Untuk sekian lama isu LGBT (Lesbian, Gay, Biskesual dan Transgender) menghantui masyarakat kita. Kewujudan golongan LGBT adalah hakikat yang tidak dapat dinafikan, sungguhpun anda mungkin tidak selesa dengannya. Namun politik adalah bagaimana masyarakat ini diurus tadbir. Kita tidak boleh menafikan hak asasi seseorang atau sesuatu golongan manusia dalam sistem demokrasi hanya kerana kita tidak senang dengan mereka, atau kerana mereka berbeza dengan kebanyakan kita.
Isu LGBT kembali diperdebatkan apabila Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Dr.Mujahid Yusof dalam satu wawancara bersama Malaysiakini menjelaskan bahawa deraf Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi tidak mengiktiraf LGBT, sebaliknya hanya melindungi hak golongan LGBT untuk tidak didiskriminasi.
Saya faham dan menghormati pendirian mana-mana pihak untuk tidak menerima orientasi seksual kumpulan LGBT, terutamanya atas alasan agama. Namun pengamatan saya mendapati bahawa hujah antara mereka yang menerima dengan yang menolak LGBT tidak bertembung. Dengan kata lain, mereka gagal berdialog, malah situasi menjadi robek apabila kedua-dua pihak berhujah dengan penuh emosi.
Saya tidak perlu menjadi sebahagian daripada golongan LGBT untuk mempertahankan hak asasi mereka, sebagaimana saya tidak perlu menjadi haiwan untuk mempertahankan hak haiwan. Bagi saya itu soal prinsip. Dan saya tidak berniat untuk menukar pendirian sesiapa, tetapi sekadar menjelaskan beberapa pandangan mengenai LGBT, supaya kita memahami apa sebenarnya yang ditolak ataupun ditentang.
LGBT adalah segolongan manusia yang mana orientasi seksualnya berbeza daripada majoriti masyarakat. Istilah “songsang” digunakan untuk menyifatkan orientasi seksual LGBT kerana kebanyakan kita menganggap bahawa orientasi seksual mereka adalah sesuatu yang tidak “normal” (atau tidak semulajadi).
Namun mereka dilahirkan begitu. Dengan kata lain, mereka tidak dapat menukar orientasi seksual mereka sungguhpun dipaksa, sebagaimana kita yang “normal” tidak dapat menukar orientasi seksual untuk melakukan hubungan seks sejenis. Maknanya, jikalau anda bukan LGBT, anda tetap tidak akan menjadi LGBT sungguhpun ‘digalakkan’. Persoalan sekarang adalah tekanan masyarakat kita terhadap LGBT agar mereka tidak menjadi diri mereka yang sebenar. Apabila semakin ramai tampil ke depan untuk mengakui bahawa diri mereka LGBT, maka pengamal LGBT yang memendam orientasi seksual sebenar mereka selama ini juga memberanikan diri untuk menjadi diri mereka yang sebenar.
Ada yang menuduh bahawa perbuatan yang songsang daripada sifat semulajadi adalah dosa. Jikalau inilah kayu ukurnya, bagaimana untuk mereka yang menjalani pembedahan, memakan ubat, atau bergantung kepada alat tertentu untuk melanjutkan nyawa? Jikalau ikut cara “semulajadi”, mereka yang lemah jantung harus dibiarkan mati apabila degupan jantung berhenti – mengapa diusahakan dengan pelbagai cara buatan manusia untuk menghalang kematian yang semulajadi?
Ada yang khuatir bahawa jikalau LGBT dibenarkan, manusia mungkin pupus satu hari nanti kerana hubungan seks sejenis tidak mewariskan zuriat. Sebagaimana yang dikatakan tadi, LGBT hanya golongan minoriti dalam masyarakat. Mustahil kesemua orang dalam dunia ini menjadi pengamal LGBT. Padahal, ada di kalangan mereka yang bukan LGBT juga berdepan dengan masalah warisan zuriat. Ada yang mandul, ada pula yang tidak merancang untuk melahirkan anak lantaran tekanan ekonomi dan sebagainya – apakah mereka juga berdosa?
Akhirnya, ada yang menuduh bahawa LGBT adalah suatu penyakit. Namun Persatuan Psikologi Amerika (American Psychological Association) telah mengeluarkan homoseksual daripada senarai penyakit psikiatrik pada tahun 1973, malah membuat kenyataan untuk membantah sebarang rawatan terhadap pengamal homoseksual pada tahun 1998. Dengan kata lain, homoseksual bukan penyakit.

 

Sama ada setuju atau tidak, saya berpandangan bahawa golongan LGBT harus ditangani dengan cara berperikemanusiaan oleh pemimpin politik yang bertanggungjawab. Kita tidak boleh menzalimi mereka atau menghapuskan mereka, kerana mereka adalah manusia yang cuma berbeza dengan kita dari segi orientasi seksual. Apakah dosa LGBT lebih besar daripada perasuah atau pembunuh? Jikalau tidak, apa salahnya kita duduk semeja dan memikirkan jalan penyelesaian dengan rasional untuk menangani isu sosial ini?


Artikel ini dikarang oleh Siang Hong Lim.