Untuk menjadi agamawan dan negeri yang mempraktikkan norma-norma Islam, pada pendapat sebahagian besar daripada mereka ialah dengan “menghukum”. Hukuman itulah yang menjadi pengukur keislaman sesebuah kerajaan dan negeri.

Baru-baru ini Terengganu mencadangkan beberapa peraturan Syariah seperti, wanita yang tidak memakai tudung akan didenda, lelaki yang tidak menunaikan solat Jumaat akan diusung keliling kampung dengan menaiki van jenazah dan lelaki dan perempuan bukan mahram yang membonceng motorsikal sekali akan ditangkap.

Sama seperti di Mosul, Iraq, yang mana puak radikal Islamic States berarak membawa tahanan Peshmerga yang berbangsa Kurdistan mengelilingi kawasan tersebut di dalam sangkar besi sebelum mereka dibunuh. Di Iran sejak 1983, peraturan memakai hijab dikuatkuasakan dengan menjatuhkan hukuman sebatan dan penjara jika tidak dipatuhi.

Remaja perempuan di Asfahan pada Oktober lepas diserang asid oleh sekumpulan lelaki hanya kerana tidak memakai hijab dengan betul. Manakala di Mesir, fatwa oleh ulama Universiti Al Azhar yang mengharuskan wanita untuk menyusukan rakan-rakan lelaki, demi menghalalkan hubungan yang bukan mahram tadi kepada mahram.

Persamaannya ialah kesemuanya dilakukan atas nama agama. Ia bermula dengan peraturan yang mengekang dan lama-kelamaan akan menjadi lebih parah kerana fanatik dalam beragama. Orang lain turut sama dipaksa untuk mengikuti segala bentuk fahaman agama yang dipegang.

Jika ingin berbicara mengenai Islam, ayat-ayat di dalam al-Quran tidak pernah menunjukkan Islam itu agama yang agresif, memaksa dan jumud. Surah Al Baqarah : 256, “tiada paksaan dalam agama”.

Surah Ali Imran: 99, “Dan bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman, jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. Maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?”

Surah Yunus : 20, “sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan. Dan ingatlah, Allah sentiasa Melihat sekalian hambaNya”.

Ramai yang memanipulasikan terma-terma di dalam agama demi kepentingan politik dan reputasi masing-masing. Setiap manusia mempunyai kebebasan untuk memilih dan membuat keputusan. Tidak ada seorang pun layak mengingkari perkara tersebut.

Maknanya, jika wanita memilih untuk memakai pakaian tanpa hijab, itu ialah pilihan kepercayaannya, perlu dihormati mengikut perlembagaan di negara ini. Sama juga bagi yang memilih untuk memakai hijab, tidak ada seorang pun boleh menghalangnya.

Peraturan-peraturan Syariah ini akan membuka ruang lebih besar kepada golongan radikal untuk menekan kaum wanita. Di negara seperti Arab Saudi, Iran dan Pakistan, di mana, peraturan atas nama agama ini diperkenalkan secara halus.

Tidak lama kemudian, wanita menjadi subjek pengharaman sesuatu perkara oleh pihak berkuasa berbanding lelaki. Contohnya, kerana mereka itu memiliki gender perempuan mereka dianggap punca berlakunya kes rogol, penzinaan dan pergaulan bebas. Jadi, penyelesaian oleh golongan ini ialah wanita perlu menutup seluruh tubuh badan mereka termasuklah muka, tidak boleh keluar dari rumah dan diharamkan untuk memandu.

Ia menjadi lebih tragis apabila pembunuhan tebus maruah dan cemuhan oleh masyarakat yang teradaptasi dengan peraturan-peraturan ini semakin berleluasa. Masyarakat lain pula akan mengambil kesempatan untuk melaksanakan hukuman mereka sendiri terhadap wanita kerana dari sudut pandang agama ia halal.

Mereka berpegang pada kiblat yang sama seperti golongan-golongan ini yang wujud di Malaysia, bahawa, untuk mendapatkan syurga, mereka perlu menghukum orang-orang yang “berdosa” ini. Padahal Allah yang maha berkuasa lagi maha mengetahui untuk menentukan makhluknya itu ke syurga atau ke neraka. Tidak pula Allah itu membezakan dosa dan pahala mengikut gender.

Tambahan lagi, lelaki yang diarak satu kampung kerana tidak menunaikan solat Jumaat ialah satu perkara yang membuka aib seseorang.

Surah An Nur: Ayat 19, “Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan ingatlah Allah mengetahui segala perkara sedang kamu tidak mengetahui.”

Mengapa perlu mengambil langkah agresif, walhal, jelas di dalam al-Quran dan pada sifat-sifat kemuliaan Nabi Muhammad yang mendahulukan kasih sayang, kemaafan, akhlak dan peradaban.

Pasukan militan Isis di timur tengah semakin bermaharajalela dan semakin ramai rakyat di negara ini yang terlibat kerana terpedaya dengan agenda radikal mereka iaitu untuk menegakkan negara Islam dengan kaedah pembunuhan dan pembakaran orang Islam dan bukan Islam, penindasan terhadap kaum wanita dan LGBTQI, rompakan bank dan banyak lagi.

Tidak mustahil dengan matlamat yang sama akan berlaku di negara yang makmur ini.

Golongan profesional dan progresif perlu mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mengelak sebarang ekstremisme keagamaan. Antaranya adalah dengan perbincangan meja bulat bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (Maidam), kerajaan Kelantan dan pemimpin-pemimpin yang mempunyai pendirian yang berlainan.

Selain itu, kempen kesedaran masyarakat secara menyeluruh berkaitan dengan penyalahgunaan agama sebagai senjata politik. Terakhir sekali, sesiapa sahaja terlibat boleh memulakan tindakan undang-undang untuk mempersoalkan kesahihan peraturan tersebut yang sudah terang ultra vires dengan kebebasan fundamental termaktub dalam Perlembagaan.