Pada Mac 2017, Jabatan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB (OHCHR) melancarkan inisiatif “Faith for Rights” dengan bengkel bersama pakar di Beirut. Inisiatif ini menyediakan ruang refleksi yang mendalam dan kaya dalam hubungan antara agama dan hak asasi manusia. Tujuannya untuk mengangkat pembangunan masyarakat yang aman, maruah manusia dan kesamarataan untuk semua, di mana kepelbagaian tidak hanya ditoleransi malah dihormati dan diraikan secara penuh.

 

Deklarasi Beirut mengambil kira semua penganut – sama ada beragama, tidak beragama dan lain-lain perlu berganding bahu dalam menyuarakan “Agama atau Kepercayaan” boleh membela “Hak” secara efektif supaya kedua-duanya saling memperkasakan antara satu sama lain. Hak individu atau kumpulan dalam mengamalkan agama atau kepercayaan lebih subur dalam persekitaran di mana hak asasi manusia dilindungi. Sama juga, hak asasi manusia boleh mendapat kebaikan dari amalan keetikaan dan kerohanian oleh individu atau kumpulan agama atau kepercayaan. Daripada memfokuskan perbezaan teologi dan doktrin agama, Deklarasi Beirut mengutamakan titik persamaan dalam semua agama dan kepercayaan untuk mengangkat maruah dan kesamarataan manusia.

Deklarasi Beirut telah menghasilkan 18 Komitmen “Faith for Rights” termasuk:

  • Untuk mencengah penyalahgunaan “Agama Persekutuan” untuk mendiskriminasi individu atau kumpulan;
  • Untuk menyemak semula tafsiran yang menyokong ketidaksamarataan gender dan stereotaip berbahaya atau menyokong keganasan berasaskan gender (GBV);
  • Untuk membela hak semua individu minoriti;
  • Untuk melawan advokasi kebencian yang menggalakkan keganasan, diskriminasi dan permusuhan;
  • Untuk mengawal selia tafsiran atau pegangan agama yang bercanggah dengan norma dan piawaian hak asasi manusia sejagat;
  • Untuk mencengah penindasan ke atas yang bersuara dan menggesa kerajaan supaya memansuhkan apa-apa undang-undang berkenaan anti penodaan agama dan kebebasan beragama;
  • Untuk menyemak semua kurikulum, bahan pembelajaran dan pengajaran dan buku teks; dan,
  • Untuk menyatuni kanak-kanak dan belia yang merupakan mangsa atau terdedah kepada hasutan keganasan atas nama agama.

Komuniti Muslim Universal (KMU) sangat komited dalam mendidik masyarakat terutamanya para belia di negara ini tentang kebebasan agama dan kepercayaan merentasi pelbagai disiplin ilmu yang lain seperti gender dan ekstrimisme. KMU telah melancarkan Interreligious and Intercultural Dialogue for Youth (IIDY) atau Dialog antara Agama dan Budaya untuk Belia pada 2017. Program ini telah berjaya mendekati para belia kepada pemahaman hak minoriti agama di negara bermajoriti Muslim berdasarkan Deklarasi Marakkesh. Pada tahun yang sama KMU juga telah menganjurkan #UlamaBersamaWanita bersama pemimpin agama, komuniti, belia dan NGO dalam membincangkan isu keganasan berasaskan gender (GBV). Hasilnya, satu deklarasi #UlamaBersamaWanita menentang “marital rape” atau rogol dalam perkahwinan berjaya disepakati.