Komuniti Muslim Universal Malaysia (KMU) berpendirian perlunya kritikan membina terhadap Enakmen dan Akta Jenayah Syariah khususnya berkaitan dengan tangkapan khalwat. Hal ini tidak bermaksud untuk menghina dan memperlekeh agama Islam. Ia adalah amalan biasa dalam penambahbaikan mana-mana sistem perundangan. Selari dengan prinsip Islam yang bersifat luwes dan anjal. Banyak surah dalam al-Qur’ān, Allah menyebut dan menggalakkan hamba-Nya untuk berfikir secara kritikal (ar-Ra’d 13:4, al-Hashr 59:21, Fathir 35:37, Yunus 10:24, ar-Rum 30:21) dan memberi amaran dari mewarisi amalan berzaman yang batil dan sekadar ikut-ikutan (al-Baqarah 2:170, al-Ma’idah 5:104, al-A’raf 7:28, Hud 11:109, al-Isra 17:36,  Ibrahim 14:10).

Kami juga mengutuk tuduhan murtad dan sesat oleh sesetengah pihak terhadap pihak yang memberikan kritikan dalam isu intipan (tajassus) khalwat ini. Jelas, perbezaan pendapat sudah lama berlaku sejak zaman Nabi Muhammad lagi sehinggalah kepada perbezaan dalam kalangan imam-imam mazhab. Tambahan pula, budaya takfir ini sama sekali dilarang agama dalam banyak nas.

Kami sedar dan akui, undang-undang syariah khalwat ini adalah ijtihad pihak berkaitan dan bukanlah sesuatu yang jelas atau tetap (qat’ie) yang termaktub dalam al-Qur’ān, Sunnah mahupun dalam amalan golongan awal (salafussoleh). Bahkan ia menyanggahi nas-nas Islam serta ‘Maqasid Shariah’.

Penguatkuasaan ini juga kami simpulkan sebagai membuka jalan (fathu zari’ah) kepada keburukan (mafsadah) yang lebih besar kepada individu mahupun masyarakat umum antaranya;

  1. mempromosi aib manusia yang lain;
  2. pencerobohan hak peribadi dan ruang peribadi kerana terburu-buru dan tidak patuh prosedur;
  3. perilaku negatif penguatkuasa dan cara penguatkuasaan yang penuh dengan syakwasangka;
  4. menimbulkan fitnah kepada tertuduh dan keluarga tertuduh; dan
  5. menggalakkan masyarakat untuk menjadi lebih radikal mencari kesalahan manusia lain tanpa melakukan periksa pada diri sendiri dahulu

Hujah

Allah berfirman, “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip (wala tajassasu) mencari-cari kesalahan orang”. (al-Hujurat 49:12)

Tambahan lagi, “Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya”. (An Nur : 27)

Imam al-Tabari telah menghuraikan “wala tajassasu” bermaksud jangan kamu mencari keaiban satu sama lain, jangan kamu mencari rahsia-rahsianya dengan tujuan untuk mengetahui kecacatannya. Namun berpadalah dengan apa yang nyata dari dirinya.

Dalam tafsiran Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, jangan kamu mencari keaiban dan keburukan kaum muslimin. Jangan kamu singkap apa yang mereka cuba tutupi dan kamu cuba melihat rahsia-rahsia mereka. Tajassus termasuk dalam dosa-dosa besar, iaitu mencari keaiban yang tersembunyi dan rahsia”. (al-Zuhaili, Tafsir al-Munir)

Kita harus mengambil pengajaran daripada sirah zaman Khulafa’ Al Rasyidun berkaitan amalan ini. (al-Ghazali, Ihya ‘Ulumuddin)

“Kami telah menyebutnya dalam kitab Adab al-Suhbah (Adab-Adab Persahabatan). Begitu juga apa yang diriwayatkan bahawa ‘Umar r.a. telah memanjat rumah seorang lelaki dan mendapatinya dalam keadaan yang tidak wajar. Lelaki tersebut telah membantah ‘Umar dan berkata: “Jika aku menderhakai Allah pada satu perkara, sesungguhnya engkau telah menderhakai-Nya pada tiga perkara. ‘Umar bertanya: “Apa dia?”

Dia berkata: Allah telah berfirman maksudnya:

(Jangan kamu mengintip mencari kesalahan orang lain). Sesungguhnya engkau telah melakukannya.

(Masukilah rumah melalui pintu-pintunya). Sesungguhnya engkau telah memanjat dari bumbung atau menceroboh.

(Janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya). Sesungguhnya engkau tidak memberi salam.

Maka ‘Umar pun meninggalkannya”.

Dalam hadith lain daripada Mu’awiyah: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya engkau, jika mencari-cari keaiban orang ramai, nescaya engkau merosakkan mereka atau hampir merosakkan mereka. (Riwayat Abu Daud)

Al Syaikh Salim ‘Id Al Hilali menyebut, Al Quran dan As Sunnah telah melarang hal ini. Sebabnya ia menyakitkan empunya keaiban itu sedangkan dia berusaha menutup dan tidak melakukannya secara terang-terangan. Dilarang berusaha mencari kesalahannya kerana kita disuruh menutup keaiban seboleh mungkin”. (al-Hilali, Bahjah al-Nazirin, Dar Ibn Jauzi 1425H)

Rasulullah SAW amat menitikberatkan privasi dan aib peribadi yang tidak melibatkan dan mengancam kepentingan awam. Nabi SAW bersabda: “Dan barangsiapa yang menutupi aib seorang muslim, Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat”. (Riwayat Bukhari & Muslim)

“Berhati-hatilah kalian dari tindakan berprasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari keburukan orang lain, saling inti-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi, dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara”. (Riwayat Bukhari)

Pendek kata, kami merujuk Raudhah al-‘Uqala tulisan Abu Hatim bin Hibban al-Busti, Halaman 131, “Orang yang berakal wajib mencari keselamatan untuk dirinya dengan meninggalkan perbuatan tajassus dan senantiasa sibuk memikirkan keburukan dirinya sendiri … Orang yang senantiasa sibuk memperhatikan keburukan orang lain dan melupakan keburukannya sendiri, maka hatinya akan buta, badannya akan merasa letih dan akan sulit baginya meninggalkan keburukan dirinya”.

KMU sekali lagi menegaskan amalan tangkapan dan intipan (tajassus) khalwat ini bukanlah amalan terbaik demi kemaslahatan semua. Pendidikan moral yang inklusif untuk memupuk kesedaran merupakan kunci kepada masalah sosial, seks bebas dan keruntuhan akhlak. Kami juga menyeru untuk menilai kembali amalan ini selari dengan tuntutan syarak yang menghormati kemuliaan insan (karamah insaniyyah) selaras dengan tuntutan agama, Perlembagaan Persekutuan dan maslahat umum.

 

Wassalam,

Komuniti Muslim Universal (KMU) Malaysia

14 Disember 2015

 


Muat turun PDF: