Coffee Talk Siri #2: Virus Kebencian Di Media Sosial

 

Tarikh: 26 September 2020 | Sabtu

Masa: 8.30 – 9.45 pm (Malaysia)

Pautan Pendaftaran: https://bit.ly/3c1an13

 

Coffee Talk Siri #2 bersama cendekiawan dan pemimpin belia kali ini akan mengambil kira latar belakang pandemik Covid-19 yang berlaku pada hari ini. Di mana wujudnya peningkatan pada ucapan kebencian di media sosial dengan penyebaran maklumat yang menyasarkan kepada kumpulan kaum dan agama tertentu. Selain itu, kebencian ini berisiko untuk menular dalam ruang fizikal seharian yang boleh diterjemah dalam bentuk sikap dan perbuatan mendiskriminasi dan keganasan.

Antara persoalan yang ingin dirungkai termasuk; Bagaimanakah penggunaan media sosial secara tidak beretika telah menyumbang kepada permasalahan ini dan apakah etika penggunaan media sosial? Apakah cara-cara untuk mengurangkan risiko ucapan kebencian yang berpotensi menarik pendapat umum yang bersifat regresif dalam isu kaum dan agama? Apakah peranan masyarakat, kerajaan dan lain-lain? Bagaimanakah kesan IR 4.0 dan big data terutama dalam medium media sosial terhadap masyarakat?

 

Maklumat Panelis

 

Mukmin Nantang

Mukmin bin Nantang adalah pengasas Borneo Komrad. Berasal dari Tawau, Sabah dan merupakan graduan dalam bidang Sastera (Seni Kreatif) dari Universiti Malaysia sejak berusia 18 tahun. Mukmin bergerak aktif ketika menjadi mahasiswa di universiti dan teguh memperjuangkan isu-isu kebajikan mahasiswa dan masyarakat. Selain menulis buku, beliau kini berkhidmat sebagai guru di sekolah alternatif dan sedia mendidik anak-anak yang tidak mempunyai kewarganegaraan. Pada masa yang sama, beliau turut memberi advokasi secara meluas di media sosial dan memenuhi jemputan pihak luar untuk memberi pencerahan tentang isu-isu anak-anak terpinggir, pendidikan, isu-isu belia dan mahasiswa di sekitar isu semasa.

 

Jean Vaneisha

Jean Vaneisha merupakan seorang belia berumur 25 tahun dan telah aktif dalam pergerakan belia sejak tahun 2016 melalui organisasi politik Challenger Malaysia. Baru-baru ini, beliau sebagai koordinator program telah menganjurkan Parlimen Digital dengan 3 buah organisasi lain. Beliau juga merupakan timbalan ketua pengarang Ohisit.my.

 

Victoria Cheng

Victoria Cheng adalah Ketua Pengurus Program di Projek Dialog, sebuah organisasi pembangunan sosial yang bertujuan untuk mempromosikan wacana yang sihat di kalangan rakyat Malaysia. Beliau kerap bekerja dengan anak muda dengan menggunakan media baru dan platform kreatif untuk mengetengahkan isu-isu semasa, dalam masa yang sama memperkasakan suara terpinggir di ruang yang inklusif. Beliau adalah Pengarah Festival untuk Pesta Filem KITA yang merupakan pesta filem untuk anak muda yang meraikan kepelbagaian dan suara-suara baru.

 

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin seorang yang cintakan tanah air, budaya dan bangsa. Beliau merupakan lepasan pondok tradisional di Kedah dan kini melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa peringkat Pasca-Siswazah dan fokus beliau adalah kepada kajian Geostrategi. Selain terlibat aktif dalam acara-acara intelektualisme dan advokasi polisi, beliau juga membantu beberapa penyelidikan dalam bidang berkaitan.

 

 

Naim Al-Kalantani

Naim Abd Aziz atau lebih dikenali sebagai Naim Al-Kalantani kini menuntut di ASWARA dalam bidang Penulisan Kreatif di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Selain bidang sastera dan seni penulisan kreatif, beliau juga meminati kajian seputar tema perbandingan agama dan pemikiran Islam.