Assalamualaikum,

Berikutan insiden tembakan yang mengorbankan 50 orang melibatkan komuniti LGBTIQ di Orlando 12 Jun 2016, kami KMU Malaysia merasa terpanggil untuk bersuara menentang pembunuhan kejam ini. Lebih menggusarkan dan menyedihkan kami, ada segelintir kalangan rakyat Malaysia yang secara sedar mahupun tidak seakan menyokong tindakan tersebut khususnya di media sosial.

Kami percaya fenomena ini amatlah membimbangkan bagi sebuah masyarakat madani yang progresif di Malaysia kerana masih wujud sebahagian masyarakat kita yang menyokong keganasan serta bersekongkol dalam terrorisme agama.

Apa jua bentuk keganasan dan diskriminasi terhadap Muslim atau bukan Muslim, LGBTIQ atau bukan LGBTIQ perlulah dikecam kerana nyawa di sisi Allah amat bernilai: “Barangsiapa yang membunuh seorang manusia dengan tiada alasan yang membolehkannya, atau (kerana) melakukan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia seluruhnya; dan sesiapa yang menjaga keselamatan hidup seorang manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga keselamatan hidup manusia seluruhnya”.

Juga ditegaskan Allah dalam Surah-surah lain dalam Al-Quran seperti; (Al Maaidah : 32), (An Nisaa’ : 93), (Al Baqarah : 195), (Al Israa : 33), (Al An’am: 151).

Malangnya, sogokan hukuman yang tidak berperikemanusiaan terhadap komuniti LGBTIQ yang disandarkan kepada Islam biasanya sebagai justifikasi bagi keganasan seperti pembunuhan terbaru ini.

Padahal tidak ada satu pun ayat Allah atau Hadith Sahih Rasulullah mengenainya. Bahkan Rasulullah bersabda yang mafhumnya: “Dan yang pertama kali dihisab (di akhirat) atas dosa sesama manusia adalah dosa menumpahkan darah” (HR. Al-Bukhari).

Respon segelintir kita yang bersetuju atas serangan golongan minoriti ini bagi kami impaknya amatlah negatif. Ia akan membenarkan stereotaip dan naratif ‘Muslim-terrorisme’ yang menatijahkan atau menguatkan lagi Islamofobia masyarakat dunia.

Kami yakin sikap keganasan ini lahir daripada indoktrinasi segelintir pendakwah dan masyarakat yang sering menanam kebencian tanpa memahami, simpati serta empati, dan juga melalui pelaksanaan undang- undang yang mendiskriminasi komuniti LGBTIQ. Tindakan ini melahirkan masyarakat yang menafsirkan kebencian dalam bentuk tindakan yang kejam dan jahat atas nama agama. Homofobia, transfobia, bifobia atau apa sahaja fobia atas seksualiti tidak dikenali dalam Islam. Allah melarang bersekongkol dengan permusuhan (Al-Maidah: 2).

Kami menegaskan bahawa tidak kira bagaimana ciptaan-Nya, sama ada berlainan agama, kaum, etnik atau berlainan gender dan seksualiti, kita seharusnya saling kenal mengenali dan sayang menyayangi bukan bermusuhan (Al Hujurat : 13). Allah mengajar manusia untuk sabar dan membalas dengan kebaikan jika berada di dalam situasi bermusuhan (Al Fussilat : 35 – 36).

Dalam al-Quran dan as-Sunnah terdapat perkara-perkara yang menyentuh hak-hak manusia. Ini lebih jelas apabila meneliti kandungan Sahifah Madinah. Jaminan kepada hak-hak menjadi Maqasid al-Syariah. Tujuan utama syarak adalah untuk menjaga kepentingan manusia dalam kehidupan di dunia dan akhirat. Perkara yang menyentuh hak utama individu yang mesti dipelihara ada lima (5) yang salah satunya adalah nyawa (diri), selain daripada agama, akal, keturunan (maruah) dan harta. Syarak memberi jaminan dan perlindungan kepada penjagaan nyawa sesama manusia.

Akhirnya, kami menyeru agar masyarakat Malaysia seluruhnya memahami dan dapat menunjukkan Islam itu adalah agama rahmat dan inklusif kepada semua. Kami juga ingin memanggil bersama-sama kami khususnya para Ulama’, asatizah, mufti dan para pemimpin masyarakat untuk mengecam sekaligus mengutuk perbuatan keganasan atas nama agama tanpa kompromi dan menggalakkan ‘Rahim’ atau cinta sesama manusia.

Wassalam,

Komuniti Muslim Universal (KMU)