Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,

Pada 27 September 2017, satu perbincangan yang terdiri daripada para agamawan, pemimpin masyarakat, pengamal undang-undang, penggubal polisi dan belia telah berhimpun di Persidangan Tertutup #UlamaBersamaWanita yang bertempat di Kuala Lumpur, Malaysia telah bersepakat untuk menyimpulkan satu perisytiharan bersama, berjanji untuk membina satu pakatan utuh #UlamaBersamaWanita yang proaktif menentang keganasan dan penderaan seksual dalam perkahwinan di peringkat masyarakat secara sistematik dan seterusnya menggalakkan dialog antara pelbagai pihak berkepentingan mengenai hak-hak wanita, kesetaraan gender dan pemerdayaan wanita.

Para peserta bersepakat dengan komitmen untuk:

1. Memerhatikan dan menegaskan kesan serius peningkatan ekstremisme terhadap hak-hak wanita dalam isu paksaan perkahwinan, penafian hak dalam pendidikan, penyertaan dalam ruang awam, keganasan berasaskan gender dan seksual yang bersifat sistematik.

2. Memberdaya dan menegakkan hak-hak wanita, kesetaraan gender dan pemerkasaan wanita di Malaysia menurut piawaian antarabangsa.

3. Yakin bahawa Islam merahmati wanita dan hak-hak mereka daripada undang-undang, layanan dan penafsiran agama yang bersifat tidak adil dan mendiskriminasi wanita.

4. Menyeru ahli-ahli politik dan penggubal polisi untuk mengambil tindakan sewajarnya berasaskan undang-undang dan politik untuk meminda Kanun Keseksaan dengan memansuhkan Pengecualian kepada Seksyen 375 dan/atau meminda mana-mana undang-undang lain yang sedia ada untuk mengiktiraf keganasan dan penderaan seksual dalam perkahwinan sebagai satu kesalahan jenayah, dalam usaha menyokong golongan wanita dalam mendapatkan akses kepada keadilan secara efektif dan sama rata.

5. Menerima pakai pendekatan agama dan budaya atau tafsiran agama dalam menentang keganasan terhadap wanita dan menyemai sikap positif terhadap wanita khususnya dalam perkahwinan.

6. Menyeru komitmen Kerajaan Malaysia untuk mengambil peranan yang sewajarnya dalam merealisasikan Objektif Kesepuluh dalam ‘Sustainable Development Goals’ (SDGs) oleh Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) untuk memansuh undang-undang, polisi dan budaya yang bersifat diskriminasif dan seterusnya menggalakkan undang-undang, dasar dan tindakan sewajarnya berhubung keganasan dan penderaan seksual dalam perkahwinan.

7. Menyeru para agamawan dan pemimpin masyarakat untuk kehadapan dan menolak kesemua bentuk ketaksuban agama dan tanggapan yang menjadikan wanita sebagai objek dalam perkahwinan.

8. Menyeru organisasi masyarakat sivil dan cendekiawa untuk membentuk gerakan yang luas berkaitan hak-hak wanita terutamanya di negara-negara Islam, untuk meningkatkan tahap kesedaran dan pengetahuan mengenai hak-hak mereka dan seterusnya bekerjasama bagi memastikan keberhasilan usaha-usaha ini.

Dengan ini, pakatan #UlamaBersamaWanita bersetuju bahawa Deklarasi akan digunakan sebagai satu platform pendidikan dan advokasi untuk pencegahan dan penyelesaian keganasan dan penderaan seksual dalam perkahwinan di semua peringkat masyarakat.