Perbincangan Panel Siri #3: ‘Dialog Antara Agama dan Kaum Pemangkin Kesefahaman dan Kedamaian’

 

 

Tarikh: 12 November 2020 / Khamis

Masa: 8.30 – 9.45 pm (Malaysia)

Pautan Pendaftaran: https://bit.ly/3l9BURZ

Meskipun Malaysia merupakan sebuah negara bermasyarakat majmuk, dialog antara agama dan kaum bukanlah sebuah idea dan amalan kebiasaan dalam kehidupan bermasyarakat. Dalam sesetengah keadaan, ianya mempunyai stigma negatif dan dianggap sebagai ruang untuk mencari penganut agama yang baru, bukannya sebagai satu ruang mesra untuk memupuk persefahaman yang dikongsi bersama dan memanusiakan yang ‘lain’ serta merapatkan jurang. Dalam usaha membina masyarakat yang lebih inklusif, adakah kita bersedia untuk dialog yang lebih jujur dan bermakna? Bagaimanakah pemimpin agama, komuniti dan belia mampu untuk memupuk budaya dialog dalam masyarakat kita? Apakah cara terbaik untuk menggalakkan masyarakat untuk menyemai nilai-nilai positif dan lestari seperti keterangkuman, tolak diskriminasi dan pemikiran kritis?

 

Maklumat Panelis

 

Nagaranee Moorthy 

M.Nagaranee adalah Setiausaha Eksekutif Persatuan Malaysia Hindu Sangam (MHS). Beliau merupakan seorang pengamal undang-undang dan pada tahun 2014, beliau menyertai MHS dalam kapasiti yang pelbagai sehingga ke hari ini. Antaranya, beliau telah mengendalikan kelas pengajian Hinduisme untuk guru-guru agama. Beliau telah mengarang ‘Garis Panduan Kuil Hindu Kebangsaan’ pada tahun 2017 dan telah membuat sumbangan untuk laman web Wikipedia Bahasa Melayu. Beliau mempunyai laman blog dan YouTube bernama ‘Ranee Narendranath’ tentang Hinduisme dan budaya masyarakat India.

 

 

Lim Hong Siang

Lim Hong Siang merupakan Pengarah Eksekutif SAUDARA dan bekas Penyunting MerdekaReview edisi bahasa Melayu. Beliau memiliki ijazah sarjana muda dari Pusat Pengajian Komunikasi Universiti Sains Malaysia (USM). Kini, beliau juga merupakan seorang kolumnis untuk Malaysiakini edisi bahasa Melayu, Malaysia Dateline, Oriental Daily dan lain-lain. Beliau juga ialah penyunting buku berjudul, ‘Tsunami Cina: Retorik atau Realiti?’.

 

 

Ahmad Fahmi B. Mohd Samsuddin

Ahmad Fahmi B. Mohd Samsuddin merupakan Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia. Beliau juga memegang jawatan selaku Exco Regional Islamic South East Asia and Pasific (RISEAP) dan Koordinator Friendship Group of Inter-Religious Services (FGIS).

 

 

Aizat Shamsuddin (Moderator)

Aizat Shamsuddin merupakan penyelaras projek Komuniti Muslim Universal. Penyelidikan dan pengalaman beliau tertumpu pada bidang pencegahan ekstremisme, terrorisme dan hak asasi manusia. Pada tahun 2018, beliau dianugerahkan biasiswa Australia Awards oleh Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia dan ASEAN untuk program sarjana di University of Melbourne dalam pengkhususan counterterrorism, konflik dan politik Islam. Beliau juga mempunyai pendidikan dalam undang-undang dan Syariah dari Universiti Sains Islam Malaysia.