Mendepani realiti baru dunia yang pantas berubah dan berkembang harini kita dapat melihat pelbagai isu dan permasalahan yang berlaku tidak kira dalam bidang fiqh, politik dan sosiologi yang menyebabkan berlakunya perselisihan pendapat yang mengakibatkan perpecahan dan isu kafir-mengkafir diantara satu sama lain dikalangan masyarakat hari ini. Masyarakat hari ini merupakan sebuah masyarakat yang mempunyai minda yang terkepung (siege mentality) yang menyebabkan berlakunya perpecahan yang melampau akibat dari sikap ini. Menurut Dr. Taha Jabir Al-Alwani dalam kitabnya Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam, beliau menyatakan bahawa masalah utama yang menyebabkan terjadinya perbezaan pendapat kini ialah kerana umat kini terbeku mindanya oleh taqlid buta dan umat kini ketandusan adab serta kejahilan yang menebal dikalangan umat kini terhadap ilmu Islam. Untuk menangani perkara ini tiga aspek yang perlu dilihat untuk mengembalikan kualiti umat kepada zaman kegemilangan Islam yang terdahulu iaitu penerapan prinsip ketertinggian nilai adab, toleransi diantara satu sama lain, saling menghormati (mutual respect) ketika berbeza pendapat.

Jika kita berbicara soal adab kita boleh renungi pelbagai contoh yang telah terpahat di dalam sejarah Islam itu sendiri. Para imam mazhab yang terdahulu ketika berbeza pendapat diantara satu sama lain mereka mengutamakan adab dan menjauhi perbalahan yang dikuasai hawa nafsu. Ketertinggian adab mereka dijernihkan dengan adab itu menjadi jiwanya dan akhlak islamiyah itu menjadi intinya. Sebagai contoh sebuah kisah mengenai surat ilmiah Laith bin Saad, seorang ulama dan ahli fiqh Mesir kepada Imam Malik R.A, dimana beliau mengutarakan jalan fikiran dan perbezaan pendapatnya yang banyak dengan Imam Malik dengan adab yang tinggi. Antara bait yang menarik di dalam surat tersebut ialah,

“Sesungguhnya telah sampai kepadamu aku telah berfatwa pelbagai perkara yang berbeza daripada pendapat orang disini…… Sesungguhnya apa yang engkau fatwakan juga adalah benar, insya-allah, namun aku percaya orang yang berilmu seperti engkau tidak membenci fatwa yang berbeza”.

Lihatlah betapa tingginya nilai adab yang dipersembahkan diantara dua ulama yang berbeza pendapat diantara satu sama lain. Namun begitu, apa yang kita dapat lihat harini para ulama’ ketandusan adab dan nilai akhlak yang mulia. Hal ini disebabkan oleh kerana mereka terjerat dalam permainan hawa nafsu dan terbeku dalam taqlid buta menyebabkan mereka bertelagah sehingga berlakunya perpecahan di dalam agama ini. Adalah amat menyedihkan bahawa pertelagahan demi pertelagahan menyebabkan Islam kini jelek pada kaca mata dunia hari ini.

Seterusnya toleransi di dalam diversiti merupakan salah satu prinsip yang telah hilang di dalam masyarakat kini. Toleransi ini telah dibicarakan oleh pelbagai tokoh namun saya ingin ketengahkan apa yang dibahaskan oleh Voltaire di dalam karyanya “suatu karangan tentang toleransi”. Beliau telah menyatakan bahawa,

“tidak kira apa bangsa kita atau apa jua perbezaan kita akan tetapi kita harus bertoleransi dengannya supaya kita dapat hidup dengan aman damai diatas muka bumi ini”.

Sebagaimana yang kita sedia maklum sebuah kisah yang berlaku ketika Rasulullah berada di Madinah dimana seorang pengemis tua yang buta yang banyak menghina beliau. Namun demikian, setiap pagi Rasulullah akan membawa makanan dan menyuapkan makanan tersebut kepada pengemis yang menghinanya itu. Sehinggalah wafatnya baginda dan Abu Bakar R.A menggantikan Rasulullah menyuap beliau akan tetapi Abu Bakar terkejut dengan hinaan yang dikatakan oleh wanita tersebut terhadap Rasul, dan apabila Abu Bakar ingin menyuap wanita tersebut wanita itu berkata orang yang menyuapnya adalah orang berbeza. Abu Bakar menyatakan bahawa yang memberi beliau makan setiap hari adalah Rasulullah akan tetapi baginda telah wafat. Mendengar cerita Abu Bakar tersebut pengemis tersebut menangis dan telah memeluk Islam. Apa yang ingin diketengahkan di sini adalah walaupun kita berbeza pendapat di dalam sesuatu perkara toleransi yang akan mengawal kita agar tidak bergaduh dan bermusuhan diantara satu sama lain.

Al-Qaradawi di dalam bukunya fiqh al-ikhtilaf telah mengariskan beberapa prinsip toleransi yang perlu disemai berdasarkan kaedah yang telah diketengahkan oleh Muhammad Rashid Ridha iaitu: “bekerjasama dalam masalah yang disepakati dan bertoleransi dalam masalah-masalah yang diperselisihkan”. Al-Qaradawi menyatakan di dalam fiqh al-ikhtilaf bahawa prinsip yang perlu ada untuk mencapai toleransi di dalam masyarakat Islam hari ini ialah menghormati pendapat orang lain, meyakini bentuk kebenaran yang pelbagai dari sesuatu masalah, kepastian bahawa adanya perbezaaan dalam hukum realiti bukan perselisihan hukum syarak dan terakhir sekali ialah keraguan iaitu keraguan yang boleh diambil untuk membanteras keraguan yang lain sebagai contoh bekerjasama dengan musuh Islam untuk memerangi musuh Islam yang lain. Jelaslah bahawa, toleransi merupakan satu aspek yang perlu dipupuk di dalam jiwa dan sanubari umat masa kini untuk membolehkan mereka menghadapi perbezaan dengan jiwa yang besar dan hati yang lapang.

‘Maulana Asri berbeza pendapat tentang hukuman bunuh ke atas orang murtad’

Selain itu, antara prinsip yang terpenting yang perlu diterapkan di dalam masyarakat kini adalah sikap saling menghormati atau mutual respect. Albert Einstein telah menyatakan “I speak to everyone in the same way, whether he is a garbage man or the president of a university.” Dari kata-kata hikmah tersebut bolehlah dikatakan bahawa kita harus menghormati setiap orang yang berbeza pandangan mahupun status kita secara sama-rata. Sebagaimana yang kita ketahui mengenai kisah Imam Syafie pernah sembahyang subuh di Iraq di mana tempat Imam Abu Hanifah di makamkan. Ketika itu beliau tidak membaca doa qunut ketika solat, padahal beliau berpendapat bahawa qunut itu hukumnya sunat muakad. Selepas itu, beliau ditanya mengapa beliau berbuat demikian. Lantas beliau menjawab, “adakah aku patut menyalahinya (iaitu Imam Abu Hanifah) padahal aku berada dihadapannya.” Beliau berkata, “barangkali kami telah cenderung kepada mazhab ahli Iraq.”

Kisah diatas memberikan kita pengajaran bahawa mutual respect ini akan hadir jika asas moral kita kukuh jika kita membuang ketaksuban terhadap diri sendiri, mazhab, ketaksuban untuk menentang mazhab serta para imam dan ketaksuban terhadap kelompok atau parti. Al-Qaradawi di dalam fiqh al-ikhtilaf telah mengariskan beberapa perkara yang boleh menimbulkan sikap saling menghormati ketika berbeza pendapat iaitu prinsip yang pertama : bersangka baik terhadap orang lain iaitu dengan melihat segala kebaikan yang dilakukan oleh orang lain dan membuang kaca mata hitam ketika melihat amal dan sikap mereka.

Akhlak dan pandangan seorang mukmin tidak boleh didasarkan pada prinsip memuji diri sendiri dan menyalahkan orang lain. Manakala prinsip yang kedua pula ialah tidak menyakiti mahupun mencela orang lain, ia merupakan salah satu faktor yang dapat mengeratkan hubungan orang yang berbeza pendapat serta bersedia untuk menjadi pemaaf walaupun dia salah pada tanggapan anda. Prinsip yang ketiga yang gariskan oleh Al-Qaradawi ialah menjauhi bantahan dan permusuhan ini adalah kerana walaupun Islam mengalakkan perdebatan akan tetapi perdebatan itu mestilah dengan menjauhi sikap ingin berbantahan dengan tidak berpegang kepada logik dan pertimbangan yang bijaksana untuk mengalahkan lawan. Prinsip yang terakhir yang digariskan untuk mendapatkan sikap saling menghormati ialah berdialog dengan cara yang baik, ini merupakan antara asas utama dalam etika perbezaan pendapat. Allah menyeru kita berdialog dengan kata-kata yang baik untuk melembutkan hati serta menasihati orang lain dengan cara terhormat. Oleh itu, sikap saling menghormati ini telah diamalkan sejak dari zaman Rasulullah sehingga ke zaman ulama mazhab. Oleh yang demikian, mutual respect merupakan antara teras yang perlu diterapkan kepada masyarakat agar kita dapat mendepani perbezaan tanpa menyebabkan sengketa dan perpecahan.

Intiha’nya, ketertingian adab yang teguh dalam jiwa dan akhlak islamiyah sebagai intinya, toleransi dalam menghadapi pendapat yang diversiti serta sikap saling menghormati yang melangkaui segala batas yang boleh menyebabkan perbezaan merupakan prinsip yang perlu dibenih, disemai ataupun diterapkan di kalangan masyarakat kini tidak kira dari mana beliau berdiri atau apa aliran mazhab mahupun pemikirannya. Mari kita renungi adakah kita harini merupakan sebuah masyarakat yang mampu menghadapi perbezaan? Tidak perlu saya sebutkan betapa terbekunya minda masyarakat kita hari ini, sebagai tamsilannya seorang ustaz yang berbeza pendapat dengan seorang mufti ditarik tauliahnya untuk memberi ceramah di sesuatu tempat tersebut. Sesetengah penyokong fanatik sesebuah parti politik mengecam sesebuah parti politik yang memerintah sesuatu negeri yang menghadapi bencana secara pukul rata terhadap rakyat yang berlainan agama atau yang beragama Islam dengan mengatakan ini adalah hukuman Allah kerana parti tersebut membuat dosa dan sebagainya sedangkan bantuan dan doa yang baik-baik tidak disebutkan kepada mangsa, hanya kecaman yang disampaikan. Adakah kita sebuah masyarakat yang matang dalam menghadapi perbezaan?

Saya tidak ingin menjawab segala persoalan ini dan saya serahkan kepada anda untuk menjawabnya. Semua prinsip diatas dapat dicapai dengan menjadikan diri kita seorang yang berilmu dengan membaca dan beramal dengannya. Suka untuk saya sertakan satu bait kata-kata hikmah iaitu “knowledge comes from learning, wisdom comes from living”. Kita harus merekayasakan segala prinsip-prinsip ini dari ruang lingkup yang kita ada, agar kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang matang dalam menghadapi perbezaan dalam pelbagai aspek. Oleh itu, masyarakat akan lebih bersatu agama ini akan beruntung kerana umatnya bersatu padu.

 

BIBILIOGRAFI

  1. Voltaire, Suatu Karangan Tentang Toleransi, IBDE, Selangor, 2016
  2. Dr. Taha Jabir Al-Alwani, Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam, ABIM, 1993
  3. Dr. Yusuf Al-Qaradawi, Fiqh Al-Ikhtilaf, Syabab Publication, 2015

 

*Muhammad Amirul Akmal Ismail ialah Mahasiswa Fakulti Syariah Dengan Undang-Undang Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS)