Kenyataan Media untuk Siaran Segera

Pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030 Perlu Lebih Menyeluruh

 

Kuala Lumpur, 19 Februari 2021: Komuniti Muslim Universal (KMU Malaysia) mengikuti dengan dekat perkembangan pelancaran Dasar Perpaduan Negara (DPN) dan rangka tindakannya bagi tempoh 10 tahun mendatang. Tahniah diucapkan kepada Kementerian Perpaduan Negara!

Namun begitu, KMU Malaysia merasakan asas kepada dasar perpaduan baharu masih terikat kepada falsafah “Rukun Negara” yang sudah berumur 50 tahun sejak 1970 yang diperkenalkan ketika situasi darurat, serta tidak dibentuk oleh perkumpulan suara rakyat terbanyak dan tidak pernah dibahaskan secara kritikal dalam mana-mana persidangan Parlimen, harus dinilai kembali. Sementelah fabrik sosial Malaysia sudah banyak berubah sejak setengah abad lalu dan perlu kepada pengadaptasian semula. KMU menegaskan, sesebuah falsafah negara yang ingin dianuti bersama mestilah dibentuk berasaskan suara kolektif seluruh rakyat yang pasti tinggi nilai pemilikan dan kebersamaan dalamnya.

Selain itu, hala tuju kepada identiti Bangsa Malaysia dilihat semakin kabur dan dilupakan. Walaupun setelah lebih 63 tahun kemerdekaan, penekanannya juga tidak selaras dengan pelaksanaan dasar negara dalam sistem pendidikan, ekonomi, politik dan perundangan yang tidak mengatasi masalah jurang berdasarkan kaum, etnik dan agama tertentu. KMU Malaysia mencadangkan untuk kerajaan mengarusperdanakan pelaksanaan identiti Bangsa Malaysia secara menyeluruh dalam sektor-sektor yang disebutkan bagi memastikan keberkesanan 3 objektif dasar dan 12 strategi DPN yang diperkenalkan ini.

Ditambah pula dengan penzahiran sentimen perkauman dan kebencian antara agama yang kian meruncing dalam beberapa insiden terbaru di ruang fizikal dan alam maya. Dengan itu, pada awal Februari 2021, KMU Malaysia telah melancarkan sebuah Booklet Kempen #Kebersaamaan dan membuat beberapa cadangan kepada kerajaan untuk  menambah baik dasar bagi hubungan antara kaum dan agama di Malaysia. Antaranya ia menekankan tentang pengarusperdanaan dialog antara kaum dan agama, pendidikan inklusif, pengurusan konflik secara aman, dan pembaharuan undang-undang.

Perpaduan negara yang diidamkan tidak boleh dicapai dengan berkualiti dan berkesan jika ia tidak dilaksanakan dengan penuh iltizam oleh semua pihak dan dalam sistem sokongan yang lemah, meskipun secantik mana sesebuah dasar atas kertas. 

KMU Malaysia menekankan keperluan untuk  berpaksikan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang dalam pembuatan dasar. Ia juga mestilah dilakukan dengan libat urus bersama pelbagai pemegang taruh khususnya golongan rentan dan minoriti di semua peringkat. 

KMU Malaysia selaku sebuah organisasi masyarakat sivil akan terus menjalankan tanggungjawab semak imbang dan bersedia menjadi rakan strategik kerajaan dalam melaksanakan usaha penting ini bagi sebuah perpaduan yang menyeluruh  untuk jangka masa panjang.

 

– SEKIAN –

 

Muat turun versi pdf  di sini : Pelaksanaan Dasar Perpaduan Negara 2021-2030 Perlu Lebih Menyeluruh.