Kuala Lumpur / 6 Julai 2018 – Komuniti Muslim Universal (KMU Malaysia) sebagai organisasi keagamaan, hak asasi manusia dan belia menyokong penuh usaha kerajaan melalui kenyataan media oleh Yang Berhormat Mujahid Yusof Rawa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, untuk menggalakkan dialog antara agama di negara ini. Usaha ini penting untuk mendidik masyarakat supaya saling menghormati dan menerima kepelbagaian pendapat serta kepercayaan tanpa mengambil jalan diskriminasi, apatah lagi keganasan. Dialog yang jujur pada masa yang sama mengikut prinsip hormat-menghormati dan terbuka mampu mendidik perasaan empati terhadap penindasan dan kepayahan yang terpaksa dialami oleh kumpulan minoriti agama selama ini, sama ada di bawah undang-undang atau kehidupan seharian dalam masyarakat majoriti.

 

Statistik yang dikeluarkan oleh Pew Research pada tahun 2015 mencatatkan 11% daripada rakyat Malaysia mempunyai pendapat yang cenderung kepada kumpulan pengganas Daesh atau Islamic State. Amalan ekstrem kumpulan pengganas ini termasuklah menyesat, mengkafir sehinggalah kepada pertumpahan darah bukan Islam dan sesama umat Islam sendiri yang mempunyai fikrah berbeza. Fenomena ini amat membimbangkan. Perkara ini langsung  tidak pernah diendahkan oleh kerajaan terdahulu untuk menyelesaikan barah ideologi ini khususnya. Malah, menghalang usaha dialog harmoni yang dianjurkan oleh organisasi-organisasi sivil.

 

Sebagai langkah pencegahan, KMU Malaysia ingin menggesa kerajaan baru era Malaysia Baharu ini untuk menggembleng usaha serta berganding bahu bersama organisasi sivil memupuk keamanan dan keharmonian signifikan antara agama di negara ini. Antara usaha yang boleh dilakukan ialah mengadaptasi prinsip-prinsip ihsan, perlindungan hak minoriti agama dan mengangkat tafsiran agama lebih inklusif yang diambil daripada Deklarasi Marrakesh, Pelan Tindakan Rabat dan Faith for Rights yang dipersetujui oleh pemimpin-pemimpin agama terkemuka seluruh dunia termasuk Ulama Islam.

 

Program-program bersama belia yang diiktiraf sebagai ‘ejen pendamai’ dalam resolusi Majlis Keselamatan PBB 2250 perlu digiatkan lagi melalui pelbagai program dan aktiviti antara agama dan kepercayaan seperti dialog, bengkel, summer school, fellowship, lawatan ke rumah-rumah ibadat, gotong-royong dan sambutan keagamaan atau kebudayaan bersama pelbagai kaum dan agama sebagai mekanisme pencegahan melawan mentaliti hegemonik generasi belia yang terdedah menjadi ekstrim.

 

Sekian,

Komuniti Muslim Universal (KMU)