JAKARTA / 21-23 November 2018: Pihak Komuniti Muslim Universal (KMU) telah dijemput untuk menghadiri  sebuah bengkel anjuran CONVEY Indonesia [1] bertajuk “Regional Workshop on Religious Education and Prevention of Violent Extremism in Southeast Asia” di Jakarta, Indonesia.  Bengkel ini merupakan rentetan bengkel yang telah diadakan pada tahun lepas yang juga dihadiri KMU, berhasrat untuk menjalinkan hubungan toleransi dan inklusivisme sebagai salah satu penyelesaian untuk menangani ekstremisme ganas (violent extremism) melalui pendidikan agama. Bengkel kedua ini telah menampilkan wakil-wakil kerajaan, institusi akademik dan organisasi hak asasi manusia untuk membincangkan secara teliti mengenai tema pada tahun ini iaitu – “Lesson Learned and Best Practices”. Bengkel ini telah berjalan selama tiga hari yang diselaraskan oleh Pusat Pengkajian Islam dan Masyarakat, UIN syarif Hidayatullah dan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Jakarta.

Sejak dua dekad yang lalu, ekstremisme ganas telah menjadi sebuah isu yang berleluasa di pelbagai negara terutamanya di rantau Asia Tenggara. Menurut United Stated Agency for Development (USAID), ekstremisme ganas ditakrifkan sebagai “penganjuran, penglibatan, penyediaan, atau sebaliknya untuk menyokong keganasan yang dimotivasikan atau dibenarkan berdasarkan ideologi sosial, ekonomi atau kepentingan politik”. Kegiatan terrorisme dan radikalisasi tidak terhad kepada penculikan, tebusan dan pengeboman sahaja, ianya termasuk sikap tidak bertoleransi antara agama atau kepercayaan dan penyebaran maklumat yang membimbangkan. Pada November 2018, sebuah agensi penyelidikan telah mengenal pasti puluhan masjid di Indonesia yang menyebarkan ajaran ekstrem, mempromosikan keganasan terhadap bukan Muslim di mana ianya mampu menimbulkan ketidaksefahaman dalam masyarakat. Walaupun terdapat pelbagai prinsip yang menyumbang kepada ekstremisme seperti sosioekonomi, faktor politik, konflik etno-agama, ekstrimisme ganas sangat sinonim dengan penyalahgunaan pendidikan agama.

Antara bahan bengkel yang memfokuskan Salafisme, Internet dan Belia

Bengkel ini adalah anjuran tahunan dan tahun ini bertemakan ‘Lessons Learned and Best Practices”

Di Asia Tenggara, hubungan inter- dan intra-agama menjadi masalah utama di mana pendidikan agama telah digunakan untuk menyebarkan mesej yang rigid dan negatif terhadap penganut agama lain. Oleh itu, bengkel ini turut membincangkan peranan kerajaan dalam memainkan peranan mengawal pendidikan agama melalui dasar sedia ada dan pelaksanaannya. Ini membolehkan kerajaan meneroka sejauh mana keberkesanan dasar-dasar yang telah dilaksanakan. Beberapa negara seperti Malaysia telah menerangkan bagaimana kerajaan mengambil sikap tegas untuk menangani ekstremisme ganas melalui pendidikan inklusif. Malaysia turut menyediakan garis panduan, dana dan dasar untuk pendidikan agama.

Seiring dengan peranan kerajaan  dalam mengawal dasar, kumpulan hak asasi manusia memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang sesama rakyat dan jurang antara rakyat dan kerajaan. Sebagai contoh, di Filipina, kumpulan hak asasi manusia berkongsi mengenai pengalaman mereka dalam membantu menyebarkan naratif agama terutamanya Bangsa Moro melalui pendidikan formal dan tidak formal. Ini membantu mengekalkan kesepaduan dan menyediakan dialog terbuka dalam masyarakat yang pelbagai.

Tambahan lagi, terdapat pelbagai sesi bertema seperti kelompok majoriti dan minoriti, Salafisme, kewarganegaraan dan pendidikan keagamaan dalam teknologi digital. Wakil KMU berkesempatan untuk menghadiri sesi bertema “Hubungan Majoriti dan Minoriti dalam Pendidikan Agama”. Sesi ini selaras dengan prinsip KMU untuk mempromosikan keharmonian dan toleransi inter- dan intra-agama. KMU menyokong penuh semangat inklusivisme di mana setiap manusia perlu mendapat perlindungan undang-undang yang sama dan bebas mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing selagi tidak menimbulkan ucapan kebencian dan keganasan. Sesi ini juga menyentuh bagaimana pihak kerajaan, organisasi hak asasi manusia dan ahli akademik boleh bekerjasama melalui penggubalan dasar seterusnya melibatkan diri bersama masyarakat umum melalui pendidikan formal dan tidak formal.

KMU percaya bahawa bengkel ini telah membuktikan keberkesanannya untuk mengumpul semua pemegang taruh (stakeholders) untuk membincangkan isu ekstremisme ini dari pelbagai perspektif dan kepakaran. Oleh kerana setiap negara memiliki cara tersendiri dalam mengawal ekstremisme ganas, ianya amat mencabar dalam mencari konsensus yang sesuai dan boleh diadaptasikan oleh semua agama, etnik dan aspek politik. Kami menyarankan kerajaan, organisasi hak asasi manusia dan ahli akademik di Malaysia merancakkan lagi perbincangan meja bulat untuk menangani pemikiran ekstrem yang semakin meruncing di negara ini dengan lahirnya pemikiran-pemikiran berunsur Daesh, Nazisme, pelampau Hindu, rasisme dan lain-lain.

Pendidikan agama yang diperbaharui dan menjamin perlindungan semua penganut tanpa diskriminasi dan kebencian perlu dikuatkuasakan ke akar umbi dalam konteks Malaysia baru. Malah, dialog atau perbincangan perdamaian perlu diterapkan dalam kalangan pemimpin masyarakat, agama dan belia sama ada di dunia maya dan realiti supaya kita dapat menangani sesuatu konflik dengan rasional, berhemah dan aman. Bukan dengan emosi, kejahilan dan keganasan.

[1] CONVEY Indonesia adalah sebuah projek di bawah PPIM UIN Jakarta dengan kerjasama UNDP. CONVEY dibentuk untuk mengenal pasti dan menangani faktor pertumbuhan ekstremisme ganas dalam pendidikan agama melalui penyelidikan dan tinjauan, hubungan advokasi dan dasar, kempen awam, serta jaminan kualiti dan koordinasi. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek mereka, sila layari conveyindonesia.com

Bacaan lain:

Pendidikan Agama Inklusif Mampu Mencegah Pemikiran Ekstrem (Bahagian I)

Inclusive Religious Education Prevents Extremist Mindset (Part II)