23 March 2018

5 Rejab 1439h

 

Assalamualaikum,

Komuniti Musim Universal (KMU) merupakan organisasi belia, keagamaan, kemasyarakatan dan hak asasi manusia ditubuhkan untuk mencegah ekstrimisme agama. KMU amat kesal dengan pihak-pihak tertentu yang cuba menyebarkan berita palsu dan tohmahan liar ke atas KMU. Di hari jumaat yang barakah ini, pihak KMU ingin mengemukakan beberapa kenyataan rasmi seperti di bawah:

1.   KMU bukan “pengaruh liberal” buruk kepada mahasiswa

Pertama, walaupun KMU sendiri tidak pernah menggelar ia sebagai ‘liberal’ mengikut definisi akademik paling absah. Sedia maklum, terma ini sering digunakan untuk memomokkan masyarakat. Ini disebabkan faktor prejudis, kurang pembacaan meluas dan generalisasi bahawa semua yang berpendapat terbuka automatik menjadi liberal. Satu tanggapan yang sangat rapuh.

Kedua, KMU menyokong budaya ingin tahu dan berdialog dalam kalangan mahasiswa di dalam dan luar kelas, sama ada dari segi politik, undang-undang, sosial, hak asasi manusia, falsafah dan lain-lain dalam suasana yang toleran, terbuka dan adil tanpa sebarang tindakan susulan akibat daripada penglibatan tersebut. Wacana ilmiah dengan ada yang menyokong dan tidak, bukanlah fenomena berbahaya seperti yang dimomokkan, malah satu budaya biasa di peringkat pengajian tinggi.

Ketiga, sekatan hanya menggambarkan daya intelek mahasiswa diremehkan dan mengakibatkan dunia akademik yang sepatutnya hidup di universiti mati walaupun mahasiswa dalam dunia globalisasi dan teknologi telah terdedah dengan informasi pelbagai dan lebih ‘advanced’ di media sosial misalnya.

2.   Abdul Adieka Amirul dan Calvin Ohsey bukan ‘spokeperson’ atau ‘anggota’ KMU

KMU ingin menafikan sekeras-kerasnya kandungan berita palsu portal-portal picisan yang memetik kata-kata mereka sebagai autoriti mewakili KMU. Ini tidak benar sama sekali kerana KMU tidak pernah mempunyai sistem keanggotaan ataupun keahlian seperti ‘persatuan atau jemaah’ lain. Mereka pernah terlibat dalam aktiviti KMU yang dibuka untuk semua, tetapi sebagai peserta semata-mata. Tanpa menafikan hak mereka untuk bersuara, kenyataan mereka adalah milik peribadi, tidak mewakili KMU sama sekali. Kenyataan rasmi KMU hanya akan dikeluarkan di lam web dan media sosial milik KMU.

3.   Kaitan KMU dengan organisasi antarabangsa lain untuk tujuan ‘akses’ bukan sebagai pengikut membuta tuli

Kami ingin menegaskan bahawa KMU merupakan organisasi bebas dari pengaruh luar, tidak berkepentingan politik dan agenda ‘barat’ seperti yang diuar-uarkan. Malah KMU dalam program bersama belia cuba mendidik mereka supaya berfikiran kritis walaupun ke atas barat dengan masalah jenayah peperangan, persenjataan dan slogan populis anti Islam.

KMU seperti organisasi atau pertubuhan lain terbuka dalam menjalinkan kerjasama dua hala bersama organisasi majmuk, seperti dalam program yang telah diadakan seperti #UlamaBersamaWanita dan Intercultutal and Interreligious Dialougue with Youth (IIDY). Ini demi menunaikan visi dan misi KMU, antaranya untuk mencapai matlamat pembangunan lestari (SDGs) 2030, keilmuan Islam progresif, hak asasi manusia dan pencegahan ekstremisme ganas di Malaysia. KMU hanya menggunakan ‘akses’ tidak lebih dari itu untuk menghadiri konferens dan sidang antarabangsa bersama organisasi atau pertubuhan lain dan sama-sama membincangkan maslahah umah yang lebih besar.

Kami juga menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tentang KMU mempromosi ajaran songsang hasil dari kerjasama ini. KMU dalam programnya bersifat inklusif, bermaksud tidak mendiskriminasi penglibatan individu berlainan fahaman dan identiti, malah menggalakkan penyelesaian konflik secara harmoni dan pengamalan adab hormat-menghormati terhadap kumpulan Sunnah, Syiah, Ahmadiyah, LGBT dan wanita.

KMU percaya kumpulan ini berhak hidup tanpa diskriminasi, hukuman dan keganasan hanya kerana identiti mereka. Program-program ini diselia oleh sukarelawan KMU yang mempunyai latar belakang pendidikan agama dan malarang sama sekali unsur “memurtadkan”, “mengkafirkan” antara satu sama lain dan “memaksa menerima sesebuah pendapat”.

KMU melihat mentaliti dan sikap ekstrim seperti inilah sebagai satu masalah yang perlu dicegah bersama. Ia berakar umbi dari hati yang penuh kebencian kemudian sikit demi sedikit diterjemahkan melalui perbuatan mendiskriminasi dan ganas. Jadi, sebagai langkah proaktif untuk mencapai keamanan dan kesaksamaan beralaskan sumber yang terhad, KMU melihat anak muda sebagai tunjang kepada perubahan positif dan menyeru untuk saling kenal-mengenali bukan musuh-memusuhi. Berita palsu dan tohmahan liar yang mengandungi النميمة, الحسد ,الغيبة di sisi Islam dan libellous di sisi undang-undang perlu dihentikan serta merta.

 

Wallahua’lam.

 

Sekian,

Warga Komuniti Muslim Universal (KMU)

salam@kmumalaysia.org