Penulisan ini bertujuan untuk memaparkan realiti sebenar di Malaysia, dari sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara yang menyebabkan integrasi feminisme dalam kalangan masyarakat masih lagi di tampuk yang lama.
Selain itu, penulisan ini juga mengkritik amalan-amalan masyarakat yang dianggap selesa seterusnya meletakkan kaum wanita di tatatingkat yang bawah berbanding lelaki, terutamanya di negara-negara Islam yang berpegang pada tafsiran Al-Quran dan As Sunnah yang klasik dan konservatif.
Jika dilihat gotong-royong disesetengah tempat untuk melangsungkan kenduri atau majlis, kaum ibu akan bertungkus-lumus di dapur menyiapkan juadah serta merewang cenderamata untuk para tetamu.
Sementara, para bapa akan berborak di luar rumah sambil menghembus asap rokok.
Persepsi ini mungkin sudah terbiasa dalam masyarakat kita sehingga ke hari ini, yang mana wanita itu sudah dicop untuk membuat kerja-kerja dapur semata walaupun layak menjadi seorang profesional.
Wanita yang berkeluarga pula akan merasakan kewajipan untuk berhenti atau disuruh oleh si suami untuk hanya tinggal di rumah kerana persepsinya ialah, wanita itu tempatnya di rumah.
Para Isteri yang mempunyai suami yang sering keluar kerana urusan jemaah atau “tabligh”, pertapaan dan mungkin terlibat dalam agenda keganasan seperti Islamic State for Iraq and Syria (Isis).
Si isteri dalam hal ini disuruh untuk redha dan taat kepada si suami kerana “agama”.
Walaupun, ditinggalkan selama berbulan-bulan tanpa nafkah zahir dan batin, si isteri perlu menerimanya.
Malah, si isteri yang dalam kesempitan kewangan perlu meminjam wang dari jiran tetangga atau saudara-mara demi menjaga kebajikan anak-anak.
Bukankah tugas si suami itu untuk menjaga kebajikan keluarga dan akan dipersoalkan oleh Allah di akhirat nanti walaupun sebesar zarah?
Penerapan terhadap anak-anak tentang tanggungjawab dan keganasan akan diremehkan kelak kerana melihat contoh yang ada di depan mata.
Ketaatan isteri dikatakan terpakai dalam semua perkara termasuk wajib mengikuti kehendak suami untuk berpoligami.
Walaupun, si isteri tahu bahawa si suami tidak mampu untuk membahagikan kasih-sayang dan harta-benda dengan seadil-adilnya, si isteri perlu akur dengan kehendak si suami kerana khuatir dicerai, tambahan, dilaknat oleh Allah.
Persepsi ini sangat berbahaya kerana membenarkan kekejaman berlaku terhadap diri sendiri dan anak-anak. Bukankah Allah meletakkan kriteria utamanya ialah untuk berlaku adil?
Mustahil untuk si suami berlaku adil kerana hanya Rasulullah SAW sahaja yang maksum di dunia ini.
Perempuan perlu berkahwin awal kerana akan dianggap tidak laku lagi pada usia memcecah 30-an. Ibu bapa pula sanggup menyekat peluang anak meraka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
Jadi, tidak mustahillah berlaku masalah rumah tangga kerana kurangnya pendidikan dan kematangan untuk menguruskan risiko-risiko kekeluargaan apatah lagi untuk menimang cahaya mata.
Si suami yang memaksa si isteri untuk melakukan seks tanpa keinginan dan kemahuannya tidak menjadi kesalahan jenayah kerana para ulama konservatif bersetuju tugas si isteri ialah untuk melayan si suami 24 jam tanpa alasan.
Itu sebabnya wujud kumpulan yang mendakwa “kita perlu melayan suami seperti pelacur kelas pertama”.
Ini sangatlah ironik, perkara yang mereka kutuk itulah yang mereka samakan. Wanita bukanlah sekeji itu, mereka mempunyai maruah dan autonomi ke atas tubuh mereka dan berhak untuk melaporkannya kepada pihak polis.
Penzina perempuan akan dihukum oleh masyarakat berbanding lelaki seperti mana yang disebarkan oleh cerita-cerita melayu di televisyen. Mereka disisih kerana mengandungkan anak haram, penzina lelaki pula akan bebas dari tanggungjawab.
Akhirnya, perempuan akan dipersalah secara total kerana membuang atau menggugurkan bayi. Walhal, tekanan oleh masyarakat yang tidak bertolak-ansurlah faktor keputusan itu dibuat.
Di media sosial pula, wanita yang tidak bertudung, bertudung malah berniqab dihina dan dicemuh kerana menayangkan kecantikan atau “tabarruj” mereka melaui gambar dan video.
Persoalan yang timbul ialah, begitu naifkah diri lelaki yang beragama ini, sehinggakan melihat sebahagian dari tubuh wanita telah terusik nafsu syahawatnya?
Mengapa persepsi ini tidak terjadi kepada kaum lelaki, bukankah nafsu syahawat itu diletakkan pada kedua-dua gender?
Golongan transgender digelar manusia yang mempunyai masalah “identity disorder”. Jadi, masyarakat akan mengutuk dan menjauhkan mereka dari persekitaran sosial.
Masjid dan rumah ibadat lain tidak akan menerima mereka kerana mereka ialah najis kepada agama.
Sedarkah mereka bahawa sifat radikal dan ganas itulah yang mencetuskan fitnah kepada agama Islam sendiri, sejak tragedi 11 September.
Ahli Parlimen pula sewenang-wenangnya mengeluarkan kata-kata seksisme dengan merendahkan darjat dan fizikal wanita. Namun, tiada tindakan atau tindak balas yang besar dari masyarakat, kerana ini bukanlah sesuatu yang berat atau menyalahi etika dalam masyarakat kita.
Saban hari, keselesaan ini yang menjerut ramai wanita di Afghanistan, Iran, Pakistan dan lain-lain. Kebebasan sukar dicapai kerana pengaruh dominan ini.
Kesimpulannya, Allah menurunkan Surah An-Nisa’, khas untuk para wanita, menunjukkan betapa tingginya darjat wanita disisi Islam.
Norma-norma kehidupan yang pincang perlu diubah segera agar kita dapat menghapuskan persepsi-persepsi negatif daripada masyarakat. Hak-hak wanita adalah sama seperti lelaki, tidak pula Tuhan itu membezakan hak atas dasar perbezaan jantina mahupun kekuatan fizikal.
Para wanita perlu bangkit memperkasakan diri, seperti Saidatina Aisyah RadiyAllahu Anha yang merupakan cendiakawan serta pemimpin yang unggul di zaman Rasulullah SAW dan para sahabat.
Larangan yang dicipta oleh golongan patriarkal ini adalah retorik untuk meletakkan mereka terus dalam genggaman kuasa seperti di negara-negara arab. Janganlah gusar dalam menegakkan perkara yang benar kerana Allah akan senantiasa bersama.