Memperingati sambutan Hari Belia Sedunia pada 12 Ogos yang disambut dengan meriah setiap tahun, Komuniti Muslim Universal (KMU) menyahut seruan untuk melaksanakan mandat terkandung dalam Resolusi 2250 sebagai organisasi belia. KMU ditubuhkan di atas nilai keamanan, kesamarataan dan kemanusiaan telah dan akan terus memainkan peranan dalam aspek pencegahan dan melawan ekstremisme ganas, kebebasan beragama dan kepercayaan dan hak kumpulan minoriti tertindas. Konsep “membina keamanan” telah lama diperluaskan, contohnya, termasuk konteks di Malaysia dalam mencegah konflik antara agama sebelum bertukar menjadi parah melalui dialog, bengkel kepimpinan dan platform wacana lain.

Semakin banyak masyarakat dunia pada hari ini menerima dan mengiktiraf golongan muda sebagai agen perubahan dan sebagai faktor tunjang dalam membina keamanan, juga dalam mencegah konflik. Melihatkan sebahagian besar dari populasi 1.2 billion golongan muda yang terkesan dengan konflik dunia dan perang. Berlatarbelakangkan hal ini, Hari Belia Antarabangsa 2017 disambut dengan tema “Belia Membina Keamanan”, dengan melihat kepada kepentingan belia, keamanan dan keselamatan melalui perspektif pembangunan sosial.

Tema yang dipilih pada tahun ini turut menyokong usaha-usaha dan komitmen berkaitan aspek belia, keamanan dan keselamatan yang diterajui oleh negara-negara anggota, badan-badan yang bernaung di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), golongan belia dan organisasi-organisasi yang dipimpin golongan muda.

Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres dalam kenyataannnya juga menekankan bahawa adalah penting untuk mengekalkan keamanan dunia dan mengelakkan konflik, di mana usaha ini adalah salah  satu aspek penting dalam gerak kerja beliau. Beliau turut meraikan dan mengiktiraf keupayaan golongan belia dari sudut mempertahankan hak asasi manusia, mengekalkan pembangunan lestari dan membina masyarakat dengan nilai keamanan sejagat.

Pada kali ini, tema yang dipilihsangat relevan dengan mengambil kira kebanyakan konflik dunia yang melibatkan golongan belia. Ditambah juga dengan kesedaran bahawa keamanan yang kekal tidak boleh dicapai melainkan dengan perlindungan yang mencukupi untuk golongan belia, penglibatan mereka sebagai salah satu pihak berkepentingan, juga dorongan yang mencukupi untuk belia, keamanan dan agenda keselamatan sejak beberapa tahun lepas.

 

Belia, Keamanan dan Keselamatan

Pembangunan ini, yang terkandung juga di dalamnya penerimaan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2250 (Resolusi 2250), telah menandakan satu peralihan dalam memahami  peranan golongan belia dalam konteks yang lebih besar dari sudut pembangunan keamanan dan pendamaian selepas berlakunya sesuatu konflik.

Resolusi 2250 berfungsi sebagai rangka kerja dasar yang menggariskan peranan positif orang muda dalam aspek penyelesaian dan pencegahan konflik, mengatasi ekstremisme ganas dan membina keamanan. Resolusi ini menggesa negara-negara anggota untuk memberikan ruang dan peluang yang lebih dalam kuasa membuat keputusan di peringkat tempatan, nasional, serantau mahupun di peringkat antarabangsa. Adalah penting untuk golongan muda dibekalkan dengan sokongan dan medium yang mencukupi supaya mereka dapat melibatkan diri mereka secara aktif dalam usaha pencegahan dan penyelesaian konflik.

Resolusi 2250 adalah satu mandat yang memfokuskan kepada satu kajian mengenai kemajuan golongan belia dan sumbangan-sumbangan mereka dalam penyelesaian konflik dan pemupukan keamanan sejagat. Memandangkan wujudnya kekurangan data lengkapdan dipercayai mengenai peranan positif belia dalam konteks keamanan dan keselamatan, secara tidak langsung ianya menghalang perkembangan -dasar yang memfokuskan konteks khusus dan tertentu, justeru cadangan yang diutarakan oleh kajian yang mendatang seharusnya mampu dijadikan data yang berharga untuk penggubal-penggubal polisi.

 

Bengkel Advokasi dan Pemikiran Kritis KMU Bersama Belia

 

Bacaan lanjut: http://kmumalaysia.org/berita/resolusi-majlis-keselamatan-pbb-2250-belia-keamanan-dan-keselamatan/