[English Translation]

 

Di Facebook wujud komen-komen seperti “Jangan cabar kami (Melayu), jika tidak peristiwa berdarah Nazi akan berlaku di sini” (Sambil foto mukanya ialah tentera Nazi berpakaian seragam dengan lambang swastika Nazi). Komen lain berbunyi, “Alangkah baiknya Malaysia berada di bawah Khalifah ISIS (Daesh)”. Ini bukanlah kali pertama terjadi, di petarungan akhir bola sepak piala Malaysia baru-baru ini melihatkan bendera Nazi dikibarkan di tengah-tengah himpunan ramai penyokong.

 

Contoh-contoh di atas menguatkan lagi data yang dikeluarkan oleh Pew Research bahawa 11% dari rakyat Malaysia merupakan pesimpati ideologi Daesh termasuk sebuah artikel media VICE yang telah membongkar gerakan neo-Nazi di Malaysia. Fenomena di alam maya dan realiti ini sangat membimbangkan kerana pesimpati ideologi berbahaya ini secara santai dan terbuka memetik dan memuja ucapan tokoh mereka, dengan atau tanpa kefahaman bahawa ucapan kebencian tersebut menunjukkan mereka telah teradikalisasi dan mampu untuk meradikalisasi orang lain untuk menterjemahkannya dalam bentuk perbuatan. Dalam kata lain, kebencian boleh diterjemahkan dalam bentuk keganasan untuk memberikan kesan kepada kelompok atau individu teraniaya demi mencapai matlamat akhir sama ada bersifat agama-politik atau fasis.

 

Ideologi Daesh dan Nazi

 

Sebagai permulaan, perlu kepada penjelasan mengapa ideologi Daesh dan neo-Nazi mempunyai banyak persamaan. Ini menjadikan kedua-dua ideologi ini satu ancaman keselamatan yang wajib diperangi dari skala pesimpati pasif ke ahli aktif.

 

Pertama, ideologi kebencian dan keganasan yang membawa kepada kehancuran. Adolf Hitler telah membunuh lebih dari 7 juta orang Yahudi, penganut mazhab saksi Yehuwa, orang awam Serbia dan homoseksual hanya kerana golongan minoriti ini berlainan dan ‘salah’. Di zaman ini, pengikut neo-Nazi di Amerika dan Eropah menyambung legasi sama dengan menyasarkan kebencian mereka kepada golongan migran terutamanya Muslim dan Yahudi. Manakala, Daesh telah membunuh, menghambakan dan menyerang minoriti etnik seperti Yazidi, Kurdistan dan minoriti agama seperti Ahmadiah, Sufi dan Syiah. Bukankah ini satu dikotomi untuk ‘pejuang daulah Islamiah’?

 

Kedua, strategi pengkaderan dan indoktrinasi yang memangsakan kanak-kanak, wanita dan golongan minoriti lain. Kedua-duanya menggunakan jentera propaganda seperti kekuasaan ketenteraan dan media yang dikawal untuk menyebarluaskan perjuangan mereka kononnya demi agama, bangsa atau negara – sebahagian dari latihan ketenteraan mereka ialah menonton pembunuhan rambang untuk menanam perasaan tanpa belas kasihan. Mereka merekrut kanak-kanak sebagai tentera bersenjata, wanita sebagai hamba seks dan memaksa golongan minoriti lain untuk memeluk pegangan mereka yang rigid. Keingkaran bakal dikenakan hukuman barbarik.

 

Jadi, bagaimana seseorang boleh mendokong ideologi yang berbahaya dan mengancam keselamatan di negara Malaysia yang demokrasi dan bukan homogen ini?

 

Model Pencegahan dan Pembanterasan Ekstremisme

 

Pihak berkuasa di bawah Kementerian Dalam Negeri perlu memandang perkara ini dengan lebih serius dan mengkaji semula model Pencegahan dan Pembanterasan Ekstremisme di Malaysia.

 

Misalnya, memiliki bendera, video propaganda Daesh atau yang berkaitan dengan keganasan adalah melanggar Seksyen 130JB Kanun Keseksaan. Akan tetapi, kenapa hanya menguatkuasakan kes-kes berkaitan dengan kumpulan militan Islam sahaja? Bukankah ini menguatkan lagi sterotaip terrorisme itu sinonim dengan agama Islam. Selain bentuk ancaman yang disebut sebelum ini, model ini perlu menjenayahkan ideologi neo-Nazi kerana ia berasal dari ideologi yang telah diisytiharkan sebagai jenayah kemanusiaan, jenayah perang dan pembunuhan beramai-ramai di prosiding Mahkamah Nuremberg. Tambahan lagi, gelombang ideologi kebangkitan neo-Nazi dalam dunia moden yang saling berhubung ini tidak hanya memberi kesan kepada Eropah malah berlanjutan ke Malaysia untuk mencetuskan fasisme ketuanan bangsa.

 

Lebih dari 20 negara telah menjenayahkan sebarang unsur mempromosikan ideologi Nazi. Tidak ada negara yang ‘melaknat’ ideologi Nazi selain negara Jerman kecuali dalam konteks “seni, sains atau pengajaran”. Pelakunya boleh dipenjara atau didenda, dan rakyat Jerman secara umumnya akan ‘meludah’ ke muka sesiapa yang mempromosikan bendera, lambang, seragam, slogan dan bentuk ucapan dari ideologi Nazi. Anehnya, di Malaysia segelintir dari kita berbangga dengan kekejaman Nazi dan bersorak mengagungkan Adolf Hitler – hanya kerana perjuangannya terlalu dekat dengan ketuanan bangsa yang dicanangkan.

 

Adapun lagi, model pencegahan dan pembanterasan ekstremisme kurang memfokuskan kepada aspek pencegahan. Takrifan model ini dalam laporan rasmi kerajaan banyak menyentuh mengenai pasca radikalisasi. Perlu ditegaskan di sini bahawa keseluruhan proses radikalisasi dari penyerapan dan penyebaran ideologi kebencian walaupun tidak berunsur ganas merupakan punca utama masalah. Dari situ jugalah bagaimana pengganas kumpulan Daesh dan Nazi bermula, kemudian mereka menapak lebih jauh. Jadi, perlu dimasukkan langkah pencegahan seperti penyelesaian konflik damai dan pendidikan moral-agama yang inklusif untuk masyarakat kita yang kurang terdidik.

 

Sudah terang lagi bersuluh, ideologi Daesh dan Nazi adalah ancaman keselamatan kepada dunia dan negara kerana ia memusnahkan keamanan dan keharmonian. Ia bukan hanya satu label kemegahan, tetapi ideologi yang dibina berdekad-dekad, sistematik dan berkait dengan kebencian dan keganasan. Tidak dilupakan pesimpati turut bersubahat dalam ideologi yang membinasakan ini. Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas ke atas mereka mengikut lunas undang-undang sedia ada sebelum keganasan menjadi satu norma di Malaysia.

 

[English Translation]

 

AIZAT SHAMSUDDIN merupakan Felo di Institute for Foreign Cultural Relations, Germany, 2017.