, yang hanya melihat kepentingan sesuatu kelompok kaum mahupun agama tertentu sahaja dalam negara masyarakat majmuk, sewajarnya dijauhkan dalam konteks negara yang mengamalkan demokrasi.  Meskipun demokrasi menghormati hak masyarakat majoriti memilih melalui pungutan suara, amat wajar untuk kelompok majoriti sama ada masyarakat mahupun wakil rakyat yang dipilih menjamin serta melindungi hak dan kepentingan minoriti tanpa sebarang sikap pilih kasih.   

Demokrasi yang baik juga adalah demokrasi yang berupaya melindungi hak serta kebebasan individu semua warganegara. Sebarang polisi sama ada dalam bentuk hak dan keistimewaan yang hanya menguntungkan satu pihak sahaja, sewajarnya dinilai semula untuk diubah mahupun dimansuhkan.  Ini penting agar setiap lapisan masyarakat memperoleh manfaat tanpa sebarang bentuk diskriminasi yang tidak adil.  

Oleh itu, dalam konteks negara demokrasi, amat wajar untuk masyarakat mahupun kerajaan berganding bahu membawa kemakmuran bersama yang berpandukan prinsip perpaduan dan keadilan.  

 

Tulisan ini adalah sebahagian daripada kempen #Kebersamaan atau #Togetherness oleh Komuniti Muslim Universal (KMU) bertujuan untuk membawa wacana progresif mengenai hubungan antara kaum dan agama di Malaysia.

Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian KMU Malaysia