Baru-baru ini ancaman terhadap rakan-rakan Muslim dan Kristian untuk berbuka di Church of Assumption menunjukkan kepada kita ada pihak cuba untuk memporak perandakan kesungguhan mereka dalam menyemai persefahaman antara agama.

Pendapat Agama

KMU sentiasa mengadaptasi pendapat agama yang lebih harmoni, bersifat kemanusiaan, toleransi dan inklusif. Pendekatan agama yang menggalakkan keamanan dan menolak kebencian perlu ditekankan untuk masyarakat majmuk yang lebih progresif.

Tidakkah anda tahu, majoriti ulama baik dari mazhab Malik dan Hanbali serta sebagian ulama Syafi’e berpendapat bahawa muslim dibolehkan untuk memasuki gereja atau tempat ibadah orang bukan Islam. (al-Mughni : 8/113) & (al-Insaaf : 1/496)

Umar mengatakan bahawa gereja telah membenarkan orang Islam yang sedang bermusafir untuk masuk dan tinggal dikala siang atau malam dan memberi makan kepada mereka. (al-Baihaqi :18717) Rasulullah juga tidak melarang Ummahat Mukminin, Ummu Salmah dan Ummu Habibah melawati gereja di Habsyah. (al-Bukhari : 1341)
Tambahan lagi semasa Rasullullah SAW diisra’kan ke Masjid Al Aqsa yang pada masa itu lebih merupakan tempat ibadah orang Nasrani. Namun Rasulullah SAW masuk ke dalam kemudian solat. Selain itu, untuk memenuhi jemputan warga Nasrani di Syria, Saidina Ali bersama yang lain memasuki gereja yang mempunyai berhala dan gambar keagamaan. Tiada tegahan dari Saidina Umar yang ada pada masa itu. (al-Mughni : 8/113)

Hubungan Keagamaan Penting

Jelas, agama tidak melarang, ia bergantung pada niat manusia. (al-Bukhari) Sesungguhnya dialog antara agama merupakan niat dan usaha yang murni selaras dengan integrasi perpaduan negara. Menerusi pengalaman KMU, ia bukan sahaja dapat mengeratkan silaturrahim tetapi banyak juga perkara lain yang boleh dijelaskan di pertemuan bersemuka antara agama ini. Lagi-lagi yang berkaitan dengan situasi dewasa ini yang berlatarbelakangkan Islamofobia, Melayufobia dan terrorisme.

Prejudis manusia yang menyebabkan kebencian antara satu sama lain di muka bumi ini. Maka manusia lebih mahu mendengar tohmahan, tuduhan dan propaganda seperti Kristianisasi dan Islamisasi yang mengakibatkan “generalization” ataupun stereotaip tanpa mengenal hati budi orang lain. Walhal, kita sebagai rakyat Malaysia yang mempunyai keistimewaan kepelbagaian ras dan agama, haruslah menyambut baik inisiatif ini untuk melawan gejala radikalisme agama yang semakin menular dalam kalangan masyarakat kita. Jangan hanya pandai mencetuskan api perkauman, tetapi tiada langsung usaha menjernihkanya!

Di kesempatan ini, KMU ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidifitri, Maaf Zahir Batin kepada semua rakyat Malaysia. Jadikan Hari Raya ini sebagai platfom suai kenal dan ziarah menziarahi kenalan dan sahabat handai yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.