Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang

Ringkasan Eksekutif Deklarasi Marrakesh mengenai Hak Minoriti Agama dalam Komuniti Bermajoriti Muslim


25-27 Januari 2016

BAHAWASANYA, keadaan di beberapa tempat di dunia Islam telah merosot dengan berbahaya disebabkan kekerasan dan perjuangan bersenjata sebagai alat untuk menyelesaikan konflik dan melaksanakan satu-satu pandangan;

BAHAWASANYA, keadaan ini juga telah melemahkan kuasa kerajaan yang sah dan membangkitkan sekumpulan penjenayah yang mengeluarkan fatwa berkaitan Islam, yang mana sebenarnya memesongkan prinsip asas dan matlamat dengan membahayakan penduduk secara keseluruhan;

BAHAWASANYA, tahun ini merupakan ulang tahun ke-1400 Piagam Madinah, sebuah kontrak perlembagaan antara Nabi Muhammad SAW dan penduduk Madinah yang ko menjamin kebebasan beragama kepada semua, tanpa mengira kepercayaan;

BAHAWASANYA, ratusan ulama dan cendekiawan Islam dari lebih 120 buah negara, bersama dengan wakil pertubuhan-pertubuhan Islam dan antarabangsa, serta pemimpin daripada pelbagai kelompok agama dan warganegara, berkumpul di Marrakesh pada tarikh ini untuk mengukuhkan lagi prinsip-prinsip Piagam Madinah dalam konferens besar ini;

BAHAWASANYA, persidangan ini telah diadakan di bawah naungan baginda Raja Mohammed VI Maghribi, dan dianjurkan bersama oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kerajaan Maghribi dan Forum untuk Menggalakkan Keamanan dalam Masyarakat Islam yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu;

DAN MENYATAKAN situasi ini bukan sahaja melanda umat Islam tetapi termasuk juga orang agama lain di seluruh dunia, dan selepas pengamatan dan perbincangan yang terperinci oleh ulama dan cendekiawan Muslim:

DENGAN INI MENGISYTIHARKAN komitmen teguh kami kepada prinsip-prinsip yang termaktub dalam Piagam Madinah, yang mana peruntukannya mengandungi beberapa prinsip kontrak kewarganegaraan berperlembagaan, seperti kebebasan bergerak, pemilikan harta, solidariti  dan pertahanan bersama, serta juga prinsip keadilan dan kesamarataan di sisi undang-undang;

Objektif Piagam Madinah adalah bagi menyediakan kerangka yang sesuai untuk perlembagaan negara dalam negara majoriti Muslim, dan Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu serta dokumen yang berkaitan seperti Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang selaras dengan Piagam Madinah termasuk pertimbangan untuk ketenteraman awam.

LANJUT MENYATAKAN bahawa renungan yang mendalam kepada pelbagai krisis menimpa kemanusiaaan menekankan keperluan kerjasama yang tidak dapat dielakkan dan segera dalam kalangan semua kumpulan agama,

MENEGASKAN bahawa kerjasama itu mesti berdasarkan “Kalimatun Sawa” yang mana kerjasama ini mesti mendasari toleransi dan hormat-menghormati, untuk menyediakan perlindungan penuh bagi hak-hak dan kebebasan untuk semua kumpulan agama dengan cara bertamadun yang menolak paksaan, berat sebelah, dan keangkuhan.

 

BERDASARKAN SEMUA DI ATAS, kami dengan ini:

 

Menyeru para ulama dan cendekiawan Islam seluruh dunia untuk membangunkan Feqah berkonsepkan “kewarganegaraan” yang meliputi pelbagai kelompok. Feqah ini perlu bertunaskan daripada tradisi dan prinsip Islam serta peka akan perubahan global.

Menggesa institusi pendidikan dan penguatkuasa Muslim untuk menyemak kurikulum pendidikan yang ditekankan dengan jujur dan berkesan atas sebarang bahan hasutan yang menggalakkan pencerobohan dan ekstremisme yang mampu menjurus kepada peperangan dan huru-hara serta menatijahkan kemusnahan masyarakat bersama;

Menyeru ahli politik dan pembuat dasar untuk mengorak langkah dalam politik dan perundangan yang penting untuk membangunkan sebuah hubungan kontrak berperlembagaan dalam kalangan rakyat, serta menyokong semua pendekatan dan inisiatif yang bertujuan untuk mengukuhkan hubungan dan persefahaman antara pelbagai kumpulan agama dalam dunia umat Islam;

Menyeru golongan terpelajar dan anggota masyarakat yang berseni dan kreatif, begitu juga organisasi masyarakat sivil untuk membina sebuah gerakan yang luas untuk mewujudkan layanan yang samarata terhadap golongan minoriti agama dalam negara umat Islam serta meningkatkan kesedaran tentang hak-hak mereka dan bekerjasama bagi memastikan kejayaan usaha ini.

Menyeru pelbagai kumpulan agama bersatu atas asas kenegaraan yang sama untuk menangani penyakit ‘amnesia selektif’ dalam diri yang menghalang memori sebuah perkongsian hidup di atas tanah tumpah darah yang sama sejak berkurun dulu lagi; maka kami menyeru untuk membina kembali tradisi keramahan serta memulihkan kepercayaan di antara satu sama lain yang telah terhakis lantaran ekstemis yang menggunakan keganasan dan pencerobohan;

 

Menyeru wakil-wakil pelbagai agama, mazhab dan denominasi untuk berhadapan dengan segala bentuk ketaksuban, fitnah dan cercaan keagamaan yang dianggap suci dan begitu juga semua bentuk ucapan yang menggalakkan kebencian dan ketaksuban; DAN AKHIRNYA,

Menegaskan, adalah tidak wajar menggunakan agama untuk tujuan penindasan atas hak golongan minoriti agama di negara umat Islam.

 

Marrakesh

27 Januari 2016


Diterjemah oleh:
Ahmad Salami
Fiqh dan Usul Al-Fiqh, UIAM
(Penganalisis Kajian KMU)

Disemak oleh:
Aizat Shamsuddin
LL.B & Sharia (Hons), USIM

Dato’ Dr Ahmad Farouk Musa
Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF)

 

Sumber asal teks:
http://marrakeshdeclaration.org/files/Bismilah-2-ENG.pdf