“Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam” (Al-Fatihah 1:2)

Jika perkataan “alangkah” itu membawa erti sebuah impian atau angan-angan tidak bermakna ianya mustahil untuk dikecapi. Apa pun itulah perkataan yang terungkap apabila Mufti Wilayah Persekutuan, Dr. Zulkifli Al Bakri hafizahullah menyantuni pengguna dadah, pekerja seks, transgender dan bekas banduan semalam.

Memahami perilaku, tutur kata dan perubahan dalam kehidupan insan adalah sesuatu yang kompleks dan mengambil masa panjang. Jadi, langkah awal untuk memahami golongan terasing dan tertindas harus dihargai, apatah lagi jika ia dikepalai oleh para agamawan dari masyarakat majoriti. Masyarakat majoriti menggalas tugas lebih berat untuk memahami masyarakat minoriti atas sebab keberadaan dan keegoan mereka pada tampuk kuasa boleh melalaikan mereka tentang hak insan lain.

Pengguna media sosial rata-rata memberikan reaksi positif luar biasa. Dalam kata lain, ini membuktikan bahawa amat jarang sekali para agamawan turun padang bersemuka dengan wajah-wajah “buangan” kebanyakan institusi agama, pendidikan, perundangan dan keluarga.

 

Kerumitan Kehidupan Manusia

Alangkah baiknya jika kita memahami “faktor penolakan dan penarikan” (push and pull factors)

Tidak semua pekerja seks redha dengan apa yang mereka lakukan. Ketahuilah, jika pilihan itu luas terbentang, bebas dari keterdesakan ekonomi, diskriminasi majikan, cemuhan masyarakat dan tidak berkemampuan menampung pendidikan, maka bukan pilihan itu yang akan dibuat.

Ketahuilah, kewujudan penganut mazhab akidah atau fikah utama selain Asyairah dan Salafiyyah seperti Syiah, Ahmadiyyah, Muktazilah dan Atheisme juga disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya asuhan dari kecil, persekitaran sosial, kajian dan pemahaman, pengalaman hidup, penindasan dari pihak berkuasa dan lain-lain.

Ketahuilah, agamawan yang memahami sebab musabab seorang rakyat mencuri pada malam hari kerana tiada upah di siang hari untuk menampung keluarga dan melangsaikan hutang akan melihat hudud bukan perkara prioriti tetapi kebajikan ribuan rakyat lain yang senasib.

Secara tuntasnya, amat mudah menggunakan label momokan teologi masing-masing dan agenda zionisme tanpa cuba memahami proses mengapa seseorang itu berada di posisi tersebut.

 

Mufti Perlis melawat mak cik penjual rebung di kaki lima dan melahirkan rasa sedih dengan kesusahan masyarakat.

 

Imam Masjid, Mohammed Mahmoud antara individu yang melindungi suspek serangan masjid Finsbury Park dari dipukul oleh kerumunan orang ramai yang sedang marah sehinggalah suspek selamat dalam jagaan polis.

 

40 belia muslim Sunni, Syiah anjur majlis iftar, pupuk persefahaman di Masjid Baalwie di Singapura, Mereka mengikrarkan sokongan terhadap interaksi sesama umat Islam dari fahaman-fahaman berbeza, untuk menentang radikalisme.

 

Persefahaman Antara Insan Tunjang Masyarakat Toleran

Kritikan dari pelbagai pihak ke atas institusi agama bukanlah membawa maksud memusuhi mereka, walaupun sebaliknya berlaku. Organisasi hak asasi manusia sudah lama memandang perkara ini penting untuk dicerna dan ditangani dengan berhikmah dan tanpa paksaan.

Komunikasi bersama organisasi dan aktivis hak asasi manusia dalam memahami golongan tertindas merupakan satu usaha yang perlu diperbanyakkan. Malangnya, jurang ini terus membesar dek kerana undang-undang dan sikap agamawan mengekang hak berekspresi dan berpendapat disokong oleh masyarakat majoriti terdidik dari tarbiah keras.

Kesuburan dan pembangunan institusi agama akan menjadi lebih berkualiti jika hak ini boleh dikompromi tanpa sikap prejudis, kebencian dan kepentingan lain. Para agamawan yang memahami boleh tidak bersetuju dengan tindakan dan pegangan seseorang, pada masa sama, tanpa segan silu boleh mengeluarkan fatwa atau pendapat menolak individu lain yang mendiskriminasi golongan tertindas disebabkan oleh status ekonomi, kepercayaan, perkerjaan dan pemikiran.

 

Penyemaian Persefahaman Melalui Pelbagai Cara

Lumrah manusia juga mudah mempercayai tohmahan dan tuduhan terutamanya dari portal-portal picisan alam maya tanpa usul selidik. Sebagai manusia berakal dan bertakwa yang mendambakan keamanan, fikirlah sejenak melalui pemerhatian dan pembacaan untuk menyelami kompleksnya kehidupan manusia. Satu dua kalimah tidak mampu untuk menerangkan jurnal hidup seorang insan.

Contohnya, anjurkan dialog antara masyarakat yang menggarapkan akhlak dan adab berselisih pendapat dan program-program kebajikan untuk masyarakat yang memerlukan. Perbezaan fahaman tidak boleh menjadi kayu ukur untuk pilih kasih. Sesungguhnya sirah memperlihatkan Rasulullah s.a.w mengasihani dan membela hak umatnya, sama ada kafir, penzina, pelacur atau penentang dan hanya bertindak balas dengan hukuman sekiranya ia memenuhi syarat-syarat terperinci yang akan membawa kemudaratan kepada orang lain.

 

Untuk Memahami perlu menggadai hak masyarakat majoriti?

Tidak, hak majoriti akan terus terpelihara malah akan lebih dihormati. Apa yang dimaksudkan ialah memahami seterusnya membina rasa empati terhadap yang lain agar kita tidak mudah untuk menjatuhkan hukum dan paksaan.

Akhir kata, seseorang itu tidak perlu menjadi pelacur, Kristian, masyarakat Islam di barat, penagih dadah, pengemis dan LGBT untuk memahami, tetapi manusia biasa dengan hati dan belas kasihan.